Buli dalam kalangan murid di sekolah dan remaja pada hari ini bukan sesuatu yang baharu, namun isu ini semakin mendapat perhatian serius dalam masyarakat kerana kesannya yang mendalam terhadap kesejahteraan pelajar dan keharmonian sekolah.
Akhir-akhir ini, perhatian lebih banyak diberikan kepada mangsa buli yang menderita tekanan fizikal dan emosi. Namun begitu, aspek pembuli juga tidak boleh diabaikan kerana mereka adalah sebahagian daripada masalah dan dalam masa sama perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian.
Seseorang anak tidak tiba-tiba menjadi pembuli tanpa faktor tertentu yang mendorong mereka, sama ada pengaruh persekitaran, kekurangan kawalan emosi atau kelemahan dalam asuhan keluarga.
Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menangani anak yang terbabit sebagai pembuli. Mungkin dengan pendedahan diluar sekolah, potensi menjadi pembuli itu amat besar.
Semua sedia maklum bahawa ibu bapa adalah pendidik utama yang bertanggungjawab mencorakkan keperibadian anak-anak termasuk jasmani, emosi dan spiritual.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda bermaksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya beragama Yahudi atau menjadikannya beragama Nasrani atau menjadikannya beragama majusi.” (Hadis Riwayat Muslim)
Jika ibu bapa gagal melaksanakan peranan ini, anak berpotensi menyalurkan emosi dengan cara yang salah, antaranya membuli rakan sebaya. Peranan ibu bapa bukan sekadar menghukum anak apabila mereka didapati membuli, tetapi lebih daripada itu memahami punca, memberi bimbingan dan mendidik dengan penuh kasih sayang.
Peranan ibu bapa dalam menangani anak sebagai pembuli dari aspek pendidikan akhlak, komunikasi, teladan, kerjasama dengan pihak sekolah serta pembentukan persekitaran keluarga yang positif amat penting bagi mengurangkan sikap negatif dan wujudnya budaya buli dalam kalangan anak-anak.
Justeru, selain dari itu pendidikan dalam rumah harus dimulakan supaya budaya ini tidak keluar dan menyebabkan mangsa kepada orang lain.
Peranan ibu bapa
Peranan ibu bapa adalah penting untuk memahami faktor yang menyebabkan anak menjadi pembuli. Kurang perhatian dan kasih sayang di rumah adalah antara punca utama.
Anak yang rasa terabai cenderung melampiaskan perasaan dengan menyakiti orang lain untuk mendapat perhatian. Begitu juga pengaruh persekitaran tidak dapat dielakkan menjadi punca.
Anak kadangkala meniru tingkah laku kasar daripada ibu bapa, ahli keluarga atau media sosial yang sering memaparkan budaya ganas. Betapa sikap di rumah yang diperlihatkan oleh anak-anak juga boleh menjadi punca sikap buli dilampias diluar rumah.
Selain itu, masalah harga diri juga menyumbang kepada buli. Anak yang rendah keyakinan cuba menutupi kelemahan dengan menunjukkan kuasa melalui buli.
Memahami faktor ini penting supaya ibu bapa dapat memilih pendekatan terbaik mendidik dan membimbing anak. Imam Ibnu Hajar al-Haitami ada menyebutkan jika ibu bapa bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudah kan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriatnya
Menangani anak pembuli
• Menerima realiti dengan hati terbuka
Apabila diberitahu bahawa anak mereka terbabit sebagai pembuli, kebanyakan ibu bapa cenderung menafikan atau mempertahankan anak tanpa menyiasat terlebih dahulu. Sikap ini hanya akan memburukkan keadaan.
Ibu bapa perlu berlapang dada menerima teguran guru atau laporan mangsa, kemudian berbincang secara tenang dengan anak. Penerimaan realiti adalah langkah pertama yang penting sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
Tanggungjawab kita adalah memahami pembesaran anak-anak dan tidak membiarkan mereka membesar tanpa bimbingan kita dan agama. Amat bimbang harus ada jika zuriat kita mengundang kemurkaan Allah.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)
• Memberi didikan akhlak dan nilai agama
Ibu bapa wajib menanam nilai agama dalam jiwa anak sejak kecil kerana agama adalah benteng yang paling kukuh daripada perbuatan zalim. Islam menegaskan larangan menyakiti orang lain.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu mencerca sesama kamu dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelaran yang buruk.” (Surah al-Hujurat, 49:11).
Pendidikan agama yang kukuh mengajar anak bahawa membuli adalah perbuatan dosa kerana menyakiti hati manusia. Dengan asas agama, anak lebih berhati-hati dalam pergaulan dan tindakan.
• Menjadi teladan yang baik
Anak-anak meniru apa yang mereka lihat. Jika ibu bapa sering meninggikan suara, mengeluarkan kata-kata kasar atau suka merendahkan orang lain, anak-anak juga akan meniru sikap terbabit.
Maka, ibu bapa perlu menunjukkan teladan akhlak mulia, bertutur dengan sopan, sabar, menghormati jiran dan guru supaya anak menjadikannya panduan.
Rasulullah SAW sendiri menjadi contoh teladan terbaik dengan akhlak lemah lembut, sekalipun terhadap musuhnya. Hendaklah ibu bapa mengajak anak-anak berbuat kebaikan dan menerapkan kefahaman kepada anak-anak.
Firman Allah dalam Surah Luqman: Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Luqman :17)
• Membetulkan tingkah laku dengan tegas, tetapi berkasih sayang
Ibu bapa tidak boleh membiarkan perbuatan buli berlalu tanpa tindakan. Anak perlu ditegur dengan jelas bahawa membuli adalah salah dan berdosa.
Namun, teguran harus disampaikan dengan cara yang mendidik, bukan dengan kekerasan melampau yang hanya menambah dendam.
Hukuman berbentuk disiplin boleh diberikan, contohnya mengurangkan waktu bermain gajet, tetapi dalam masa sama sertakan penjelasan mengapa hukuman itu dilaksanakan.
Pendekatan tegas, tetapi berkasih sayang memberi kesedaran tanpa menimbulkan kebencian.
• Membina empati dan kemahiran sosial
Ibu bapa boleh melatih anak berfikir dari sudut pandang orang lain. Misalnya bertanya, “Bagaimana kalau kamu dipukul atau diejek begitu?” Soalan sebegini mengajar anak untuk berfikir sebelum bertindak. Selain itu, ibu bapa boleh mendorong anak terbabit dengan aktiviti sukarelawan, gotong-royong atau membantu jiran.
Aktiviti sebegini melatih mereka menghargai perasaan orang lain serta membina kemahiran sosial yang lebih positif.
• Bekerjasama dengan sekolah dan kaunselor
Anak yang menjadi pembuli tidak boleh dipulihkan hanya dengan usaha ibu bapa seorang diri. Mereka perlu bekerjasama dengan guru, kaunselor dan pihak sekolah.
Melalui kerjasama ini, tindakan susulan boleh diambil seperti sesi kaunseling, program motivasi atau aktiviti bina diri. Sekolah juga boleh membantu memantau perkembangan tingkah laku anak.
Kesimpulannya, peranan ibu bapa sangat besar dalam menangani anak yang menjadi pembuli. Mereka perlu menerima kenyataan dengan hati terbuka, mendidik dengan nilai agama, menjadi teladan yang baik, berkomunikasi secara berkesan, memberi teguran yang tegas tetapi penuh kasih sayang, membina empati, memantau media sosial serta bekerjasama dengan pihak sekolah.
Anak yang menjadi pembuli bukan musuh, sebaliknya amanah Allah yang memerlukan bimbingan. Jika ibu bapa melaksanakan peranan dengan bijak, anak-anak ini boleh berubah menjadi insan penyayang dan berakhlak mulia.
Hasilnya, budaya buli dapat dibanteras dan generasi muda akan membesar dalam suasana penuh kasih sayang, saling menghormati dan saling menghargai sesama insan.
Penulis Pensyarah Kanan UNISEL dan Timbalan Presiden Wadah
Disiarkan pada: Ogos 22, 2025 @ 7:00am Harian Metro