Oleh : Hasri Harun
llmu anugerah agung daripada Allah SWT yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Dengan ilmu, manusia mencapai kemuliaan, membina tamadun, dan mengangkat martabat diri serta masyarakat. Allah SWT menegaskan dalam al-Quran maksudnya: “Allah mengangkat darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.”(Surah al-Mujadalah: 11)
Ayat ini menjelaskan keutamaan ilmu bukan sahaja di sisi manusia, bahkan juga di sisi Allah SWT. Oleh itu, penguasaan ilmu ialah jalan utama untuk mempertingkatkan martabat kemanusiaannya. Orang berilmu tidak akan melakukan kejahatan kerana mereka mengetahui ilmu yang diberikan itu adalah pinjaman daripada Allah SWT dan mesti digunakan untuk kebaikan sama ada mengajak manusia kepada kebaikan dan menolak sebarang keburukan. Orang berilmu adalah sangat mulia di sisi Yang Maha Esa.
Martabat insan tidak hanya diukur pada kekayaan, pangkat atau keturunan, tetapi pada ilmu. Sejarah membuktikan insan yang berilmu dihormati meskipun tidak berharta. Ulama, cendekiawan, dan ilmuwan dihargai kerana sumbangan pemikiran mereka yang menyumbang kepada kesejahteraan manusia. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.”(Riwayat Muslim)
Oleh sebab itu tamadun Islam berkembang pesat kerana umat Islam dahulu mengangkat kedudukan ilmu. Kota Baghdad, Andalusia, dan Kaherah sebagai contoh pernah menjadi pusat ilmu dunia. Karya ilmuwan Islam dalam bidang perubatan, matematik, falsafah dan astronomi diterjemah ke bahasa Latin menjadi asas kebangkitan Eropah. Kejayaan ini membuktikan martabat insan hanya dapat ditinggikan melalui penguasaan ilmu dan penggunaannya untuk kesejahteraan manusia. Sebaliknya, kejahilan menyebabkan keruntuhan tamadun. Apabila ilmu diabaikan, umat akan mundur, mudah dijajah, dan hilang jati diri. Maka, ilmu bukan sekadar kepakaran akademik, tetapi cahaya yang menyelamatkan manusia daripada kegelapan.
Penguasaan ilmu mesti diiringi dengan akhlak mulia. Ilmu tanpa akhlak boleh membawa kepada penindasan, kerosakan alam, dan ketidakadilan. Ilmu yang benar ialah ilmu yang mendekatkan manusia kepada Pencipta, menanamkan rasa tanggungjawab, dan memandu kepada kesejahteraan sejagat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan ilmu yang paling utama adalah ilmu yang membentuk hati dan jiwa, iaitu ilmu agama. Dengan ilmu, insan mengenal hakikat dirinya, menjaga kehormatan, dan berakhlak mulia. Ilmu tanpa akhlak umpama pokok tidak berbuah. Pokok yang hebat itu perlu menghasilkan nikmat terbaik buat manusia barulah ia benar-benar menjadikan dunia ini sebuah kehidupan yang baik. Jika orang berilmu, tetapi tidak memberi manfaat walau sekelumit daripadanya ia tidak lain sekadar indah di luar, tetapi merugikan di dalamnya.
Sejarah perjuangan umat menunjukkan ilmu berperanan sebagai alat pembebasan. Penjajah sering mengekang pendidikan kerana sedar masyarakat yang berilmu akan bangkit menuntut hak dan kebebasan. Di Tanah Melayu, gerakan kemerdekaan dipelopori oleh golongan berilmu seperti tokoh agama, penulis, dan guru yang membangkitkan kesedaran bangsa. Ilmu juga membebaskan insan daripada belenggu pemikiran jumud dan taklid buta. Ia melahirkan masyarakat kritis, kreatif, dan berani menegakkan kebenaran.
Pada era globalisasi, ilmu semakin luas dengan perkembangan teknologi. Namun, cabaran utama ialah bagaimana menggunakan ilmu untuk membina insan, bukan meruntuhkannya. Penyalahgunaan ilmu dalam peperangan, penipuan siber, dan eksploitasi teknologi menunjukkan ilmu tanpa nilai boleh menjadi racun. Oleh itu, sistem pendidikan mesti menekankan integrasi antara ilmu duniawi dan ukhrawi. Pelajar bukan sahaja diajar kemahiran teknikal, tetapi juga nilai moral, etika, dan spiritual. Dengan itu, ilmu benar-benar berperanan mengangkat martabat insan, bukan sebaliknya.
Mengangkat martabat insan melalui ilmu memerlukan usaha bersama. Individu perlu menanam sikap cintakan ilmu sepanjang hayat. Keluarga pula menjadi institusi awal yang menyemai minat terhadap ilmu, manakala masyarakat dan negara mesti menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti, adil, dan inklusif. Institusi agama dan ulama berperanan memastikan ilmu yang disebarkan tidak menyimpang daripada ajaran Islam. Pemerintah pula wajib memberi sokongan kepada pengajian tinggi, penyelidikan, dan inovasi. Dengan kerjasama semua pihak, ilmu akan terus menjadi tiang seri kemajuan bangsa.
Ilmu adalah cahaya yang mengangkat martabat insan di sisi Allah dan di sisi manusia. Ia membezakan manusia daripada makhluk lain, membina tamadun, memperkukuh akhlak, serta membebaskan manusia daripada kejahilan dan penindasan. Namun, ilmu mestilah dipandu dengan iman dan akhlak agar tidak disalahgunakan. Pada era moden, cabaran terbesar ialah memastikan ilmu digunakan untuk kesejahteraan manusia sejagat. Oleh itu, umat Islam khususnya perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah yang meletakkan ilmu sebagai kunci kemuliaan. Seperti kata peribahasa Arab yang bermaksud: “Ilmu adalah mahkota di kepala orang berilmu yang hanya dapat dilihat oleh orang berakal.”
Dengan ilmu, martabat insan akan terus terpelihara, dan dengan ilmu juga umat akan kembali gemilang.
Penulis pensyarah kanan UNISEL dan Timbalan Presiden Wadah
Disiarkan pada: September 17, 2025 @ 7:01am