Saudara-saudara sekalian, saya ditakdirkan untuk menjadi presiden kepada empat organisasi dakwah: Presiden PMI, Presiden PKPIM, Presiden ABIM dan Presiden WADAH. Saya menyebut hal ini bukan kerana bangga, tetapi kerana saya percaya ia adalah takdir.
Saya sendiri tidak pasti sama ada ia baik atau sebaliknya. Namun saya sentiasa bersangka baik kepada takdir. Walaupun begitu, saya sebenarnya kurang gemar jika diundang atas nama “mantan presiden”. Bagi saya, sejarah kita bukan sejarah presiden-presiden, tetapi sejarah kebangkitan generasi dan kebangkitan umat. Kita harus berani mempelopori sejarah dari bawah, history from below, dengan mengangkat mereka yang bukan dari golongan feudal.
Apabila diminta berkongsi pengalaman, saya menerimanya kerana itulah kekayaan sebenar saya. Orang tua kaya dengan pengalaman tetapi miskin dengan cita-cita, sementara orang muda kaya dengan cita-cita tetapi miskin pengalaman. Maka kekayaan saya hari ini ialah pengalaman sepanjang 73 tahun berjuang dalam wadah dakwah.
Sepanjang terlibat dalam perjuangan ini, saya benar-benar menikmati khidmat yang disumbangkan. Kenikmatan itu sering kali datang lewat, malah kadangkala terasa pahit ketika dilalui. Namun akhirnya, pengalaman itu tetap memberi kelucuan, kenangan dan nilai tersendiri. Ia mengajar kami tentang al-wa’yul Islami – kesedaran Islam sebagai nizamul hayat, suatu cara hidup yang lengkap, termasuk menekankan isu keadilan sosial yang ketika itu jarang dibicarakan. Mujurlah kita tidak terjebak menggunakan istilah “sosialisme Islam” sebaliknya menegaskan bahawa Islam itu sendiri sudah cukup, “Islam yang tidak pakai dan”.
Dalam masa yang sama, kita tidak keberatan menggunakan istilah demokrasi – bukan sekadar demokrasi politik, tetapi juga demokrasi pendidikan dan ekonomi. Ketika itu saya turut terkesan dengan karya ekonomi seperti Asian Drama oleh Gunnar Myrdal, sebuah ensiklopedia tentang kemiskinan di Asia Selatan yang mengaitkannya dengan rasuah. Bacaan itu membuka mata saya terhadap hubungan erat antara kemiskinan, rasuah dan maruah manusia (karamah insaniyah).
Pengalaman perjuangan juga mengajar saya bahawa dakwah boleh berjaya tanpa bergantung kepada wang yang banyak. Pada tahun 1982, apabila Anwar Ibrahim membuat keputusan mengejut menyertai UMNO, saya yang ketika itu timbalan presiden ABIM tiba-tiba terpaksa memangku jawatan presiden. Gelombang protes, kritikan dan kecaman datang dari dalam dan luar negara. Ia pengalaman pahit, tetapi juga mempercepatkan proses pendewasaan kami sebagai aktivis.
Wadah yang kita dukung sejak awal memang terkenal dengan keintelektualannya. Antara kekuatan utama kita adalah kekuatan idea dan gagasan. Bermula dengan konsep “Islam sebagai penyelesaian kepada masyarakat majmuk” yang diungkapkan pada tahun 1979, lahirlah wacana baharu bahawa Islam mempunyai kemampuan untuk menawarkan penyelesaian kepada isu masyarakat berbilang kaum. Dari situ berkembanglah gagasan budaya damai (budaya salam), peaceful coexistence (at-ta’ayush as-silmi), dan seterusnya konsep masyarakat madani yang popular di Malaysia dan Indonesia.
Hari ini, kita juga melihat perbahasan mengenai human economy, iaitu ekonomi yang digerakkan oleh manusia demi kepentingan manusia, bukannya tunduk kepada kuasa pasaran misterius. Semua ini membuktikan bahawa perjuangan kita sentiasa segar dengan idea dan pembaharuan.
Namun dalam berjuang, saya sering menekankan agar kita tidak mengharap balasan. Marilah kita hayati ayat la nuridu minkum jaza’an wala syukura – tidak mengharap ganjaran mahupun ucapan terima kasih. Saya sendiri cuba mengelak daripada menerima habuan, bahkan ketika Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan sekalipun. Satu-satunya “habuan” yang pernah saya terima hanyalah sepasang kasut yang dibelikan oleh Anwar ketika pulang dari Sudan. Namun kasut itu hanya sempat saya pakai sekali sebelum hilang. Saya anggap mungkin memang tidak berkat untuk saya menyimpannya.
Demikianlah sedikit kenangan dan pengalaman sepanjang perjalanan dakwah ini. Semoga ia memberi manfaat untuk generasi akan datang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Siddiq Fadzil | Bangi Resort Hotel
21092020