WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH
DR MUHAMMAD NUR MANUTY

Melestarikan Fiqh al-Ta’ayyush dalam Komuniti ASEAN: Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN – Dr Muhammad Nur Manuty

Teks Ucapan Dr Muhammad Nur Manuty
MUKNAS, Wadah Pencerdasan Umat,
Di IDCC, Shah Alam
26.10. 2024

Bismillahirrahmanirrahim
Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman
Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan,
Datuk Ahmad Azam Ab Rahman,
Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Saudara Muhammad Dzul Aiman Bin Zulkefly,
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Tetamu-tetamu Kehormat

Tahniah dan Syabas WADAH atas penganjuran Seminar Fiqh Taayush: Hidup Damai Dalam Komuniti ASEAN sempena Muktamar Nasional Wadah Pencerdasan Umat (MUKNAS WADAH) kali ke-18. Penyelenggaraan Seminar Fiqh Taaysuh dan MUKNAS WADAH kali ke-18 ini dilatari kepada detik penting Malaysia diberikan amanah mempengerusikan ASEAN 2025. Sekalung penghargaan dan terima kasih juga saya ucapkan kerana mengundang saya bagi mengemukakan pandangan dalam seminar yang sangat penting ini. Pada saya maudhu’ yang akan kita bicarakan iaitu Melestari Fiqh al Ta’ayyush Dalam Komuniti ASEAN: Perkembangan dan Cabaran sangat bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Mukaddimah

Fiqh Taasyush As-Silmi (FTS) bukanlah satu konsep mahupun perkara baharu dalam agama Islam. Hakikiatnya, FTS telah dibicarakan dalam Al-Quran, As-Sunnah serta merupakan khazanah Islam daripada zaman Khulafa’ Al-Rashidin. FTS juga telah berlaku dan berkembang secara pesat dalam Dinasti Umayyah, Abbassiyyah, kerajaan Islam di Andalusia, Uthmaniyyah, kerajaan Islam Moghul, Seljuk bahkan sehingga ke Alam Melayu. Perkara ini berlaku disebabkan perkembangan empayar Islam dan penyebaran Islam itu sendiri yang telah berkembang daripada semenanjung Arab hinggalah meliputi seluruh dunia.

Dalam konteks Asia Tenggara, para pemimpin ASEAN telah bersepakat bagi meluncurkan konsep Komuniti ASEAN pada 2015 di Kuala Lumpur. Komuniti ASEAN 2015 meletakkan asas kepada penduduk dan negara anggota ASEAN untuk hidup secara damai bersama, mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama di samping menekan kepada aspek keterbukaan, keharmonian, keadilan, keluhuran budaya dan beretika tinggi.

Fiqh Ta’ayyush dalam Kerangka Syara’

Sekalipun Fiqh Taayush merupakan pemahaman kontemporari dalam pembendaharaan perbahasan fiqh, namun asas-asas dan prinsip FTS telah termaktub dalam Al-Quran. Terdapat banyak ayat dalam Al-Quran yang boleh dijadikan sandaran bagi menggambarkan perihal dan prinsip asasi FTS. Berikut disertakan beberapa ayat beserta prinsip berkaitan FTS dalam Al-Quran:

  • Rahmat Allah SWT

يَخۡتَصُّ بِرَحۡمَتِهِۦ مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ

Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar. (Surah Ali-Imran: 74)

  • Karamah Insaniah (Kemuliaan Insan)

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ

(Surah al-Isra’: Ayat 70)

  • Fungsi Manusia Untuk Saling Berkenalan

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ۚ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). (Surah Al-Hujurat: 13)

  • Tiada Paksaan Agama

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِىَ دِينِ

Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (Al-Kafirun: 6)

  • Melakukan Keadilan dan Ihsan

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَٰنِ

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan (Surah An-Nahl: 90)

  • Kepelbagaian Umat

وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَٰحِدَةً

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu) (Surah al-Nahl: 93)

  • Keadilan Untuk Semua

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah. (Surah al-Maidah: 8)

Petunjuk Junjungan Muhammad SAW dan Khalifah al-Rashidun

Junjungan Nabi SAW bersabda: “Manusia itu umpama gigi-gigi sikat.” Baginda juga menegur beberapa orang sahabat yang tidak memberi hormat dengan menundukkan kepala ketika jenazah seorang Yahudi lalu di hadapan mereka. Perbuatan itu ditegur dengan ungkapan “Alaysat nafsa”. Maksud: “Bukankah dia seorang manusia!”.

Sayyidina ‘Ali ibn Talib ketika mengutus wakilnya mengadap Malik al-Asytar di Iran, beliau menyebut ungkapan berikut: Akhun fi al-Deen (saudara seagama) dan Akhun fi al-Insan (saudara seinsan).

Pengalaman FTS di Malaysia

Di Malaysia, usaha untuk menjalinkan kerjasama antara agama-agama telah bermula dengan penubuhan MIRO (Malaysian Inter Religious Organization). Almarhum Tuan Haji Ali Munawar, seorang pendakwah yang fasih dalam bahasa Inggeris bersama dengan Dr Tan Chee Khoon, seorang pemimpun politik yang beragama Kristian dan lain pemimpin yang beragama Budha dan Hindu membuat beberapa inisiatif antara penganut agama dengan tujuan untuk saling memahami perbezaan agama tetapi dapat hidup dalam suasana aman sejahtera.

Pada tahun 1979, Anwar Ibrahim, Presiden ABIM telah menyampaikan satu Ucapan Dasar yang berjudul “Islam Sebagai Penyelesaian Masyarakat Majmuk” bersempena dengan Muktamar Sanawi ABIM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi, Selangor. Ucapan yang bersejarah itu telah menyebabkan sebulan kemudian, beberapa orang pemimpin utama DAP antaranya Lim Kit Siang, Karpal Singh dan lain-lain telah mengundang Anwar Ibrahim berdialog dengan mereka. Pemimpin-pemimpin tersebut ingin memastikan bahawa tokoh pimpinan gerakan ABIM yang berkarisma itu adalah seorang pemimpin dakwah Islam yang moderat.

Anwar Ibrahim juga yang telah menggalas jawatan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam dekad 70’an. Beliau juga aktif menyertai kegiatan dialog antara Islam dengan Kristian, Buddha dan Hindu di NUS, Singapura, Port Dickson, NS dan di lain-lain tempat. Selain itu, beberapa tokoh akademik dari ABIM seperti Dr Osman Bakar, Dr Ghazali Basri, Dr Kamar Oniah turut menulis pelbagai makalah dan buku serta menghadiri forum-forum antara agama di beberapa buah kampus IPT.

Buat kali pertama di Malaysia, satu Persidangan Antarabangsa Mengenai Islam dan Konfusianisme telah dianjurkan di UM pada tahun 1994. Wacana berkenaan dialog antara agama dilanjutkan dengan Dr Osman Bakar telah menyunting sebuah buku yang berjudul Islam dan Konfusianisme dan penulisan mengenai Islam dan Konfusianisme yang dibuat oleh seorang sarjana terkenal Cina dari Universiti Beijing, Profesor Tee Wei Meng. Nyata, para intelektual etnik Cina khususnya di Malaysia kelihatan membuka mata mereka dengan pendedahan bahawa tradisi Islam begitu kuat mengakar dalam kehidupan etnik Cina di Tanah Besar dan hubungannya dengan kepulauan Melayu.

Selanjutnya Dr Ghazali Basri, tokoh ilmuan ABIM begitu iltizam dalam pelbagai usaha merealisasikan FTS. Selain dari kehadirannya sebagai pembicara yang berwibawa dberdialog dengan pelbagai tokoh agama, Dr Ghazali telah menulis buku yang berjudul Perbandingan Agama serta Nabi Isa Menurut al Qur’an dan Bible (2022). Di samping itu, Dr Kamar Oniah Kamarulzaman adalah seorang lagi tokoh akademik ABIM dan juga pensyarah di Jabatan Pengajian Ilmu Wahyu dan Perbandingan Agama turut merupakan antara tokoh utama yang aktif dalam usaha menyemarak FTS di Malaysia.

Selain itu, terdapat satu karya penting karangan almarhum Profesor Emiritus Tan Sri M. Kamal Hasan yang wajar diangkat bagi melestarikan FTS. Buku tersebut berjudul Voices of Islamic Moderation from the Malay World (EMIR: 2012). Antara makalah beliau sesuai untuk dikembang dan dibahaskan adalah karya bertajuk “Buddhism Approach to Conflict Resolution: A Muslim Malay Attempts An Inter Relations Understanding”; “The Path of Islamic Moderation for Muslim Countries” dan “The Commitment to the WASATIYYAH Mission of Islam By Muslim Religious Scholars State of Singapore and the Rise of Ultra Liberalism in Indonesia.” Sesungguhnya karya ini wajar menjadi rujukan penting dalam upaya melestarikan FTS di ASEAN dan secara khusus dalam Komuniti ASEAN.

Selanjutnya, mulai tahun 2016, almarhum Dr Siddiq Fadzil (USF), seorang tokoh ilmuan Muslim, pemikir, penulis dan pemidato terkena, serta mantan Presiden ABIM dan Wadah Pencerdasan Umat telah menulis sebuah karya penting yang berjudul Pembinaan Bangsa – Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan (IDE: 2016). Dalam perbahasannya mengenai FTS (Kedamaian Hidup Bersama) USF berjaya menjelaskan persoalan Islam dan Kepelbagaian (Pluraliti) yang kadang-kala diputarbelitkan oleh pihak tertentu di negara ini dengan gagasan plurality/pluralisme yang digunakan kelompok liberalis agama di dalam dan di luar negara.

Justeru, USF dapat mengupas persoalan antara wawasan nasional dan aspirasi Islam sehingga USF dapat merumuskan satu formula penting “Pembinaan Bangsa: Kepelbagian Dalam Bingkai Kesatuan (al-Tanawwu’ fi Itar al Wihdah) dengan mempopularkan istilah almarhum Dr Muhammad Imarah, tokoh ilmuan Muslim Mesir yang terkenal. Karya ini juga memaparkan bagaimana rahmat dari Allah SWT sangat relevan untuk merealisasikan cabaran aktualisasi membina masyarakat majmuk. USF telah memberanikan diri dengan ijtihad baru dalam siasah syari’’ah apabila beliau menyatakan dengan betapa pentingnya dan luas memahami fiqh al waqi’ (fiqh realiti) dengan memahami teks (al nass) dan konteks (al waqi’). USF juga melontar idea ‘Allamah Syeikh al-Qaradawiy, Dr Hassan al-Turabi, Syeikh Rashid al-Ghanoushi, Fahmi Huwaidi dan lain-lain mengenai keperluan menukar istilah warga zimmi kepada muwatinun (warga negara). Katanya bahawa para ulama silam menyebut bahawa warga zimmi adalah ahl al dar (warga negara Islam) yang bukan orang Islam. Justeru, mereka sebenarnya adalah ahlu al watan yang seharusnya disebut muwatinun (citizen). Persamaan hak dan tanggungjawab kewarnegaraan antara Muslim dan bukan Muslim yang terumus dalam satu ungkapan indah “lakum ma lana, wa ‘alaikum ma ‘alayna” (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan memikul tanggungjawab yang sama kita pikul). Inilah prinsip yang terakam dalam Piagam Madinah yang disebut sebagai Pax Islamica oleh almarhum Profesor Ismail Raji al Faruqi, seorang sarjana Muslim terkenal yang telah menulis buku The Cultural Atlas of Islam.

USF memprihatinkan persoalan membina satu rupa bangsa Malaysia dengan berlapang dada menerima kunjungan Lim Kia Siang, Ong Kia Meng dan lain-lain pemimpin DAP peringkat pusat dan mengundang mereka dalam bulan Ramadan sebanyak tiga kali berturut-turut untuk bertukar fikiran secara santai santai sebelum berbuka puasa di Balai Rakyat, kediaman USF di Sungai Ramal, Kajang. Ketika beliau mengupas konsep ummah di kota Madinah yang sifatnya jamal agama dan bangsa – warga Yahudi (Bani Nadzur, Quraizah dan Qainuqa’) serta Nasara dari Najran, USF membaca sepotong ayat al Quran, Al Anbiya’: 92. “Inna hazihi ummatukum ummatan wahidah wa ana Rabbukum fa’budun” Maksud: “Sungguh, agama tawhid inilah agama kamu, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku”. Sesungguhnya ini adalah umat kamu yang satu, dan Aku adalah Tuhan kamu yang disembah. Saudara Lim Kit Siang berkata bahawa inilah kali pertama beliau mengetahui bahawa dirinya juga boleh berada dalam satu keluarga besar yang dipanggil ummah. USF menjawab dengan menyebut model Piagam Madinah. Selanjutnya, Parti Amanah Negra telah melaksanakan beberapa Persidangan NUNJI (Nadwah al ‘Ulama’ al Nahdah al Jadidah) yang telah diadakan sekitar 2017. Nadwah tersebut telah menangkat tema Islam dan Kenegaraan – Suatu perbahasan Dalam Konteks Fiqh Maalaysia. Menurut Dr Mujahid Yuusf Raawa, seorang tokoh intelektual Muslim terkenal di Malaysia bahawa siasah syari’yyah dan maqasid Syariah jika dilaksanakan dengan lebih meluas dan berkesan dalam realiti negara majmuk seperti Malaysia.

Penghayatan FTS di Negara Singapura

Umat Islam di Singapura adalah minoriti yang berjumlah di sekitar 13% hingga 15%. Majoriti warga Singapura adalah menganut agama agama Buddha, Kristian, Hinduisme, Sikhisme dan lain-lain. Sejak tahun 1969 lagi, warga Muslim dan bukan Muslim telah berjaya menubuhkan Inter Religion Society of Singapura. IRSS telah digerakkan oleh tokoh ulama dan pemimpin masyarakat Muslim ternama, Abdul ‘Alim al Siddiqi yang juga salah seorang Pengasas Kolej Islam Malaya di Klang bersama beberapa tokoh agama Kristian, Buddha dan Hindu. Antara tohoh Muslim yang terkenal dalam forum dialog antara agama ialah Babu Sahib. Beliau telah menulis beberapa makalah mengenai Islam dan kedamaian dalam konteks negara Singapura sejak dekad 60’an.

Dalam tahun 1980, Darul Arqam atau Muslim Convert’s Association of Sonapore telah ditubuhkan oleh saudara Ridzuan Wu. Pertubuhan ini bertujuan untuk memantapkan kefahaman Islam dalam kalangan muallaf (saudara-saudara baru Islam) dan individu-individu bukan Muslim yang berminat dengan agama Islam.

Dar al Arqam: Iltizam dengan FTS

Dalam tahun 2002, Darul Arqam, menganjurkan satu seminar penting dengan mengangkat persoalan da’wah dalam konteks silang budaya (cross culture). Persidangan ini membicarakan do’s and dont’s di sisi Islam serta hal yang sama dalam lain-lain agama. Tujuannya adalah untuk menjamin kelastarian harmoni antara penganut pelbagai agama seperti kehadiran dalam acara kematian orang-orang bukan Islam dan pelbagai adat istiadat yang sensitif bagi orang-orang bukan Islam.

Pelbagai pertubuhan Islam akur dengan fiq al-waqi’ (realiti) keSingapuraan, disamping pengiktirafan wujudnya Akta Keharmonian antara Agama. Antara pertubuhan Muslim yang terkenal ialah PERGAS (Persatuan Guru Guru Agama dan Ulama Singapura. PERGAS telah menganjurkan satu persidangan yang bersejarah dengan mengangkat tema “Moderation in Islam in the Context the Singapore Muslim Society” pada 12 dan 13 haribulan September, 2003.

Almarhum Profesor Emeritus Mohd Kamal Hassan, tokoh ilmuan Muslim ternama dan mantan Rector, UIAM, telah membicarakan konsep “al-wasatiyyah” in Islam. Yang menariknya, PERGAS yang dipimpin oleh Ustaz Hasbi Hasan itu membicarakan Islam dalam lingkungan majoriti bukan islam di Singapura. Beliau menawarkan prinsip-prinsip yang membuktikan umat Islam di Singapura berlapang dda mengamalkan toleransi mengikut piawaian Islam. Antara pendirian rasmi PERGAS, menghormati prinsip demokrasi. Justeru PERGAS sentiasa menghormati undang undang peraturan negara. PERGAS tegas mempertahanlan keamanan dan kerukunan hidup bersama dengan warga yang berlainan agama. Justeru, PERGAS memahami jihad dalam skop yang luas dan komprehensif. PERGAS menerima Islam sebagai satu cara hidup tetapi menerima prinsip sekular dalam negara Singapura. Justeru, PERGAS yakin dalam negara sekular, warga Muslim masih boleh memainkan peranan agama secara positif. PERGAS menentang keganasan dalam semua bentuk seperti gerakan ekstrim JI yang memperdagangkan jihad bersenjata di Singapura. PERGAS membuktikan sikap toleransinya secata berhemah. Dalam Isu kebebasan amalan LBGTQ, PERGAS bersama semua institusi pemerintah dan swasta menperjelas amalan LFBTQ tetapi mengambil langkah merawat pelaku LGBT secara berhikmah meskipun sangat mencabar.

Fenomena FTS Dalam Negara Indonesia

Dalam perbualan ringkas saya dengan beberapa tokoh dan aktivis gerekan dakwah Islam Indonesia, pada masa kini, mereka menyatakan bahawa FTS di Indonesia itu dipayungi oleh falsafah nasional negara tersebut iaitu Pancasila dan slogan Behenika Tunggal Ika (Kepalbagaian Dalam Bingkai Kesatuan). FTS telah dibicarakan di Indonesia sejak beberapa dekad lalu terutamanya dalam era Nurkholis Majid (HMI), Ahmad Syafi’i Maarif (Muhammadiyyah) dan lain-lain.

Seorang tokoh Masyumi generasi baru yang juga berNU dari segi ibadatnya berkata kepada saya memang benar pada dekad 70’an dan 80’an Islam sama ada politik, agama dan institusi-institusi pendididkan Islam seperti pesantren yang merupakan benteng terkuat umat Islam di Indoens sejak berabad-abad lama telah tidak dapat menerima PANCASILA kerana mereka menentang polisi Jeneral Suharto, Presiden Indonesia yang memaksa PANCASILA tetapi tegar menghalang Islam diguna pakai dari simbol dan perjuangan. Namun, dalam suasana semasa dalam berhadapan dengan realiti politik nasional Indonesia pada masa kini, kami menukilkan semula restu dua orang pendiri berwibawa iaitu Kiyai Haji Hasyim Asy’ari, Pengasas NU dan Kiyai Haji Ahmad Dahlan, Pengasas Muhammadiah, bahawa sesungguhnya PANCASILA itu tetap ada legitimasi Islam.

Hal ini demikian disebakan dalam Pancasila terdapat didalamnya Lima Rukun itu mengisytiharkan a) Kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa; b) Keinsanan; c) Kesatuan Nasioanl; d) Demokrasi menurut Dewan Permesyuaratan Daerah-Daerah; e) Keadilan Sosial. Selain itu, pesantran-pesantran di Indonesia sama ada di bawah naungan NU dan Muhammadiyyah serta lain-lain ormas Islam telah menunjukkan sikap yang lebih positif untuk menerima penghayatan FTS. Walaubagaimanapun, oleh kerana pesantran-pesantran tersebut begitu kukuh dengan prinsip Islam yang murni, para pendiri pesantran tegas menolak aliran liberal yang bertujuan untuk menyamakan kebenaran Islam dengan lain agama dalam hubungan antara Muslim dengan bukan Muslim.

Dalam konteks perlaksanaan hak asasi manusia yang menjamin kebebasan beragama, Presiden Prabowo Subianto telah membentuk Kementerian Hak Asasi Manusia (KHAM). Kita mengharapkan hubungan antara warga Muslim dengan minoriti bukan Muslim dapat ditangani dengan saksama dan adil demi keharmonoan hidup warga berbilang agama di Indonesia.

FTS dan Minoriti Melayu dan Thai Muslim

Negara Thailand dikenali sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Umat Islam yang kebanyakannya bermastautin di empat wilayah Selatan Thai hanya berjumlah di sekitar 6%. Hakikatnya siapa pun tidak dapat menafikan bahawa konflik pemisahan antara kelompok pemisah dengan Kerajaan Bangkok adalah satu ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira agama. Namun dalam pelbagai usaha untuk menamatkan konflik politik yang telah wujud sejak dekad 60’an hingga kini, FTS di negara Thailand adalah satu keutamaan demi kesejahteraan warga Muslim dan bukan Muslim.

Masyarakat berbilang bangsa dan agama di Thailand bertuah kerana dalam kalangan masyarakat Muslim memiliki seorang tokoh Muslim demokrat yang terkenal di peringkat global iaitu Almarhum Tan Sri Dr Surin Pitsuwan, mantan Menteri Luar Thailand dan juga Setiausaha Agong ASEAN. Tokoh intelektual, politik dan diplomasi ini menjadi simbol pemimpin Muslim moderat yang kuat berpegang dengan ajaran Islam. Beliau telah menggagaskan pelbagai usaha untuk menyatukan warga Muslim dengan bukan Muslim dalam skala kepelbagaian agama, sejarah, dan budaya. Almarhum tegas menyatakan pendiriannya kepada pemimpin-pemimpin politik, tentera, pentadbir dan tokoh-tokoh agama dan masyarakat Thailand bahawa kesatuan antara rakyat boleh berlaku seandainya dasar hormat-menghormati, perlaksanaan prinsip keadilan sosial, amalan demokrasi serta kebebasan beragama dapat dijamin berlaku dengan adil.

Selanjutnya, inisiatif Dr Ismail Lutfi, tokoh ulama Thailand mengajak beberapa orang pimpinan Buddha untuk membentuk Jawatankuasa Hubungan Antara Agama-agama bagi merealisasikan harmoni dan kesejahteraan semua lapisan rakyat Thai tanpa mengira agama. Yang menarik perhatian kita, pemimpin-pemimpin Buddha tersebut sebulat suara meminta Dr Ismail Lufti untuk kekal menjadi Pengerusi Majlis Hubungan Antara Agama-agama Thailand.

Keterbukaan Minoriti Umat Islam Kemboja Mengupaya FTS

Tragedi genosid rakyat Kemboja sama ada Buddha dan Khmer Muslim (1975 – 1979) dalam era pembunuhan kejam Pol Post sememangnya satu tragedi dunia yang sukar dilupakan. Di sekitar 3 juta umat Islam Kemboja dari komuniti Muslim Cham terkorban, bahkan ada pandangan yang mengesahkan 60% jumlah manusia yang terkorban adalah warga Muslim.

Beberapa hari yang lalu, saya turut diundang untuk majlis keraian pembukaan Cambodia University of Management and Technology (CUMT). Inisitiatif awal tokoh professional Muslim Kemboja iaitu Dr Farid Mohammad Husain dan lain-lain telah mendapat dokongan dari pemerintah, rakyat dan beberapa orang pewakaf dari dunia Arab. Tanggal 21 haribulan Oktober, 2024, Tuan Hong Cu Naron, Timbalan Perdana Menteri Cambodia, merangkap Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan telah merasmikan kampus CUMT dengan disaksikan oleh orang-orang kenamaan Cambodia, serta wakil-wakil institusi pendidikan Islam, agensi-agensi Islam serta ormas-ormas Islam luar negaara. Kita yakin CUMT akan dapat memperkukuhkan sumber daya manusia demi masa hadapan negara. CUMT membuka ruang kepada pelajar Muslim dan bukan Muslim termasuklah dalam sektor pengurusan. Keterbukaan dasar pemerintahan Hun Sen dan naknya Hun Manat, Perdana Menteri masa kini dapat dibuktikan dengan kehadiran mereka dan lain-lain pimpinan Buddha sejak enam tahun berturut-turut dalam program IFTAR bersama di bawah anjuran Menteri Hal Ehwal Masyarakat Muslim, Okna Osman Hasan. DSAI, PMX telah hadir pada tahun 2023 dengan kehadiran 5,000 peserta. Selanjutnya, beberapa badan NGO Muslim dan Buddha turut menjalankan program gotong royong membantu pembinaan dan pembersihan rumah-rumah mangsa tragedi musibah banjir dan kebakaran.

Negara Majoriti Kristian Republik Filipina

FTS di negara majoriti Kristian terbesar di ASEAN adalah negara Filipina. Dalam hubungan ini, jasa tokoh sejarah Islam Profesor Adib Majul yang sangat berpengaruh di negara tersebut serta di Alam Melayu. Selain itu beberapa nama pimpinan Muslim di Filipina yang prihatin dengan kepentingan hubungan damai Muslim Kristian ialah Senator Ahmad Alonto, Michael Mastura, seorang peguam dan Abdul Rahman Linzag, tokoh pendakwah. Mereka telah mengambil bahagian dalam pelbagai forum dialog keamanan. Selanjutnya, beberapa orang lagi tokoh pimpinan minoriti Muslim Filipina berfungsi dengan lebih dekat di lapangan. Antaranya ialah Dr Abdul Hamid Darbar dan Dr Maryam Sayyidina.

Usaha mendekati warga Muslim dan Kristian diteruskan oleh Liga Ulama Filipina dengan Majlis Paderi-Paderi Kristian Filipina. Isu keganasan bersenjata yang kerap berlaku di kepulauan-kepulauan Filipina sentiasa dibahaskan bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan pimpinan utama Kristian Katolik di Filipina. Mutakhir ini, beberapa orang professional muda Muslim telah menubuhkan International College of al Khawarizmi yang bertempat di Marawi City, Selatan Filipina. Antara pendirinya adalah terdiri dari beberapa orang siswazah UIAM. Adalah jelas fikrah Islam sebagai satu cara hidup dapat membantu proses FTS di Filipina.

FTS Dalam Konteks Negara Brunei Dar al Salam

Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Muslim yang mempunyai majoriti Muslim. Walaubagaimanapun, 20% penduduknya adalah bukan Islam yang terdiri dari orang-orang Cina beragama Buddha dan Kristian. Dari aspek FTS ternyata bahawa negara tersebut pada hakikatnya sangat mesra dengan prinsip hidup dalam kedamaian bersama meskipun terdapat kepelbagaian bangsa, agama, bahasa dan kebudayaan. Perkataan As-Salam bererti damai sejahtera yang diambil dari sembilan puluh sembilan nama Allah (al-Asma’ al Husna) digunakan sebagai simbol perpaduan masyarakat Brunei. Selain itu, kelestarian negara Brunei Dar al Salam adalah kerana rakyatnya bernaung dibawah payung negara yang berpaksi kepada falsafah Melayu Islam Beraja. Justeru, perkongsian kuasa berlaku antara penjawat Muslim dan bukan Muslim. Dalam hal ini, ada warga negara bukan Islam yang dilantik sebagai salah seorang hakim dalam Badan kehakiman Brunei Darussalam.

Cabaran FTS dalam Komuniti ASEAN

Usaha untuk merealisasikan cita-cita komuniti ASEAN 2015 yang telah dijalankan melalui program-program pada zahirnya masih sukar dijayakan. Akan tetapi tidaklah pula mustahil untuk dijayakan sekiranya ada iltizam politik daripada segenap pihak berkepentingan ke arah mewujudkan Komuniti ASEAN yang aman dan damai.

Antara cabaran terbesar di Malaysia, menurut hemat USF, pemerintah gagal membina satu rupa Bangsa Malaysia yang boleh berkongsi jati diri keMalaysiaan. Hal ini terjadi kerana beberapa faktor meliputi agama, pendidikan, bahasa, budaya dan ekonomi. Akibatnya, masih wujud prejudis bangsa dan kaum pasca selepas tragedi nasional 13 Mei 969. DEB yang bertujuan untuk menyusun sebuah masyarakat baru serta pengagihan kekayaan secara adil tidak dapat dijayakan sepenuhnya.

Menurut USF, secara jujur beliau bersetuju dengan pandangan Rustam A.Sani, seorang tokoh ilmuan sains politik yang berwibawa di negara kita bahawa Malaysia gagal membentuk satu rupa bangsa Malaysia setelah 67 tahun mencapai kemerdekaan. Beliau mengutip kata-kata Rustam A.Sani: “Political events in Malaysia during the last few years have convinced me that Malaysiaa state without nation or at least, a state without several competing nations”.

Hal ini sangat memalukan jika dibandingkan dengan negara Indonesia yang dapat menyatukan pelbagai rupa bangsa dan suku kaum yang bertutur dalam ribuan bahasa daerah bahasa dan budaya dalam negara yang mempunyai lebih dari 17,000 buah pulau. Selanjutnya, USF menjelaskan bahawa kejayaan Indonesia ialah kerana kebijaksanaan President Sukarno kerana menjadikan Bahasa Melayu, bukan bahasa Jawa sebagai bahasa rasmi Indonesia. Kegagalan kita dalam pembentukan satu rupa Bangsa Melaysia ialah juga disebabkan oleh rakyat Melaysia gagal mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa Inggeris dilihat semakin meluas penggunaannya terutama dengan pertumbuhan pesat sekolah-sekolah antarabangsa.

Dalam konteks DEB (Dasar Ekonomi Baru) yang telah dikemukakan kepada rakyat pasca tragedi 13 Mei 1969, USF menyatakan bahawa matlamat kelompok bumiputera untuk memiliki saham sebanya 30% masih belum dapat direalisasikan. Justeru, USF berkata bahawa sejumlah kapitalis Melayu yang kaya raya wujud. Sekali gus Melayu kroni mengaut kekayaan negara hingga menjadi kelompok supra-kaya atas nama masyarakat Melayu keseluruhan yang rata-rata hanya menerima apa yang tersisa.

Hari ini beberapa isu ras yang boleh menjejaskan keharmonian hidup antara kaum semakin kerap berlaku terutama dalam media sosial. Keadaan menjadi bertambah parah apabila isu-isu agama menjadi begitu hangat. Fenomena ketaksuban agama seperti takfir dan penghukuman orang-orang bukan Muslim yang terlibat dalam parti-parti politik di tanah air sebagai kafir harbi walhal istilah ini telah diulang kaji oleh beberapa ulama dan intelektual Muslim yang berwibawa dalam seperti al Qaradawi, Hassan al Turabi, Rasyid Ghannoushi, al Bayyah, Kamal Abdul Majd dan lain-lain.

FTS tidak dapat dijayakan dengan berkesan sekiranya kelompok minoriti Muslim seperti di Selatan Thai, Mindanao, apalagi di Myanmar terus ditindas. Demikian juga permasalahan kemiskinan rakyat, peminggiran budaya, serta penafian peluang-peluang pendidikan dan sebagainya tidak dapat diislah secara adil dan saksama.

Penutup

Akhir sekali, mulai Januari, 2025, Malaysia akan menjadi Tuan Rumah ASEAN. DSAI, PMX akan mengambil alih kepengerusian ASEAN. Justeru, 550 juta warga ASEAN tentunya mengharapkan beberapa langkah praktis untuk mensejahterakan rakyat dari ekonomi, pendidikan dan kebudayaan dapat dilaksanakan.

Dalam era DSAI mengetuai ASEA, harapan warga ASEAN adalah untuk menyaksikan konflik politik di Selatan Thai, Mindanao (belum mendapat autonomi sepenuhnya) dan Myanmar dapat diselesaikan secara tuntas. Akhir sekali, gagasan Malaysia MADANI dan Fiqh At-Taayush As-Silmi boleh diangkat oleh Malaysia kepada komuniti ASEAN sebagai falsafah serantau demi keamanan dan kemajuan rantau ASEAN.

Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara