WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

MENYEDIA TAPAK BAGI KEBANGKITAN BARU ISLAM

Oleh Ahmad Azam Ab Rahman.

Sejarah membuktikan bahawa perubahan masyarakat hanya mampu dilakukan oleh orang-orang yang gigih bekerja dan berjuang. Betapa kita, masyarakat Melayu rantau ini, terhutang budi dengan para pendahulu yang terdiri daripada para da`i yang bersungguh-sungguh dan dengan penuh hikmah menyebarkan agama Islam ke rantau ini. Hasilnya, Islam diterima sebagai agama kehidupan oleh masyarakat serantau, menggantikan kepercayaan animisme dan agama Hindu-Buddha. Islamisasi berlaku secara halus dan lembut tanpa tentangan dan bantahan, hingga akhirnya Islam diterima sebagai asas kehidupan masyarakat dan negara.

Islam membentuk world-view baru bagi masyarakat Melayu dan world-view ini akhirnya menjadi kerangka berfikir dan landasan amal yang membentuk kebudayaan Melayu. Raja-raja Melayu memanfaatkan hikmah daripada agama dan memasukkannya ke dalam pentadbiran dan kanun-kanun negeri. Masyarakat Melayu yang mendapat inspirasi daripada al-Quran, menjadi lebih kreatif, bijaksana dan mencintai ilmu. Kitab-kitab agama dan tulisan-tulisan berunsur sejarah dan ketatanegaraan terhasil daripada revolusi pemikiran yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Idea-idea pembaharuan dan polemik Kaum Tua dan Kaum Muda, dari satu segi, adalah refleksi wacana keilmuan yang berupaya membantu mempertajam daya fikir umat. Perkembangan-perkembangan yang berlaku menyediakan umat untuk bergerak ke tahap lebih tinggi bagi satu transformasi yang lebih bermakna dalam penghayatan dan pendaulatan Islam.

Bagaimanapun, perkembangan positif ini menjadi terbantut dengan kedatangan penjajah. Mereka bukan sahaja menguasai pentadbiran negeri dan aktiviti ekonomi, tetapi berusaha memperkukuh kedudukan mereka dengan memperkenalkan sistem pendidikan baru yang bebas-agama dan yang sekularistik. Masyarakat Melayu berkembang menjadi masyarakat yang meminggirkan agama dan memberinya peranan yang terhad kepada urusan ibadah ritualistik. Daripada sistem baru ini lahirlah generasi yang hilang kecintaan kepada agama. Pemahaman dan penghayatan agama umat tidak berkembang dan merosot ke tahap yang rendah.

Era 70-an dan 80-an memberi momentum baru kepada penghayatan Islam. Fenomena yang dikenal sebagai Islamic resurgence telah membangkitkan semangat baru di kalangan generasi muda di negara-negara Islam. Penggerak utama yang menjadi tulang belakang kepada resurgence di Malaysia pada tahun-tahun 70-an dan 80-an ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan tokoh utama waktu itu ialah Presidennya, Anwar Ibrahim. Beliau berjaya menyuntik kesedaran Islam dan mengobarkan semangat generasi muda khususnya para mahasiswa di universiti-universiti untuk bangkit berperanan di tengah-tengah masyarakat, memperjuangkan kebenaran dan keadilan, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta membela golongan tertindas.

Hasilnya, masyarakat memperolehi kembali kekuatan spiritual-intellektual dan harga diri daripada agamanya. Kesedaran dan semangat baru ini kemudian memberi kesan meluas yang mengubah persepsi masyarakat terhadap kedudukan dan peranan agama. Islam dilihat lebih daripada sekadar dogma dan ritual. Islam difahami sebagai peraturan sosial, dasar untuk pendidikan dan sistem keadilan. Islam dilihat memiliki prinsip kukuh bagi pembangunan ekonomi dan pembinaan negara serta berupaya mengangkat umat menjadi pemimpin dunia. Masyarakat Islam mulai menuntut penghayatan Islam yang lebih bermakna dalam semua aspek kehidupan. Kehendak masyarakat yang semakin kuat memaksa pemerintah mengubah sikap terhadap isu-isu Islam. Mereka terpaksa menunjukkan sikap lebih simpatik dan bertindak memberi respons yang lebih positif dengan mengetengahkan polisi dan program yang lebih Islamik.

Penyertaan Anwar Ibrahim dalam parti politik mulai tahun 1982 membolehkan berlakunya penerapan nilai-nilai Islam secara lebih bermakna Satu-persatu, reformasi telah dilakukan termasuk yang melibatkan polisi-polisi pendidikan, kewangan, sosial dan pembangunan negara yang membawa ke arah penghayatan Islam yang lebih menyeluruh termasuk pendekatan yang lebih agresif dalam membela golongan kurang bernasib baik dan langkah-langkah anti amalan rasuah. Sikap masyarakat yang positif dan reseptif terhadap Islam dan idea perubahan serta gandingannya dengan pimpinan negara yang komited dan berwawasan telah menyediakan tapak terbaik untuk lonjakan seterusnya bagi menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai pemimpin dunia Islam tetapi juga dunia antarabangsa.

Sayangnya peluang baik ini tidak dapat dimanfaatkan. Fitnah, pendakwaan dan penahanan Anwar Ibrahim telah menyebabkan kendala terhadap proses perubahan yang berlaku. Masyarakat dan negara kembali terdedah kepada kepemimpinan yang tidak beretika, kerakusan dan salah guna kuasa. Proses pendidikan dan pematangan masyarakat terjejas, menjadikan mereka begitu rapuh terhadap serangan budaya luar yang merosakkan masyarakat. Walaupun negara, dari segi pembangunan prasarana mencapai kemajuan yang membanggakan, namun sikap, akhlak dan budaya pimpinan serta elit pemerintah mengundur jauh ke belakang, menongkah arus kesedaran masyarakat terbanyak. Zahirnya kelihatan kemajuan dan pembangunan yang memukau sedang hakikatnya kita sedang menempuh keadaan yang dapat diumpamakan dengan kata-kata T.S. Eliot, “in an age which advances progressively backward”.

Hari ini kita menyaksikan imej dan maruah negara yang terjejas kerana salah laku pimpinan. Rasuah dan salah guna kuasa berskala besar dipertahankan dan diberi justifikasi menjadi amalan yang dianggap normal. Pembaziran dan gaya hidup bermewah-mewahan berkembang menjadi budaya yang diterima dan tidak dicela. Nasib rakyat terbanyak tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Bahkan polisi-polisi yang diperkenalkan menambahkan beban dan penderitaan rakyat. Tata kelola yang baik (good governance) terhad dalam pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan namun amalan ini tidak terpakai dalam pemerintahan negara. Keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan dan amalan demokrasi terjejas teruk akibat beberapa tindakan pemerintah yang dilihat bertujuan melindungi kesalahan dan jenayah pihak-pihak yang berkepentingan. Rakyat terbanyak kelihatan bersikap pasif dan tidak berani untuk menyatakan bantahan dan rasa marah terhadap penyelewengan-penyelewengan yang berlaku di hadapan mata.

Keadaan-keadaan ini cukup untuk mendesak kita menilai semula dakwah dan gerak kerja yang kita lakukan selama ini. Di samping kejayaan meratakan dakwah dan kesedaran Islam, mengapakah tidak banyak perubahan di kalangan kelompok elit pemerintah; mengapakah kita gagal menyuntik keberanian rakyat untuk membantah dan menolak penyelewengan? Di samping penegasan dan wacana tentang wasatiyyah, mengapakah anak-anak muda terpikat dengan pendekatan ekstremisme dan militant? Di samping seminar-seminar tentang Islam dan masyarakat majmuk serta Islam sebagai rahmat sejagat, mengapakah rasisme dan chauvinisme serta rasa kebencian antara kaum meningkat dan semakin membimbangkan?

Tanpa kita nafikan bahawa usaha-usaha dakwah masa lalu telah menghasilkan impak besar kepada perubahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Namun selepas empat setengah dekad berlaku, kita kini berhadapan pula dengan cabaran-cabaran baru yang mungkin berbeza daripada apa yang kita hadapi masa lalu. Ini menunjukkan bahawa wajar untuk gerakan Islam dan badan-badan dakwah menilai kembali pendekatan dan cara bekerja yang sedia ada. Bagi menghadapi masa depan dengan realiti baru dalam dan luar negara yang lebih mencabar, para pimpinan gerakan perlu lebih kreatif dan berani mewacana dan mendebatkan isu-isu kritikal masyarakat dan umat secara tuntas, menentukan keutamaan-keutamaan (awlawiyyat) dan bertindak dengan penuh hikmah. Usaha-usaha mendidik umat dan meningkatkan tahap kecerdasan dan kefahaman mereka perlu dibuat dengan lebih agresif dan menyeluruh ke kota dan desa serta menerobos ke tengah-tengah golongan elit dan birokrat. Kita perlu kembali menyemak dan menganalisis, merancang dan mengatur agenda bertindak bagi menentukan langkah yang lebih realistik, sesuai dengan perubahan masa dan cabaran-caran baru yang mendatang.

Kita baru sahaja menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara ke-59, Ogos lalu. Apa ertinya kemerdekaan? Kemerdekaan adalah kebebasan dari belenggu penjajahan. Kemerdekaan memberi kita hak untuk menentukan sendiri akan nasib dan masa depan negara. Kemerdekaan memberi kita peluang menentukan bagaimana kita hendak mengolah dan memanfaatkan sumber-sumber kekayaan yang ada dengan cara yang paling baik agar kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama dan rancangan-rancangan pembangunan negara dapat dibiayai demi generasi akan datang. Dengan perkataan lain, negara yang merdeka hendaklah akhirnya mampu menyediakan kehidupan terbaik untuk rakyatnya.

Setelah 59 tahun mencapai kemerdekaan, kehidupan rakyat mengalami perubahan yang ketara. Secara umum kekayaan negara telah meningkat. Peluang pendidikan bertambah luas, dan perkembangan pelbagai sektor ekonomi telah menambah peluang-peluang pekerjaan. KDNK meningkat diikuti kenaikan dalam pendapatan per kapita. Pembangunan prasarana dan kemudahan perhubungan mencapai tahap yang tidak terbayang sebelumnya. Berdasarkan pencapaian-pencapaian ini negara menjadi lebih makmur. Namun adakah kemerdekaan hanya untuk kemakmuran?

Bagi kita nikmat kemerdekaan harus melampaui kemakmuran (prosperity), yang selalunya berasaskan kekayaan dan angka-angka objektif. Nikmat kemerdekaan perlu mengambilkira bukan sahaja kemakmuran tetapi juga kesejahteraan hidup (wellbeing), yang sebahagiannya berasaskan petunjuk-petunjuk subjektif. Konsep kesejahteraan hidup akan mengambilkira lebih dari sekadar bantuan wang, makanan, penyediaan rumah mampu-milik dan kemudahan perubatan. Ia lebih daripada sekadar bilangan shopping malls dan bilangan pengunjungnya atau bilangan telefon bimbit setiap rumah atau kelajuan internet bandwidth yang disediakan. Ia lebih dari bilangan lebuhraya, lapangan terbang dan pelabuhan yang telah dibina. Kesejahteraan hidup (wellbeing) akan mengambilkira rasa selamat masyarakat dari jenayah dan intimidasi dalam apa bentuk pun, kepuasan mereka dengan standard hidup dan alam sekitar, persepsi bahawa kerja keras akan memberi ruang untuk maju, keyakinan terhadap institusi kewangan dan sistem keadilan, kestabilan kerajaan, keberkesanan pemerintahan, rule of law, pengasingan kuasa, keberkesanan memerangi kemiskinan, keberkesanan memerangi rasuah dalam kerajaan dan perniagaan, partisipasi politik dan keyakinan terhadap pilihanraya yang adil, jaminan kebebasan individu dan hak untuk bersuara, tahap toleransi sosial yang melibatkan kaum dan agama serta bagaimana golongan minoriti dan pendatang dilayan. Sehingga semua perkara-perkara ini diambilkira, kita tidak seharusnya berpuas hati mendabik dada bahawa kita telah mengisi erti kemerdekaan.

Dalam banyak hal pencapaian kita dalam perkara-perkara seperti ini masih jauh daripada memuaskan. Memperjuangkannya memerlukan pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab, komited kepada prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan dan mereka yang meletakkan perjuangan untuk kebaikan rakyat di hati mereka. Rakyat yang sedar pula tidak harus berdiam diri hanya memandang keburukan-keburukan berlaku di depan mata, sebaliknya tampil bersama-sama berjuang menuntut perubahan yang lebih bermakna untuk rakyat.

Perjuangan mengisi kemerdekaan juga memerlukan sikap yang konsisten dalam isu-isu penting tentang masyarakat dan negara. Mewar-war kejayaan ekonomi dan kenaikan pendapatan per kapita tidak sepatutnya menjadikan kita mendiamkan diri tentang hutang negara yang meningkat, jurang pendapatan di kalangan rakyat yang masih tinggi dan keperitan hidup mereka yang berpendapatan rendah. Dalam mera`i kepelbagaian bangsa, agama dan budaya Malaysia, kita tidak sepatutnya memejam mata terhadap realiti meningkatnya suara-suara rasis dan kebencian yang semakin membimbangkan. Ketika berbicara tentang kebebasan dan hak-hak yang diberi perlembagaan, harus juga dijelaskan bahawa dalam masa yang sama hak-hak tersebut semakin disekat oleh pelbagai akta baru yang diluluskan. Bercakap tentang ketinggian ajaran Islam dan tuntutan perpaduan umat tidak sepatutnya menjadikan kita bisu terhadap ketegasan Islam menolak fitnah, pembaziran dan rasuah yang semakin membudaya dalam masyarakat. Demikian juga apabila menyesali kerosakan akhlak anak-anak muda dengan budaya yang melalaikan, hiburan dan pelbagai games, kita tidak harusnya takut untuk memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin yang rosak akhlak dengan rasuah, pembaziran dan penipuan. Semua realiti ini harus dihadapi dengan berani tanpa kompromi. Di samping mengakui kelemahan dan kealpaan masa lalu, kita harus bersedia memerah akal mencari formula-formula terbaik bagi menangani masalah-maslah berbangkit secara berkesan dan tampil dengan gemblengan tenaga yang padu, bekerja keras di tengah-tengah masyarakat bagi mengubah keadaan.

Dato’ Hj Ahmad Azam Ab Rahman ialah Presiden WADAH (Sesi 2019-2021).

Tadabbur Surah Al-Israa’ (17) ayat 49 hingga 52

Tajuk: Pengingkaran orang-orang musyrik terhadap hari kebangkitan dan bantahan terhadap mereka.Ayat 49 hingga 52 beserta terjemahannya. وَقَالوُٓاْ أءَذَِاْ كُنَّاْْ عِظَمَٰٗ اْْ وَ رُفَتًَٰاْ أءَِناَّْ لمََبۡعُوثوُ نَْْ خَلۡقٗاْْ جَدِيدٗاDan mereka berkata: [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara