WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

PELAKSANAAN MAQASID AL-SHARI’AH KUKUHKAN MARTABAT WANITA

Oleh Dr Siti Zalikhah Md Nor.

Dalam waktu terakhir ini masyarakat Islam banyak memperkatakan maqasid al-shari’ah sebagai suatu kaedah yang memastikan kesejahteraan masyarakat. Anehnya, perkara yang menjadi keutamaan dalam pelaksanaan syariat Islam itu baru kini menjadi perhatian masyarakat di Malaysia. Maka berdasarkan kemunculan istilah tersebut, ramai yang memahaminya sebagai asas utama perundangan Islam. Sedangkan apa yang sedia maklum di kalangan masyarakat Islam di Malaysia selama ini, asas atau sumber perundangan Islam ialah al_Qur`an, Al-Sunnah, Ijma` dan Qiyas. Apabila melihat kepada hukum-hakam apa yang terus terlintas ialah, “ Apakah hikmahnya?” Maka itulah yang dimaksudkan dengan maqasid al-sharicah.

TAKRIF MAQASID SHARcIYYAH

Menurut Ibn ‘Ashur , maqasid pensyariatan yang umum ialah makna (al-ma’ani) dan hukum yang diberi perhatian oleh Allah dalam semua hal pensyariatan atau sebahagian besarnya supaya perhatiannya  terhadap terhadap alam (kejadiannya) tidak tertumpu  kepada  jenis yang khusus daripada hukum syarak sahaja. Maka termasuklah dalamnya sifat-sifat syariat, matlamatnya secara umum dan makna-maknanya  yang diberi perhatian dalam pensyariatan, termasuk juga makna hukum yang tidak diberi perhatian oleh semua jenis hukum yang lain tetapi diberi perhatian dalam  banyak jenis daripadanya. 1

Menurut Allah al-Fasi, al-maqasid ialah matlamat daripadanya, dan rahsia-rahsia yang diletakkan oleh Allah pada setiap hukum daripada hukum-hakamnya.2  Manakala Ahmad al-Raysuniy,  maqasid al-al-shari’ah ialah matlamat yang ditetapkan oleh syariat bagi memastikan maslahah hamba ( makhluk).3

Oleh itu maqasid yang telah menjadi tumpuan setengah golongan masa kini bukanlah suatu perkara yang baru dalam perundangan Islam. Masyarakat Islam di Malaysia sudah menjadi kebiasaan merujuk kepada pandangan mazhan Shafi’iy agak kurang terdedah dengan konsep ini. Malahan kita lebih mudah memahami konsep maslahah.

PENJENISAN MAQASID

Maqasid terbahagi kepada tiga jenis seperti yang berikut;4

  1.  al-maqasid  al-daruruyyah
  2. al-maqasid al-hajiyyah
  3. al-maqasid al-tahsiniyyah.

Maqadis daruriyyah merupakan sesuatu yang sangat diperlukan bagi menegakkan maslahah agama dan dunia. Sehingga jika tanpanya maslahah dunia tidak dapat dibangunkan, malahan menjadi rosak dan melumpuhkan kehidupan dan selainnya menyebabkan kegagalan dan kerugian yang nyata.5

Kelompok daruriyyat yang diberi perhatian oleh syariat Islam ialah memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Oleh itu, terdapat banyak hukum-hakam yang memperkatakan kelima-lima kelompok ini. Dilarang menyekutukan Allah. Setiap orang wajib mempertahankan akidahnya kepada Allah. Diharamkan membunuh sewenang-wenangnya kerana Islam melindungi nyawa manusia. Diharamkan arak kerana ia merosakkan akal manusia. Maksudnya semasa mabuk manusia menjadi tidak waras dan apatah lagi apabila dia sudah menjadi ketagihan arak. Begitu juga dengan dadah atau apa sahaja bahan yang memabukkan. Akhir sekali dilarang menceroboh atau mencuri harta orang. Larangan ini termasuk juga mengambil harta orang lain secara tidak sah seperti menipu, mengkhianati dan juga perbuatan rasuah.

Maqasid hajiyyah ialah keperluan yang dihajati untuk mengelak kesempitan atau kesusahan. Tetapi keperluan kepada perkara tersebut tidaklah sampai ke peringkat kehidupannya menjadi rosak jika tidak dipenuhi.  Misalnya maqasid hajiyyah terdapat dalam ibadat, adat, muamalat dan  jenayah. Dalam ibadat terdapat keringanan seperti meninggalkan puasa Ramadan jika bermusafir atau sakit. Begitu juga boleh menqasarkan solat jika bermusafir. Mengenai adat, manusia boleh menikmati makanan dan minuman, pakaian, rumah dan kenderaaan yang selesa.6              

Maqasid tahsiniyyah ialah menerima pakai apa yang yang sesuai dan terbaik menurut adat, serta menjauhi hal-hal yang cemar menurut akal yang waras. Maqasid tahsiniyyah tidak memudaratkan manusi apabila ditinggalkan.

MENEGAK MAQASID AL-SHARIAH DEMI KESEJAHTERAAN WANITA

Wanita Malaysia hari ini bukan lagi seperti lembu yang dicucuk hidung dan ditarik untuk bekerja di  mana-mana . Adalah menjadi hak wanita sebagai warganegara dilindungi dan dijamin  maslahahnya yang lima itu, kerana perkara yang lima itulah yang menjadi tujuan  syariat Islam.

Oleh itu setiap pihak yang berkuasa hendaklah meletakkan keutamaan melindungi atau menjamin kelima-lima perkara tersebut itulah maksudnya rakyat didahulukan menurut perspektif syarak. Wanita mesti dijamin keselamatan mereka sama ada di rumah atau di luar rumah, kanak-kanak juga mesti dijamin  keselamatan mereka, malahan kaum lelaki juga mesti dijamin keselamatan mereka. Jika berlaku keganasan, serangan, rompakan dan ragutan di mana-mana sahaja rakyat rasa tidak selamat. Masalah penguatkuasaan undang-undang juga telah menimbulkan perasaan keraguan di kalangan rakyat maka rakyat tidak lagi merasa aman.

Wanita di Malaysia sudah tentu tidak mahu menerima suatu polisi yang terlalu ketat, sehingga wanita tidak boleh keluar rumah atau diiringi mahram ke tempat kerja. Tetapi apa yang dikehendaki ialah suatu polisi yang menjamin keselamatan mereka. Apa yang jelas ialah amar ma’ruf yang dilaungkan juga mestilah seiring dengan nahi munkar. Jika kedua-dua perkara tersebut tidak seimbang maka berlakulah sepertimana hari ini. Kita menyeru kepada kebaikan lebih banyak tetapi mencegah kemungkaran agak kurang. Misalnya kita ada sistem perbankan Islam  untuk mengelakkan riba. Menyuruh orang membayar zakat, menyuruh orang berwakaf dan lain lagi. Tetapi perbuatan zina dan maksiat lain seperti minum arak, berjudi dan pelbagai kegiatan seks yang ditegah berlaku dengan mudah. Sikap sad al-zari`ah (menutup pintu) terhadap perkara-perkara tersebut kurang dilakukan. Pada hal itulah yang dimaksudkan dengan  nahu munkar.

Di suatu sudut perkataan wasatiyyah sering diungkapkan. Adakah maksud ummatan wasatan hanya sebagai umat yang tidak terlalu kebendaan dan tidak terlalu kerohanian sahaja.7 Sedangkan matlamat wasatiyyah ialah menjadi saksi ke atas umat terdahulu pada Hari Kiamat, dan  mereka menyaksikan bahawa Rasul mereka menyampaikan dakwah. Maksudnya menyampaikan Islam sebagai agama yang seimbang. Oleh itu, di samping menyeru kepada kebaikan maka mencegah kemungkaran juga hendaklah dilakukan secara serentak. Ruang-ruang yang boleh manusia mencelah untuk melakukan kemungkaran hendaklah ditutup. Kanak-kanak boleh bermain atau berlari tanpa takut kepada pencabul atau penculik. Wanita boleh melenggang di jalan raya atau di bandar tanpa takut kepada perompak atau peragut. Wanita juga boleh ke tempat kerja tanpa takut diganggu atau dibuli. Inilah yang dinamakan kesejahteraan umat.

Kesejahteraan umat bukan hanya bergantung kepada perut yang kenyang dengan berbagai suapan tetapi jiwa dan fikiran tidak merdeka. Pemikiran hanya mampu menjangkau apa yang telah ditayang oleh tok dalang di layar buruk atau layar yang telah usang. Ummatan wasatan adalah ummah yang menjuarai kehidupan di dunia dan di akhirat. Apa yang hendak dituju ialah akhirat tetapi dunia ini jangan dilupakan.8  Apa yang dianugerahkan oleh Allah SWT  hendaklah digunakan untuk menghampirkan diri kepadaNya ( taqarrub). Taqarrub adalah untuk mendapat ganjaran di dunia dan akhirat, kerana dunia adalah semaian atau ladang kepada akhirat. 9 Manusia diingatkan supaya jangan lupa hak mereka untuk menikmati kelazatan duniawi yang dibenarkan oleh Allah SWT  serta menunaikan hak kepada Allah, dirinya, keluarganya serta ke atas yang mempunyainya. Inilah yang dinamakan wasatiyyah dalam kehidupan. 10 Tetapi apa yang berlaku pada hari ini ialah sebaliknya. Manusia sanggup menipu, menindas dan berdusta kerana mahu hidup mewah dan berkuasa di dunia tetapi lupa bahawa perbuatannya dipersaksi-kan di hadapan Allah pada Hari Mahshar.

KESIMPULAN

Demi menjaga kesejahteraan wanita maka wanita hendaklah menggunakan kuasa memilih yang ada pada mereka untuk menentukan kuasa yang memerintah menjamin segala maqasid daruriyyat  bukan hanya menuntut sekadar menuntut wang bantuan atau wang saku. Apa wanita hari ini perlu sedar ialah pilihan yang tepat akan menyelamatkan generasi akan datang daripada masa depan yang tidak menentu.

Penulis ialah Mantan Ketua HELWA ABIM. Kertas ini sebahagian dari pandangan yang dibentangkan pada Himpunan Helwa Kebangsaan 2013, Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, 2 Februari 2013

RUJUKAN

 Nuruddin Mukhtar al-Khadimiy, 2010. Al-ijtihad al-maqasidiy. Cet. ke- 1. Beirut; Dar Ibn Hazm.hlm. 43.

Ibid.

 Ibid.

`Abd al-Aziz bin `Abd al-Rahman,bin Rabi`ah.2002. `Ilm maqasid al-shari`. Cet. 1. Saudi Arabia; tanpa. Penerbit..“

ibid.

7   Wahbah al-Zuhayliy, 1991. Al-tafsir al-munir, Juz 1-. Beirut; Dar al-Fikr al-Mu`asir, hlm. 9-10.

8 Surah al-Qasas; ayat 77.

9 Wahbah al-Zuhayliy, 1991. Al-tafsir al-munir, juz 20.Beirut; Dar al-Fikr al-Mu`asir, hlm. 160-161.              

10    Ibid.

Tadabbur Surah Al-Israa’ (17) ayat 49 hingga 52

Tajuk: Pengingkaran orang-orang musyrik terhadap hari kebangkitan dan bantahan terhadap mereka.Ayat 49 hingga 52 beserta terjemahannya. وَقَالوُٓاْ أءَذَِاْ كُنَّاْْ عِظَمَٰٗ اْْ وَ رُفَتًَٰاْ أءَِناَّْ لمََبۡعُوثوُ نَْْ خَلۡقٗاْْ جَدِيدٗاDan mereka berkata: [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara