Oleh Ahmad Azam Ab Rahman
ALlah lebih mengasihimu!InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun .
Tiada lagi ujian buatmu didunia ini.Semuanya telah kau lalui dengan redha, tabah dan sabar.
Bahagia engkau sama sahaja, baik tika susah atau senang. Inilah maqam redha yang hakiki. Engkau tidak mendambakan dunia. Lantas dunia tidak mendatangimu.
Namun engkau mendambakan akhirat. Hidup sebenar dan kekal abadi. Itulah yang kau cari tanpa mempedulikan sebarang ganjaran duniawi.
Engkaulah yang sentiasa bersamaku membantu amanah dakwah ini tanpa keluh dan kesah. Bersama merengkuk penjara ISA di bilik sebelah. Mendayu-dayu kudengar bacaan ayat suci bacaanmu penuh syahdu.
Tidak pernah engkau mengecewakan segala permohonan aku. Teguranmu begitu halus tika aku alpa dan lupa. Engkaulah sahabat, Engkaulah abang, Engkaulah sebenar Murabbiku. Mendidik aku dengan akhlakmu yang cukup mulia. Ya Rabb!
Aku bersaksi bahawa Cikgu Halim adalah sebaik-baik Mujahid di atas jalanMu. Redha dan sabar atas segala takdir-Mu. Memilih akhirat dari kesenangan dunia. Istiqamah dalam perjuangan.
Berehatlah akan dikau di kampung abadi, menikmati segala ganjaran amalmu di syurga Firdausi.
Engkaulah Putera Terbaik buat Jemaah ini.
Aku akan menyusul jua….
Abdul Halim Ismail kembali ke rahmatuLlah akibat Covid-19 pada 25 Ogos 2021/16 Muharram 1443 di Hospital Sg Buloh jam 10:34 malam. Al Fatihah.