WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

TERASUH ACUAN FIKIR USTAZ SIDDIQ FADZIL

Oleh Sayed Munawar Sayed Mustar

Alfatihah. Tidak berpada dengan hanya menyedekahkan ummul kitab. Dia murabbi. Nukilannya telah mencorakkan kerangka fikir dan mendisiplinkan tabiat mendalami ilmu. Jika ditanyakan siapa satu sosok yang pernah bersua dan memberikan dampak paling besar dalam membina acuan fikir sepanjang bermujadalah, maka tentunya almarhum Ustaz Siddiq Fadzil merupakan tokoh yang saya letakkan teratas.

Bersama almarhum, saya dititip pada peringkat disiplin dan sumbu ilmu. Beliau adalah picu kompas fikrah Islami yang semarak cahaya panduannya. Garis-garis Besar Haluan Perjuangan merupakan ucapan dasar beliau yang pertama kali saya hayati dan tersentap dengan kekuatan artikulasinya. Inti dan pemilihan bait kata bukanlah suatu yang diambil enteng oleh beliau. Meski tidak hadir sewaktu ucapan dasar yang itu, membacanya saja serasakan sedang menonton drama monolog yang menyentuh lengkap sebuah naratif umat yang kalut – mencari-cari arah meneruskan agenda dakwah, tika umat ramainya terpana dengan drama dan pencak siyasah, lebih daripada jalur gerakan dakwah.

Antologi ucapan itulah merupakan sebuah naskhah yang magis, mendisiplinkan diri menjadi terdidik dengan rasa yakin bahawa kerja dakwah adalah lebih awla dan tinggi daripada sekadar berpencak di pentas apa pun – siyasah, ekonomi, akademia bahkan juga media. Naskhah itu mencoretkan ‘the big why’ dan asbab bahawa tiang seri dakwah ini sangat dinamik dan berguna walau apa pun pentasnya.

Pencorak Fikiran

Lebih dramatik lagi, sejurus menamatkan pengajian sarjana muda, bertugas pula langsung di bawah almarhum menitipkan hikmah beliau menggubah modul pengurusan Tawhidik, merasa sangat terdidik dengan setiap lembaran sirah dan hikmah yang dikutip tertib dalam setiap ulasan – memberikan modul berkenaan sebagai MBA Pengurusan Islami terbaik dalam pengalaman hidup ini. Bahkan masih hingga kini, baik membaca antologi ucapan dasar, begitu juga menghadiri siri bengkel modul, begitu juga mengulang ikut setiap siri dan episod ucapan beliau, semenjak Tafsir maudhu’ie, sarat ucapan dan pidato beliau di media sosial, semuanya benih butir hikmah yang sangat berharga – begitu berharga sehinggakan kosa kata dan olahan semantik beliau terpancar dalam sesi mujadalah dan soal jawab yang saya kendalikan.

Sebelum ini beberapa cubaan meneka-neka siapakah yang mempengaruhi corak fikir saya dalam setiap bual bicara. Saya tidak segera menjawab. Namun, jauh disudut hati, saya fikir dan yakin, banyak kerangka yang telah baku dalam corak minda ini, sumbunya adalah Ustaz Siddiq Fadzil. Tanpa saya sedari, mental framing ini telah terasuh dengan corak gubahan ethos membawa kepada pathos yang beliau titipkan. Begitu kuat sekali sehingga tatkala bermujadalah, apabila penghujahannya menjadi genting, terpacul lenggok patois tanah Jawa meski tiada darah jawa dalam diri ini, sepanjang yang saya sempat tahu. Hanya satu sumber patois tanah Jawa yang berkemungkinan, segala ethos, pathos dan logos yang terasuh dengan corak artikulasinya Ustaz Siddiq Fadzil selama bertahun.

Mengamat-amati untaian kata beliaulah saya menggubah modul ‘the econimics of semantics’ di dalam siri latihan yang saya bangunkan – sebuah ungkapan yang saya cuba maknakan dengan maksud bahawa setiap istilah itu, jika tepat konteksnya, bisa membawa muatan maknawi yang bukan hanya tepat, bahkan tinggi. Begitu tinggi, sehinggakan ada kalangan muridnya meminta beliau merendahkan kosa kata bagi memudahkan kefahaman, sekonyong-konyong beliau menjawab, ‘ana tidak mahu turun, antum harus naik!’. Wah, Sungguh, jawapan yang bikin saya terpana. Dan lelucon itulah membina kekuatan mujahadah memperjuangkan istilah bahasa ibunda dalam pelbagai pentas yang saya hadiri. Ya, bahkan, istilah ‘resensi’ itu yang mula saya gunakan sekitar 2002 di saluran nasional adalah berkat hikmat cabaran ‘antum harus naik’ yang beliau lontarkan itu.

Benar sekali. Sesekali umat harus di ajak untuk berpencak di arena ilmu yang lebih tinggi, dan tidak hanya meladeni sembang kosong yang basa basi. Lelucon beliau bukan hanya pintar, malah cerdas menegur sinis dalam hampir semua sesi pidatonya. Yang terakhir sempat saya kongsi-tularkan semula berkait kemelut politik semasa adalah nukilan beliau tentang bagaimana matematik di arena politik ini mantiknya berbeza. Sambil tersenyum mendengarkan anekdot yang dikongsikan, entah mengapa sentiasa terbit rasa puas, lantaran kupasannya yang sangat mengasyikkan.

Idealog Inti Fikir

Inilah manifestasi ‘the economics of semantics’ yang saya maksudkan, antaranya. Beliau bukan sekadar guru, bahkan idealog yang saya sifatkan sebagai original thinker, seringkali mendahului dalam menyalurkan muatan fikir yang besar dan padat. Beliau mengulas tentang Minda Melayu Baru awal sebelum diplagiat oleh politikawan yang rawan mencari-cari identiti. Tentu sekali huraian beliau sangat sarat dengan muatan maknawi yang tulen, tidak terbanding oleh politikawan yang hanya mampu mengulas dan memanjangkan ulasan yang ditugaskan kepada ghost writer siyasah yang berlambakan.

Begitu juga kupasan beliau tentang manhaj malazie sewaktu Malaysia tercari-cari pengisian terhadap persoalan fiqh al waqie’, apa modul dan model Malaysiana dalam mengisi dakwah? Bagaimana kerencaman yang ada ini harus diraikan dan digubah dengan agenda dakwah secara lebih pragmatik dan dinamik? Aneh sekali, entah dari mana datangnya idea besar sebegitu yang kemudiannya pimpinan negara mengartikulasikannya sebagai ‘acuan Malaysia’, lewat 2 tahun selepas beliau memulakan.

Memang aneh, kerana sering kali pidato beliau bukan hanya mengutip butir hikmah kitab muktabar, tetapi juga diselitkan dengan cuplikan daripada butir kata ilmuwan serantau, digabung diolah dan digubah sedemikian rupa, menjadikan beliau pemilik dan idealog inti fikir besar serantau. Ustaz Siddiq Fadzil bukanlah tokoh agamawan yang kita kerap temui di media massa bercerita tentang keutamaan dalam beramal.

Di dalam dunia akademik juga beliau tidak pernah diangkat sebagai pemuka Ilmu yang besar, kerana, bersetuju dengan hujah Prof Zaini Ujang – itu bukanlah mujahadahnya. Beliau tidak mencari nama dalam kerja dakwahnya. Pernah sejurus beliau menerima darjah besar yang membawa gelaran Dato’, entah kenapa saya tersebutkan bahawa ada saja yang langsung membeli gelaran itu dan beliau terkejut. Tidak terlintas difikirannya gelaran sebegitu ada nilai dalam dagangan. Dan sejurus menerima gelaran itu juga ramai bertanya, apakah kami perlu menggelar beliau sebagai Dato, atau kekal dengan sekadar ustaz? Lantas, beliau memberikan jawapan, seperti mana biasa, menggetarkan kami semua. Katanya, “Dato itu anugerah, ustaz pula kurniaan umat, saya berpada dengan apa yang diberi umat”. Begitulah.

Ketokohan beliau sebagai idealog itulah yang menjadi kegusaran saya beberapa ketika semasa berbanting idea dengan teman-teman seangkatan, berkali-kali saya tanyakan, meski secara berasingan, siapa selepas Ustaz Siddiq? Siapa selepas Ustaz Siddiq? Kami sedar, masanya akan tiba. Kami belum bersedia menunjukkan siapakah pewaris tokoh idealog umat ini. Dan Allah SWT memilih 31 Ogos ini sebagai masanya. Kami masih belum bersedia menjawab. Siapa selepas Ustaz Siddiq Fadzil? Siapa yang punyai upaya mengulas dan menggubah idea besar yang boleh dijadikan panduan melangkah kepada juru dakwah dalam kekalutan yang kelihatannya akan terus gawat?

Pulang Menemui Pencipta

Ust Siddiq Fadhil kini telah Allah SWT merdekakan daripada fitnah dunia, memetik komentar teman di media sosial. Beliau telah mewariskan hikmahnya yang besar dengan sebarisan juru dakwah yang beraksi di pelbagai lapangan. Moga setiap mereka itu berpencak dan menatijahkan pahala yang berpanjangan buat beliau, tentunya. Rakan dan taulan sekalian. Ustaz Siddiq Fadzil telah pulang menemui pencipta. Tugas beliau sudah usai. Beliau mewariskan kita dengan taklif rabbani ini. Kita belum bersedia, menjadikan kita merasa semakin kecil dengan ketidak-sediaan ini.

Kita sambutlah dengan keinsafan, bahawa Allah SWT tidak membebani kita dengan beban yang lebih besar daripada apa yang mampu kita galas. Usta zSiddiq Fadzil kini damai di sempadan akhirat. Allah SWT kurniakan beliau rahmat dan rahimNya. Pemergiannya tadi tidak sempat saya iringi. Saya mohon teman-teman, kita bersama-sama menyedekahkan al-Fatihah buat guru kami, murabbi dan pemikir ulung umat, Uts Siddiq Fadzil.

Pemergian beliau pada tanggal sambutan merdeka, maka saya kongsikan sajak beliau yang dinukilkan 14 tahun nan lalu. Nyata. Mendebarkan.

Bicara Merdeka Seorang Guru Tua

Lima dasawarsa yang lalu

aku, anak desa yang dungu serba tak tahu

hanya ikut-ikutan melulu

memekik “Merdeka! Hidup Tunku!” bertalu-talu.

Hingga tiba ketika aku berani bertanya

ruh dan makna sepatah kata,

meminta bukti nyata sebuah cerita

“Merdeka”

Kutadah segala madah

Kuperah khazanah hikmah

Kutemukan daulat karamah insaniyah

Mulia perkasa dengan al-‘izzah.

Merdeka siapa cuma mengenyah penjajah

Merdekaku meraih ‘izzah

Deklarasi syahadah: la ilaha illa ’Llah

menyanggah berhala seribu wajah

mengenyah segala bedebah penjajah, penjarah, penjenayah.

Kubongkar pendaman fakta

Kubuka kitab pusaka

Terserlah deretan nama

Wira merdeka bukan Tunku sahaja

Ramai yang mendahuluinya.

Mendadak aku bertanya

sejarah bikinan siapa?

Merdekakah kita,

julingkah mata sarjana

apabila tidak bersuara

tentang pahlawan tak dikenang

wira tak didendang?

Lima dasawarsa lamanya

banyak kata belum terkota

banyak lagi rupa tak seindah berita.

Bagi generasi yang semakin tak mengerti

kata merdeka bak mantra yang hilang sakti

dan mereka semakin tak peduli.

Jiwa merdeka sirna ditelan pesta

Matilah rasa hilanglah peka

betapapun gegak gempitanya

pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Tetapi semerta terbelalak mata

bila setan korupsi menggoda,

“Mau duit ka? Mau duit ka? Mau duit ka?”

Gejala pesona yang kian menggila

menginjak taqwa menganjak jiwa

merdeka dengan Ketuhanan Yang Maha Esa

menjadi hamba kewangan yang “maha berkuasa”.

Pada Hari Merdeka yang ceria

kusimpan tangis di balik tawa

kupendam cemas di tengah pesta.

Akan terjualkah merdeka kita?

(Mensyukuri Nikmat Menginsafi Amanat Sempena 50 Merdeka, KDH: 31 Ogos 2007)

Tadabbur Surah Al-Israa’ (17) ayat 49 hingga 52

Tajuk: Pengingkaran orang-orang musyrik terhadap hari kebangkitan dan bantahan terhadap mereka.Ayat 49 hingga 52 beserta terjemahannya. وَقَالوُٓاْ أءَذَِاْ كُنَّاْْ عِظَمَٰٗ اْْ وَ رُفَتًَٰاْ أءَِناَّْ لمََبۡعُوثوُ نَْْ خَلۡقٗاْْ جَدِيدٗاDan mereka berkata: [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara