WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

MALAYSIA DAN ANTI-SEMITISME

Oleh Abd Halim Ismail.

Mahathir dan Anti-Semitisme di Malaysia

Dr Mahathir Mohamed dilabel oleh golongan pro-Israel sebagai anti-Semitik kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya tentang Yahudi. Pada Jun 2016, beliau menyebut bahawa “the Jews ruling the world by proxy’ dan “America is very much under Jewish influence.” Di Universiti Columbia, pada September 2018, beliau memberi komennya tentang mangsa Holokus. Beliau juga melabel orang-orang Yahudi sebagai “hook-nosed” bahkan dia berbangga digelar anti-Semitik, glad to be labeled anti-Semitic.” Buat masa ini Dr. Mahathir satu-satunya pemimpin Malaysia, bahkan mungkin antara beberapa pemimpin dalam kalangan negara-negara Islam, yang berani dan tegas dalam menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap tindak tanduk Yahudi dan Israel.

The Times of Israel (27 Jun 2021), menegaskan bahawa Malaysia adalah antara negara-negara di dunia yang amat anti-Semitik (Malaysia is often seen as one of the world’s most anti-Semitic countries). Survei oleh Anti-Defamation League (ADL), menemukan bahawa Malaysia mempunyai kadar sentimen anti Yahudi yang tinggi di rantau ini, kalaupun tidak di dunia (A survey by the Anti-Defamation League has found it harbors one of the highest rates of anti-Jewish sentiment in the region, if not the globe). Menurut ADL lagi sentimen anti-Semitik di Malaysia mencapai sehingga 61 peratus, berbanding Singapura hanya 16 peratus, Thailand, 13 peratus bahkan Indonesia masih lebih rendah dari Malaysia iaitu 48 peratus.

Beberapa tulisan turut dihasil bagi menilai sentimen anti-semitik di Malaysia, misalnya tulisan oleh Moshe Yegar berjudul “Malaysia: Anti-Semitism Without Jews” dalam Jewish Political Studies Review, terbitan Jerusalem Center for Public Affairs. Terbaharu, sebuah buku dengan judul “Anti-Semitism in Contemporary Malaysia: Malay Nationalism, Philosemitism and Pro-Israel Expressions” ditulis oleh Mary Ainslie (University of Nottingham, Ningbo, China). Penulis merumuskan bahawa terdapat perubahan positif dalam sentimen sokongan rakyat Malaysia terhadap Yahudi dan Zionis Israel.

Ekoran operasi 11 hari ‘Guardian of the Walls’ Israel ke atas Gaza bulan Mei 2021 yang lalu, kita dapat mengesan bahawa kebencian rakyat Malaysia terhadap Zionis Israel meningkat amat ketara. Simpati dan sokongan rakyat untuk tabung-tabung bantuan rakyat Palestin luar biasa. Generasi muda yang marah terhadap keganasan Israel telah mengatur serangan siber yang menakjubkan dan mendapat sokongan meluas masyarakat Malaysia dan juga masyarakat dunia. Penggodaman lebih dua ribu laman web dan pengkalan data di Israel, juga kejayaan ‘menceroboh’ lima ribu cctv di Israel oleh gabungan hackers di Malaysia telah dira`i sebagai ‘kemenangan perang’. Hashtags #IsraelKoyak disebut sebanyak 557 ribu kali hanya pada beberapa hari operasi di Gaza. Menurut satu agensi perisikan Israel, Mier Amit Intelligence and Terrorism Information Center (Julai 2021), “ there is a large and powerful network of anti-Israel groups and organizations in Malaysia that should be further researched…” Melihat kepada reaksi yang berlaku ini, kesimpulan-kesimpulan yang dibuat oleh Mary Ainslie dalam bukunya tentang sentimen anti-Semitik rakyat Malaysia semakin menurun, menjadi satu tanda tanya besar.

Anti-Semitisme di Eropah dan Amerika

Anti-Semitisme merujuk kepada sikap prejudis dan kebencian terhadap bangsa Yahudi (Jews) sebagai individu mahupun kumpulan. Walaupun istilah anti-Semitik dipopularkan pada tahun 1879 oleh Wilhelm Marr, seorang wartawan German, namun kebencian dan prejudis terhadap Yahudi berakar pada sejarah yang jauh lebih awal. Semasa Zaman Pertengahan di Eropah, orang-orang Yahudi dianggap sebagai ‘orang luar’ yang degil dan enggan berasimilasi dengan masyarakat lain. Kebencian dan perseteruan orang-orang Kritsian terhadap orang-orang Yahudi turut terkait dengan agama iaitu kerana keengganan mereka menerima Nabi Isa (Jesus of Nazareth) sebagai al-Masih yang dinantikan, bahkan mereka dituduh bertanggungjawab terhadap pembunuhan Nabi Isa.  Di Eropah, pelbagai perkara yang berlaku dilihat mempunyai kaitan dengan orang-orang Yahudi. Ketika Hawar Bubon (Bubonic Plague) yang berlaku pada pertengahan tahun-tahun 1300 di Eropah, yang membunuh sepertiga dari penduduk Eropah, orang-orang Yahudi dituduh sengaja meracun perigi-perigi dan sengaja merencana penyebaran wabak tersebut.  Prejudis yang makin menebal dan kebencian yang meluap membuat masyarakat Eropah menyekat mereka dari terlibat dalam kegiatan-kegiatan ekonomi, pemilikan tanah, pertanian dan perusahaan.  Mereka tidak diberi taraf kewarganegaraan dan dinafikan hak-hak awam (civil liberties) dan dipaksa tinggal di ghettos. Kebencian luar biasa ini mendorong mereka diusir dari sebahagian negara-negara Eropah; pada tahun 1290 mereka diusir dari UK, dari Perancis pada tahun 1306 dan1394 dan pengusiran terbesar berlaku dari Spain pada tahun 1492 dan juga pengusiran dari Portugal 1496.

Martin Luther dan Reformasi Protestant yang dianjurnya, turut menyemarakkan lagi anti-semitisme keagamaan. Beliau melihat orang-orang Yahudi dan agama Yahudi sebagai masalah kepada gereja Protestan. Dalam bukunya On the Jews and Their Lies (1543), Luther menganjurkan tindakan-tindakan yang membawa kepada ‘penghapusan’ masyarakat Yahudi. Buku ini disebut memberi inspirasi kepada idea Holokus oleh Nazi German, antara tahun 1941-1945 yang diakui sebagai episod terburuk anti-Semitik dalam sejarah. Holokus menyaksikan pembunuhan beramai-ramai terbesar dalam sejarah dunia ini oleh Nazi German, melibatkan bilangan mangsa yang disebut mencapai 6 juta orang; menyamai 2/3 dari penduduk Yahudi di Eropah.  Pembunuhan dilakukan di berbagai kem penghapusan (extermination camps). Kaedah ini menjadi sebahagian dari langkah-langkah penghapusan orang-orang Yahudi yang dianggap sebagai penyelesai muktamad terhadap masalah orang-orang Yahudi (The Final Solution to The Jewish Question), khususnya di Eropah.

Askar Nazi German menembak wanita Yahudi di pembunuhan beramai-ramai di Mizocz, Ukraine

Di Amerika sikap anti-Yahudi mempunyai beberapa catatan. Pada tahun 1920 Henry Ford, saudagar dan pengusaha kereta termasyhur itu, telah menulis buku The International Jew bagi membuktikan bahawa orang-orang Yahudi merupakan punca kepada berbagai masalah dunia. Bahkan dalam salah satu judul tulisannya beliau menyebut orang Yahudi sebagai ‘the world’s foremost problem’. Disebabkan tulisan ini, Henry Ford menerima anugerah Grand Cross of the German Eagle dari Nazi pada tahun 1938. Dia juga bertanggungjawab mencetak dan menyebarkan 500,000 naskhah Protocol of the Elders of Zion yang dipercayai mengandungi rancangan besar Yahudi bagi menguasai dunia.

Anti-Semitisme di Barat Selepas Holokus

Kesedaran masyarakat antarabangsa tentang hak-hak asasi manusia dan peranan UN dalam menggubal undang-undang antarabangsa yang menghalang diskriminasi, ethnic cleansing dan genocide, telah berjaya mengendurkan sentimen anti-Semitik di Eropah, Amerika dan dunia umumnya. Anti-Semitisme telah menjadi sebahagian dari undang-undang di kebanyakan negara-negara Eropah termasuk German. Natijahnya, sentimen anti-Semitisme negara-negara ini dapat dibendung pada kadar-kadar tertentu. Ini diperkukuhkan dengan berbagai perjanjian, charter dan convention yang telah diperkenalkan di peringkat antarabangsa yang mengiktiraf jenayah keganasan, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan (crimes against humanity) sebagai kesalahan di bawah undang-undang jenayah antarabangsa.

Namun kini setelah berlalu 76 tahun, sejak kem Auschwitz di Poland dibebaskan oleh tentera Soviet (pada 27 Januari 1945), apakah anti-Semitisme masyarakat Eropah telah terhapus? Dapatan dari kajian-kajian yang dibuat oleh berbagai pihak menunjukkan bahawa semangat anti-Semitik tidak pernah padam dari masyarakat Eropah, bahkan sentimen itu secara global telah meningkat. Semestinya kenaikan sikap anti-Yahudi berkembang di negara-negara Islam ekoran kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, namun di UK, Peranchis, German dan Sweeden sentimen anti-Semitik juga menunjukkan peningkatan besar. Demikian juga di Amerika dan Kanada. Sentimen anti-Semitik tertinggi ialah 95 peratus iaitu di Peranchis dan paling rendah 56 peratus di Denmark. The Times of Israel (Disember 2018), melaporkan hasil dari survei utama yang dibuat oleh European Union menunjukkan bahawa 90 peratus dari Yahudi di Eropah menganggap bahawa anti-Semitisme telah meningkat di negara-negara yang mereka diami. Sebanyak 85 peratus dari mereka menganggap anti-Semitisme sebagai ‘masalah sosial dan politik terbesar’. Sementara 38 peratus dari penduduk Yahudi Eropah bercadang untuk berpindah ke negara lain ekoran keadaan yang semakin tidak selamat. Sikap antagonisame terhadap Yahudi ini sering dikaitkan dengan golongan ekstremis Islam, namun ancaman terbesar yang mereka hadapi sebenarnya adalah dari golongan far-left di Eropah dan far-right (seperti kumpulan white-supremicist) di Amerika.

Anti-Semitisme Baru dan Negara Israel

Anti-Semitisme diasaskan kepada kebencian terhadap bangsa Yahudi. Pada dasarnya kebencian demikian adalah satu bentuk rasisme yang tidak dapat diterima oleh masyarakat bertamaddun. Membenci suatu bangsa dan mendiskriminasinya semata-mata kerana bangsa, warna kulit dan agamanya adalah tidak wajar. Maka pada dasarnya sikap anti-Semitik adalah sesuatu yang tidak wajar dan perlu dibendung dari berkembang, kerana di hujung kebencian ini ialah hate-speeches, diskriminasi, membuli, serangan-serangan fizikal serta tindakan-tindakan ganas yang memakan korban.

Bagaimanapun ruang cakupan anti-Semitisme kini sengaja diperluaskan dengan memasukkan berbagai perkara lain. Antara perkara-perkara tersebut ialah: apa-apa kenyataan yang bermaksud mempersoalkan hak orang-orang Yahudi dalam menentukan masa depan mereka, atau kritikan-kritikan yang ditujukan kepada negara Israel atau Zionisme yang dianutnya, atau sebarang kenyataan melabel negara tersebut sebagai negara rasis atau membanding tindak tanduknya dengan apa yang dilakukan oleh Nazi, atau pendirian yang mendokong adanya teori konspirasi Yahudi sedunia atau sebarang kenyataan yang mempersoalkan atau menafikan Holokus.  Semua ini dianggap anti-semitisme. Bahkan termasuk juga sebarang tuduhan bahawa Yahudi menguasai media, ekonomi, institusi sosial atau kerajaan (https://www.state.gov/defining-anti-semitism/).

Polisi-polisi, pendirian bahkan tindakan-tindakan yang diambil oleh mana-mana negara adalah tertaaluk kepada kritikan dan protes dari berbagai pihak termasuk dari mereka yang berada dalam negara. Ini adalah sebahagian dari amalan demokrasi dan keterbukaan serta proses semak dan imbang yang membantu memperbaiki rancangan dan program untuk sesebuah negara. Pengertian baru anti-Semitisme yang melarang sebarang kritikan terhadap negara Israel menjadikannya seolah-olah sebuah negara yang serba sempurna dan tidak boleh disentuh (untouchable). Perkara-perkara lain yang dimasukkan juga menghairankan, pelik dan secara jelas berlawanan dengan hak kebebasan bersuara. 

Definisi baru ini telah digunakan oleh negara Israel bagi mempertahan kejahatan dan kezaliman yang dilakukan mereka terhadap rakyat Palestin dan menjadikan sebarang tindakan rakyat Palestin dalam perjuangan mendapat kembali tanah air mereka sebagai anti-Semitik, tidak sah dan perlu dikutuk. Sebaliknya segala tindakan ganas dan zalim oleh negara Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat dianggap wajar dan sah kerana mereka mempertahan hak untuk wujud (Israel’s right to exist).  Ini adalah satu percubaan untuk mengubah ‘tindak tanduk yang tidak bermaruah dan tidak berperikemanusiaan’ menjadi ‘perjuangan mulia’. Anti-Semitisme bukan lagi bermaksud mempertahan nasib orang-orang Yahudi tetapi untuk memangsakan orang-orang Palestin. Seperti yang disebut oleh Peter Beinart, dalam tulisannya Debunking The Myth That Anti-Zionism Is Anti- Semitic (2019), “It’s a bewildering and alarming time to be a Jew, both because anti-Semitism is rising and because so many politicians are responding to it not by protecting Jews but by victimizing Palestinians.”

Israel dibangun dari faham Zionisme antarabangsa yang bertujuan membangun sebuah negara bagi orang-orang Yahudi. Mereka memilih Palestin yang di warwar ‘sebagai negara tidak berpenghuni, untuk Yahudi yang tidak bernegara’ (Palestine is a country without a people, the Jews are people without a country). Hakikat sebenarnya Israel dibangun atas keganasan, pembunuhan dan pengusiran secara paksa ratusan ribu penduduk Palestin dan rampasan tanah dan harta benda mereka serta tindakan-tindakan terancang penghapusan etnik (ethnic cleansing) Palestin. Pemerintah Israel yang ada meneruskan keganasan dan tindakan-tindakan tidak berperi kemanusiaan dengan mengepung penduduk Palestin. Pengepungan yang mereka lakukan ke atas Gaza telah memutuskan hampir 2 juta rakyat Palestin, dari berhubung dengan dunia luar. Mereka dihalang dari mendapat bekalan makanan, perubatan dan bahan-bahan binaan. Walaupun Gaza mempunyai pantai dan laut, namun penduduknya dihalang dari dari mencari sumber-sumber laut bagi tujuan penghidupan.  Perluasan penempatan-penempatan haram dirancang dengan merampas tanah-tanah milik Palestin termasuk di Jerusalem dan Tebing Barat. Penghuni-penghuni Arab Palestin dipaksa meninggalkan rumah-rumah yang didiami sejak beberapa generasi, bagi menempatkan pendatang-pendatang Yahudi yang baru tiba. Rumah-rumah orang Arab Palestin dirobohkan sementara tanaman dan kebun-kebun zaitun milik orang-orang Palestin dimusnahkan. Israel benar-benar mahu mendera rakyat Palestin dan menjadikan tempat-tempat tinggal mereka sekarang tidak sesuai lagi untuk didiami.

Tembok konkrit yang dibina 8 meter tinggi, 3 meter tebal, bakal menjangkau 700 kilometer panjang dibangun atas alasan keselamatan rakyat Yahudi, namun secara praktis telah memencilkan penduduk Palestin dan menghalang hak mereka untuk bergerak bebas, sama ada di Gaza mahupun di Tebing Barat. Tembok ini menyulitkan mereka untuk hidup, memisahkan mereka dari sanak saudara dan dari tanah-tanah pertanian yang mereka usahakan sekian lama. Pembinaan ‘tembok Berlin moden’ menceroboh memasuki tanah-tanah milik penduduk Palestin dan ini menjadikan sempadan-sempadan yang dipersetujui pada tahun 1967 sebagai tidak bererti lagi.  Semenanjung Gaza sendiri sering dihujani dengan siri serangan-serangan dan roket ke atas Gaza yang memusnahkan kediaman dan memangsakan ratusan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak. Di penjara-penjara Israel, ramai rakyat Palestin yang ditahan tanpa mendapat hak pengadilan. Menurut Amnesty International, kini terdapat seramai 4300 orang Arab Palestin yang masih di penjara di samping 157 orang yang terdiri dari kanak-kanak (https://www.amnesty.org/en/countries/middle-east-and-north-africa/israel-and-occupied-palestinian-territories/report-israel-and-occupied-palestinian-territories/).  

Israel adalah antara negara terburuk dalam rekod hak-hak asasi manusia. Berbagai undang-undang dan peraturan telah diluluskan di Israel, yang secara jelas adalah zalim, menindas dan mendiskriminasi terutama penduduk Arab Palestin. Israel juga tidak pernah menunjukkan kesungguhan untuk akur kepada kehendak dan tuntutan antarabangsa. Lebih 65 resolusi-resolusi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations General Assembly) menjadi tidak bererti kerana tidak diendahkan sama sekali oleh Israel.  Termasuk antaranya resolusi 194 yang menegaskan hak pelarian Palestin untuk pulang ke tempat asal mereka, resolusi 242 yang menghendaki Israel berundur dari wilayah-wilayah yang diduduki atau resolusi 2334 yang menuntut Israel menghentikan serta merta pembinaan penempatan-penempatan baru  di wilayah-wilayah Palestin yang diduduki. Mengenai pembinaan tembok pemisah, Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu telah mengambil ketetapan pada tahun 2003, bahawa pembinaan tembok pemisah adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan menuntut supaya dibuang (dengan undian 144 – 4 dengan 12 berkecuali), namun ketetapan itu tidak memberi erti apa-apa, kerana pembinaan tembok pemisah tetap juga diteruskan oleh Israel.

Tindakan-tindakan zalim di luar batas keperimanusiaan dan di luar batas undang-undang oleh Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, menggambarkan ideologi Zionisme Yahudi yang penuh dengan kebencian dan rasisme yang melampau.  Apa yang dilakukan oleh Israel menepati maksud penjajahan (colonialism) kerana menceroboh, merampas dan mengambil tanah rakyat Palestin, juga memenuhi maksud apartheid kerana polisi-polisi diskriminasi yang melampau ke atas orang-orang Palestin. Sekiranya penentangan dan bantahan terhadap tindakan-tindakan kejam Israel, serangan dan pembunuhan ratusan rakyat Palestin, pelanggaran besar-besaran hak-hak asasi manusia, ketidakpatuhan terhadap resolusi-resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu dianggap sebagai anti-Semitisme, maka adalah sesuatu yang wajar untuk mendukung anti-Semitisme. Apatah lagi dengan pengembangan-pengembangan takrifan baru anti-Semitisme, bentuk-bentuk tertentu anti-Semitisme menjadi satu kewajipan moral (anti-Semitism is a moral obligation). Berdasarkan alasan-alasan ini kita berpandangan Dr. Mahathir Mohamed telah membuat sikap yang betul dalam pendiriannya terhadap anti-Semitiknya.

Gaza menjadi ‘open-air prison’ terbesar di dunia dengan 1.94 juta orang-orang Palestin terkurung terputus hubungan dengan kawasan-kawasan Palestin lain yang diduduki (OPA) dan juga dunia luar. Merupakan antara penempatan yang paling padat di dunia dengan kepadatan 5,000 orang bagi satu kilometer persegi. Penduduk dijangka meningkat ke 2.1 million pada tahun 2020.

Kekejaman dan kesengsaraan yang ditempuh oleh orang-orang Yahudi semasa Holokus tidak memberi pengajaran bererti terhadap pemerintah Israel. Mereka, sebaliknya mengulangi sejarah yang sama dan menggunakan kaedah-kaedah yang tidak banyak berbeza dari apa yang dilakukan oleh Nazi German.  Mereka melakukan jenayah kemanusiaan (crime against humanity) sebagaimana yang dilakukan Nazi German. Mereka sama-sama menaja keganasan (state-sponsored terrorism), pengusiran, perampasan, penyiksaan, pembunuhan, diskriminasi, penindasan, pemencilan dan pelanggaran setiap perkara berkaitan hak asasi manusia. Holokus telah berakhir pada tahun 1945 (1941-1945) tetapi penindasan dan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin berlaku setiap hari dan kini sudah lebih 70 tahun. Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sama seperti ghettos di zaman Nazi German yang terbiar sengsara dan menderita dengan segala kekurangan dan peraturan yang menyusahkan. Yahudi dibunuh serta merta oleh Nazi di dewan gas, tetapi rakyat Palestin ‘dibunuh perlahan-lahan’ oleh Israel di Tebing Barat dan Gaza. Dan Gaza kini tidak ubah sebuah ‘penjara terbuka yang terbesar di dunia’. Uri Avnery menggambarkan sikap Zionis Israel, yang asalnya menjadi mangsa kezaliman Nazi German, tapi kini memangsakan orang-orang Palestin, dengan kata-katanya,

The prosecuted has become the prosecutor, David has turned into Goliath

(Manufacturing Anti-Semites dalam The Politics of Anti-Semitism).

Rudolf Höss, komandan kem tahanan dan pemusnahan beramai-ramai Auschwitz, Poland, yang mengakui bertanggungjawab terhadap pembunuhan lebih satu juta orang-orang Yahudi dari berbagai negara, menyebut kata-kata berikut, beberapa ketika sebelum digantung, “May the facts which are now coming out about the horrible crimes against humanity make the repetition of such cruel acts impossible for all time.” Tapi manusia sengaja mengulangi sejarah!

Penulis ialah Timbalan Presiden WADAH.

Akal licik Yahudi untuk menangkap ikan pada hari Sabtu dan siksaan bagi para penentang

Ayat 163 hingga 166 beserta terjemahannya. وَسۡ‍َٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلَّتِي كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ يَعۡدُونَ فِي ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِيهِمۡ حِيتَانُهُمۡ يَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعٗا وَيَوۡمَ لَا يَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِيهِمۡۚ كَذَٰلِكَ نَبۡلُوهُم [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara