Oleh Ahmad Saparudin Yusof
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah memberi anugerah Tokoh Murabbi Umat kepada Dr Razali Nawawi, mantan Presiden Pertama ABIM. Anugerah itu telah diumumkan oleh Saudara Muhammad Faisal Ab Aziz, Presiden ABIM pada Usrah Perdana dan Majlis Sambutan 50 Tahun ABIM pada 6 Ogos 2021. Menurut Saudara Faisal, anugerah tersebut sejajar dengan sumbangan besar Dr Razali dalam memimpin dan membina landasan awal pergerakan tersebut sejak penubuhannya hingga ke hari ini.
Dr Razali Nawawi antara pimpinan awal ABIM yang telah mengasaskan dan membudayakan institusi Usrah sebagai wasilah penting pentarbiahan ahli dan masyarakat. Beliau juga di antara penggerak dakwah yang memperkenalkan program Tamrin al-Kader, satu kegiatan perlatihan yang mesti diikuti oleh warga ABIM bertujuan meningkatkan ilmu serta kemahiran dakwah demi memastikan keberkesanannya dalam masyarakat dan negara.