‘La ikraha fiddin’ diterbitkan sebagai ‘Apostasy in Islam: A Historical and Scriptural Analysis’ (International Institute of Islamic Thought, 2011).
Oleh Ab Halim Ismail.
Shaykh Dr Taha Jabir al-‘Ulwani (rahimahullah) berpandangan bahawa tidak ada hadd al-riddah atau hukum bunuh ke atas mereka yang murtad kerana semata-mata menukar agama, kecuali kerana jenayah-jenayah lain yang mereka lakukan (jarimah murakkabah). Dalam hal ini beliau merujuk kepada ayat-ayat al-Quran bagi mendapat pencerahan, kerana menurut beliau ayat-ayat al-Quran adalah penentu utama dalam menetapkan hukum (hakimiyyat al-kitab), berbanding hadis yang berstatus sebagai penjelas al-Quran (al-mubayyin lil kitab).
Menurut beliau, Islam adalah agama keringanan dan rahmat (din al-tahfif wa al-rahmah), termasuk dalam mendepani masalah pertukaran kepercayaan. Terdapat lebih dua ratus ayat yang menegaskan tentang ‘kebebasan berkeyakinan’. Berasaskan prinsip ‘kebebasan berkeyakinan’ ini, hukum bunuh ke atas mereka yang meninggalkan agama Islam jelas berlawanan dengan sifat agama yang sentiasa memberi keringanan dan rahmat. Tidakkah memaksanya kembali kepada Islam juga merupakan ‘pemaksaan agama’ yang ditolak oleh al-Quran?
Beliau juga menegaskan bahawa tidak ditemui sebarang sunnah fi’liyah, yang membuktikan Nabi Muhammad (SAW) pernah mengenakan hukuman hadd iaitu membunuh mereka yang meninggalkan agama Islam, sedangkan di zaman Baginda tidak sedikit mereka yang keluar dari Islam. Tidak juga ditemui satu pun sunnah qauliyah yang dapat dijadikan dalil. Walaupun terdapat hadis, “siapa yang menukar agamanya maka hendaklah dibunuh”, namun hadis tersebut adalah hadis ahad bahkan termasuk dalam hadis mursal. Hadis ini, menurut penulis adalah mengenai kes spesifik seorang Yahudi yang masuk Islam kemudian murtad dan membuat konspirasi menimbulkan kekacauan di tengah masyarakat Islam. Penulis juga menegaskan bahawa tidak ada ijma’ ulama terhadap hadd syar’i ke atas mereka yang murtad seperti yang sering didakwa. Ini kerana sebahagian mazhab mencampuraduk riddah dalam pengertian politik dengan riddah dalam pengertian ‘mengganti keyakinan’. Sebahagian mazhab memang menegaskan hadd untuk kes riddah namun sebahagian yang lain hanya menggunakan ta’zir. Sebahagian lain pula menganggapnya berkaitan siyasah syar’iyyah yang hukumnya ditentukan oleh kebijaksanaan penguasa. Beliau mempersoal kenapa orang memilih pendapat yang keras dengan mengenepikan pandangan Umar al-Khattab, Ibrahim Nakha’i dan Sufyan al-Tsauri yang jelas tidak mewajibkan hadd al-riddah.
Kata-kata hadd terdapat dalam empat belas ayat al-Quran, namun dua belas darinya adalah mengenai hukum kekeluargaan. Makna hadd atau hudud dalam ayat-ayat ini bermaksud ‘syariat dan hukum Allah’ dan bukan hukuman (‘iqab) sama ada bersifat muqaddarah atau ta’ziriyah. Bagaimanapun ‘kesilapan’ para fuqaha’ dan ahli usul adalah kerana memaknakannya berdasarkan lisan al-arab sedangkan lisan al-quran membawa makna yang berbeda. Menariknya hukuman mencuri, zina dan qazaf di dalam al-Quran tidak pula disertai dengan kalimat hadd. Sementara seluruh ayat yang berbicara tentang riddah tidak pula menyebut tentang hadd riddah sama ada hukuman mati atau hukuman lain. Ayat-ayat ini menegaskan bahawa hukuman riddah atau murtad adalah sepenuhnya dalam wewenang Allah dan bukan urusan manusia (hakim). Orang yang murtad adalah orang yang melanggar hak Allah dan Allah sendiri akan menghukumnya iaitu di akhirat nanti dan bukan di dunia.
Buku ini turut memasukkan komentar Syeikh Abdullah bin Syeikh al-Mahfuzh bin Bayyah yang memberi hujjah menyanggah sebahagian dari kesimpulan-kesimpulan yang dibuat oleh Syeikh Dr. Thaha Jabir dan menegaskan pandangan asal tentang hukuman bunuh terhadap mereka yang murtad. Buku ini telah diterjemah ke bahasa Indonesia dengan judul La Ikraha fi ad-Din – Islam Tak Pernah Memaksa, terbitan Suara Agung, Jakarta.