Oleh Ab Halim Ismail
Pemangku Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Hijrah 1443 kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Sesungguhnya Tahun Baru Hijrah pada kali ini memberi kita keinsafan dan mengajak kita untuk membuat muhasabah dalam meneruskan jihad dan tanggungjawab apatah lagi berdepan dengan serangan Covid-19 yang masih belum berakhir. Kes kematian yang semakin membimbangkan ini juga turut membuka mata agar lebih berwaspada demi kesejahteraan hidup.
Kini, kita rakyat Malaysia masih lagi berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19. Peningkatan kes yang membimbangkan ini sewajarnya dilihat dengan serius dan tidak dipolitik atas apa sahaja kepentingan. Isu kesihatan rakyat dan kesejahteraan hidup harus menjadi keutamaan pihak pemerintah serta perlu jujur dalam membawa rakyat bebas daripada virus berbahaya ini.
Tahun baru hijrah 1443 ini seharusnya menjadi titik mula kepada perubahan minda dan jiwa masyarakat untuk berjuang dalam mengharungi kehidupan. Selain daripada kepatuhan kepada SOP yang ditetapkan oleh pihak berwajib, Wadah menyeru seluruh rakyat termasuk pemerintah hendaklah ikhlas dan berusaha sebaik mungkin dalam memerangi pandemik ini. Strategi berterusan hendaklah dilaksana, hilangkan sikap pilih kasih (double standard) antara rakyat dan pemimpin serta keberanian semua pihak untuk bersatu hati melawan pandemik ini hingga ke penghujungnya.
Wadah juga berpandangan dalam usaha untuk keluar daripada pandemik ini semua pihak juga harus bersungguh-sungguh melakukan usaha berterusan meningkatkan kesedaran agama, melaksana kegiatan kerohanian berterusan dirumah, melaksanakan solat hajat secara menyeluruh disemua peringkat namun harus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Bersamalah kita memohon kepada Allah SWT agar negara kita Malaysia akan terus dihindarkan daripada malapetaka yang lebih besar akibat pandemik ini dan kita rakyat Malaysia akan kembali hidup seperti norma biasa pada masa akan datang.
Selamat Tahun Baru Hijrah 1443.
Kenyataan Media Wadah, 9 Ogos 2021.