WADAH PENCERDASAN UMMAH
WADAH PENCERDASAN UMMAH

PANDANGAN HAMKA MENGENAI DOKTRIN ISLAM YANG MENIMBULKAN KEMERDEKAAN & KEBERANIAN

Oleh Khairil Anuar Ramli

(Ulasan Buku: HAMKA (1982) Doktrin Islam Yang Menimbulkan Kemerdekaan dan Keberanian. dalam H. Rusydi (penyunting) Studi Islam. Singapura: Pustaka Nasional. Halaman 254-276 )

Sebuah tulisan Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) yang diterbitkan sebagai satu brosur kecil di sekitar tahun 1970-an telah dibukukan sekali dengan tulisan-tulisan beliau yang lain di bawah tajuk Studi Islam yang disunting oleh Haji Rusydi dan diterbitkan semula pada tahun 1982 oleh Pustaka Nasional Singapura dengan keizinan Pustaka Panjimas Indonesia, setahun selepas Buya HAMKA meninggal dunia pada 24 Julai 1981 ketika berusia 73 tahun. Di antara tulisan-tulisan tersebut, terselit sebuah makalah bertajuk Doktrin Islam Yang Menimbulkan Kemerdekaan dan Keberanian. Makalah 23 halaman ini wajar diteliti semula meskipun ia sudah ditulis hampir 50 tahun lampau.

Buya HAMKA memulakan makalah ini dengan menghimbau pandangan sarjana-sarjana Barat seperti Arnold Toynbee, Thomas Carlyle dan Oswald Spengler yang memperakui peranan kritikal yang dimainkan oleh RasuluLlah S.A.W. di dalam rentetan sejarah dunia di mana tamadun Islam menjambatani tamadun Yunani Kuno dengan kebangkitan tamadun Barat Moden, sesudah kejatuhan Andalusia pada tahun 1492. Namun yang menimbulkan kekaguman Barat ialah sebuah bangsa yang sejarahnya belum pun menjangkau seperempat abad sesudah wafatnya RasuluLlah S.A.W. sudah berjaya mengalahkan dua empayar besar ketika itu iaitu empayar Byzantium (Roman Byzantine) yang berpusat di Constantinople dan empayar Farsi (Persia) yang berpusat di Madain.

Kejatuhan dua empayar ini membuatkan dua wilayah utama di bawah penguasaan empayar Byzantium jatuh kemudiannya iaitu Mesir dan Syria. Malah Kaisar Heraklius yang bersemayam di Damsyik juga terpaksa meninggalkan istananya ketika baginda RasuluLlah S.A.W. masih lagi hidup, lantaran ketidakmampuannya membendung kebangkitan baru itu. Tentera umat Islam seramai 3,000 orang itu hampir sahaja dihancurkan oleh tentera Rumawi yang seramai 200,000 orang. Tiga panglima perang umat Islam tewas – Ja’afar ibn Abi Talib, Abdullah ibn Rawahah dan Zaid ibn Harithah – sebelum Khalid ibn al-Walid mengambil alih tampuk kepimpinan angkatan perang mengalahkan Rumawi. Penaklukan Farsi pula dilakukan oleh Sa’ad ibn Abi Waqas yang mengalahkan Panglima Rustum yang terkenal itu. Penaklukan Mesir dipimpin oleh Amer ibn al-‘As. Penaklukan bumi Palestin pula dilunaskan oleh Abu Ubaidah ibn al-Jarrah.

Belum pun cukup 50 tahun sesudah RasuluLlah SAW wafat, perluasan wilayah Islam menjangkau ke sebelah benua India di sebelah timur di bawah pimpinan Muhammad ibn Qasim yang baru berusia 17 tahun, manakala perluasan wilayah Afrika Utara hinggalah melewati perpantaian bumi Sepanyol dipimpin oleh Tariq ibn Ziyad. Maka terbukalah Sepanyol dan makmurlah kebudayaan Islam selama hampir 800 tahun. Kini meskipun tamadun dunia sudah berubah, namun kebesaran Islam tidak dapat dihakiskan begitu sahaja. HAMKA menghimbau memori kembara beliau ketika berada di Seville (Sepanyol) apabila rakyat Sepanyol sendiri menuturkan kalimah Sevilla sebagai Asybilia – sebutannya di dalam bahasa Arab. Ketika di Malaga (Sepanyol) pula, HAMKA terdengar alunan nyanyian lagu Sepanyol dengan dendangan langgam Arab. Kesenian budaya Arab di Sepanyol ditinggalkan sebagai pusaka di tanah yang dikenali sebagai syurga yang hilang (al-firdaus al-mafqud).

HAMKA lalu menimbulkan satu persoalan: “Ajaran apakah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sehingga secepat itu Islam dapat membawa revolusi besar kepada dunia? Ajaran apa yang dibawa Muhammad sehingga sampai terjadi orang Arab dapat mengalahkan dua Kerajaan Besar, di Barat Byzantium atau Romawi, di Timur Persia atau Iran? Yang keduanya pada masa itu sebesar-besar kerajaan dunia!”

Lalu dibangkitkan hakikat sejarah bahawa pertalian rapat antara RasuluLlah SAW dengan para Sahabat radiyaLlahu ‘anhum adalah pertalian sahabat dengan sahabat, bukannya pertalian guru dengan murid. “Semua orang yang bertemu dengan dia, yang mengikut setia ajarannya adalah sahabatnya. Darjat mereka diangkat naik. Jadi sahabat, bukan semata jadi murid. Ini sajapun sudah jadi pokok penting bagi pendidikan jiwa orang-orang yang mengelilinginya itu.”

Perjuangan RasuluLlah SAW diteruskan oleh Abu Bakr al-Siddiq sejurus selepas kewafatan baginda. Meskipun pentadbiran Abu Bakr al-Siddiq hanyalah selama 22 bulan, namun beliau berjaya mempersatukan negara yang baru sahaja ditegakkan itu yang hampir sahaja terpukul oleh gerakan-gerakan pemisah dan pemberontakan di pelbagai sudut wilayah termasuk oleh mereka yang mengisytiharkan diri mereka sebagai nabi sedangkan merekalah nabi-nabi palsu. Kesemuanya ditangani secara tuntas selama lebih setahun. Sisa tempoh enam bulan terakhir sebelum pemergian beliau dimanfaatkan dengan satu projek besar iaitu pengumpulan al-Qur’an ke dalam sebuah mushaf.

Umar al-Khattab yang menggantikan Abu Bakr al-Siddiq terkenal dengan semangat kepeloporannya (pioneering spirit) membina institusi-institusi penting di dalam sesebuah negara Islam – baitulmal, institusi kehakiman, dan jentera-jentera pentadbiran di dalam sebuah negara yang mengalami perluasan wilayah yang sangat pesat. Uthman ibn al-‘Affan yang menggantikan Umar al-Khattab meneruskan perjuangan kedua-dua khalifah sebelum beliau. Jasanya paling gemilang ialah menyalin mushaf al-Qur’an yang dikumpulkan ketika pemerintahan Abu Bakr al-Siddiq lalu dikirimkan ke wilayah terbesar iaitu Iraq, Mesir, Yaman, dan Syam. Sesalinan disimpan di Madinah. Sehingga kini naskhah-naskhah tersebut dikenali sebagai mushaf Uthmani. Selepas Uthman ibn al-‘Affan, pemerintahan Ali ibn Abu Talib ditandai dengan pergolakan meskipun beliau adalah seorang khalifah yang sangat berwibawa dan penuh berpengalaman. Namun itulah sejarahnya yang tercatat sehingga ke generasi kita hari ini.

Peribadi-peribadi safwat al-mukhtarah inilah yang mengkagumkan banyak khalayak. Ajaran apakah yang memotivasi mereka? Bagi HAMKA, “ajaran itu sederhana saja kalau diperbincangkan, tetapi mendalam kalau difikirkan.” Ajaran itu, menurut HAMKA, ialah penyerahan diri sepenuhnya demi kepentingan Tuhan, sesudah mengetahui siapa Tuhan itu. Menurut HAMKA lagi:

“Segala yang ada ini semuanya, ialah makhluk ciptaan ALlah belaka. Sebab itu bukan ke sana hati ini ditujukan. Melainkan langsung kepada ALlah itu sendiri! Dialah tempat berlindung. Dialah tempat bermohon. Dialah tempat memuja. Manusia harus bebas, merdeka dari segala pengaruh yang berada di dalam alam ini. Pengaruh yang diakui hanyalah pengaruh ALlah. Perintah yang ditaati hanyalah perintah ALlah.”

“Kepada ALlah bukanlah semata-mata percaya bahawa Dia ada. Kepercayaan harus disertai kecintaan, cinta itu dipupuk dengan ibadat sembahyang, puasa dan lain-lain. Kepercayaan kepada ALlah harus disertai pengabdian. Dan hidup itu sendiri hendaklah menjadi pengabdian belaka. Pengabdian kepada ALlah dan beramal yang salih untuk kepentingan sesama manusia. Kerana sesama manusia ialah sesama hamba ALlah. …”

“Dari ALlah kita ini datang ke dunia. Dengan jaminan ALlah kita hidup di dunia. Dan Dia datangkan kita ke dunia, di atas kehendak-Nya sendiri, agar kita pergunakan buat mengerjakan amal yang salih. Sesudah itu kita akan mati dan kembali ke tempat asal kita iaitu kepada ALlah. Sampai di sana akan kita dipertanggungjawabkan segala amal perbuatan yang pernah kita kerjakan di dunia ini.”

“Jiwa menjadi hilang kemerdekaannya jika ada rasa takut. Kini dengan kepercayaan ini, rasa takut sebagai satu instinct manusia atau naluri,  yang sebenarnya susah buat menghilangkannya dengan ajaran La ilaha illaLlah ini, rasa takut dari yang lain, telah hilang rasa takut dari seluruh macam alam telah dihapuskan. Kerana instinct itu telah dihadapkan kepada satu jurusan saja iaitu kepada ALlah. Lawan kemerdekaan ialah perbudakan, sklaven geist atau jiwa budak. Tidak ada yang lebih hina dari jiwa budak. Perbudakan dan perampasan kemerdekaan bukanlah kerana kepada tangan belenggu telah dipasangkan atau kemerdekaan dirampas kerana dimasukkan ke dalam penjara. Dan bukan pulalah kemerdekaan itu sebagai salah satu ciri khas yang disebut “Declaration of Human Rights” (Hak-Hak Asasi Manusia) bahawa orang bebas berpindah dari satu negeri ke negeri lain, bebas mendiami rumahnya lalu diperlindungi oleh undang-undang. Kemerdekaan seperti itu barulah rimah-rimahnya kemerdekaan. Kemerdekaan semacam itu barulah kemerdekaan murah dan lekas hilang. Kemerdekaan sejati ialah bahawa engkau sanggup menguasai dirimu, menguasai hawa nafsumu, menguasai segala gejala kehendak baik atau kehendak buruk dalam dirimu. Kemerdekaan sejati ialah bahawa engkau tidak diperintah oleh tradisi yang tidak sesuai dengan timbangan akalmu yang murni dan hidupmu tidak habis musnah hanya kerana dorongan syahwat dan hawa nafsu belaka.”

“… dengan sebab iman itu yang memegangnya jadi merdeka; tidak ada alam yang dapat membatasinya dan tidak ada yang dapat mengikatnya. Ajaran ini membuat mereka bebas dari keinginan, cita-cita, tamak dan haloba, hawa dan nafsu. Kerana semuanya inilah yang selalu menjatuhkan manusia ke dalam perbudakan.”

“… ajaran Nabi SAW menyebabkan orang tidak dapat diperbudak oleh benda, oleh minuman keras, oleh rokok, oleh wanita, oleh harta, oleh takhta. Singkirkan segala berhala, segala pemujaan kepada yang selain Allah. Singkirkan mendewa-dewakan manusia. Sehingga (nabi) Muhammad SAW pun sebagai guru yang terbesar, bukan menganggap pengikutnya sebagai murid, melainkan sebagai sahabat.”

“Lantaran hati telah diserahkan sepenuhnya kepada Allah, … maka rasa takut kepada apapun, tidak ada lagi. Takut hanya kepada Allah saja. Yang penting ialah mencapai cita-cita mencari dan menegakkan kebenaran.”

“… Orang Islam percaya takdir! Memang kepercayaan kepada takdir ialah rukun atau tiang keenam dari kepercayaan Islam. Sebab itu dia tidak berdiri sendiri. kerana panas semangat imannya, kerana rohnya yang Islam kepada Allah dan kerana dia tawakkal kepada Allah, diapun pergi berjihad, berjuang bekerja keras sampai kebenaran tertegak. Dan dia percaya kepada takdir. Kalau Allah belum akan mentakdirkan mati, pasti belum akan mati. Apa guna takut. … Ajaran Nabi SAW itu memperdalam keyakinan kepada nilai hidup dan nilai mati. Mereka tidak takut menghadapi hidup, sebab hidup itu untuk diisi dengan perhambaan yang sejati, ibadat dan kebaktian. … Dan orang Islam tidak takut menghadapi maut. Sebab erti maut bagi orang yang beriman ialah liqa-a rabbihi, ertinya saat akan bertemu dengan Tuhan. Dan orang yang mati kerana menegakkan kebenaran, matinya adalah mati syahid.”

Keberanian menghadapi maut kerana iman inilah, menurut HAMKA, yang dibenci Karl Marx lalu menyifatkan bahawa agama itu candu yang meracuni pemikiran rakyat.

HAMKA turut mengemukakan hujah balas terhadap tohmahan bahawa bangsa Arab yang menerima ajaran Nabi Muhammad SAW keluar mengembara dari Hijaz kerana kemelaratan hidup mereka lalu memerangi bangsa-bangsa lain dan memperluaskan wilayah Islam – satu gerakan untuk memperkayakan diri sendiri menerusi penjajahan tanah-tanah asing.

Sehubungan itu, dikisahkan HAMKA tentang peperangan Qadisiyah di zaman pemerintahan Umar al-Khattab di mana angkatan bersenjata Islam di bawah pimpinan Saad ibn Abi Waqas berhadapan dengan angkatan perang Farsi yang dipimpin oleh Panglima Rustum. Satu sesi rundingan telah dipohon oleh Panglima Rustum. Saad ibn Abi Waqas lalu mengutuskan satu delegasi rundingan yang diketuai oleh Mughirah ibn Shu’bah. Sementara menunggu ketibaan delegasi tersebut, Panglima Rustum mengarahkan satu sambutan meriah serba mewah, lengkap dengan perhiasan emas, perak dan permata dengan harapan delegasi yang diketuai Mughirah ibn Shu’bah itu akan terpukau dengan kemilau kemewahan yang belum mereka saksikan sebelum ini.

Sebaik sahaja delegasi tersebut tiba ke tempat perundingan, Panglima Rustum dengan penuh kesombongan menawarkan makanan dan minuman, perhiasan mewah, pakaian indah, dan anugerah emas dan perak agar umat Islam turut dapat mengecapi kekayaan. Mughirah ibn Shu’bah, sebagai seorang Sahabat yang mendapat didikan langsung dari RasuluLlah SAW, dengan tegas membalas tawaran tersebut. Katanya:

“Engkau salah sangka. Bukan untuk apa yang engkau sangka itu kami datang menyerbu ke negeri ini dan siap berjuang darah menyabung nyawa. Bukan kerana lapar, bukan kerana kekurangan kain dan baju, bukan kerana kekurangan perhiasan, kekayaan dan kemegahan. Telah engkau lihat sendiri, sedikitpun tidak ada harganya bagi kami permaidani-permaidani tebal ini, emas dan perak yang engkau hidangkan ini, mahkota-mahkota yang berhiaskan ratna mutu manikam yang memberatkan kepala kalian ini, bantal-bantal penyenang duduk berhiaskan mutiara dan marjan. Omong kosong semua. Bahkan kami datang kepada kamu ke mari kerana kami mempunyai tugas yang diterima langsung dari Allah untuk menyampaikan kalimatul haq. Kata-kata kebenaran kepada kalian.”

“Kalian hidup dalam jalan fikiran yang gelap selama ini! Kami datang hendak membimbing kalian kepada tempat yang terang. Kalian selama ini hanya budak-budak belaka dari sesama manusia, dari raja-raja dan orang-orang besar yang kalian sembah, kami datang hendak memerdekakan kalian dari perbudakan itu, bebas langsung berhubungan dengan Allah, Rabbul ‘Alamin. Kalau kalian mahu menerima ajakan dan anjuran kami ini, negeri ini tetap di tangan kalian dan kami akan pergi ke tempat lain pula menyampaikan seruan ini, dan sejak kini kita hidup bersama dalam satu keyakinan dan iman, tidak ada kelebihan kami dari kalian dan tidak ada kekurangan kalian dari kami.”

Kesombongan Panglima Rustum kemudiannya telah menggagalkan rundingan tersebut, lalu berlakulah Perang Qadisiyah yang terkenal itu. Kemegahan dan kedaulatan Farsi yang berusia ratusan tahun itupun runtuh. Ternyata kemewahan sebuah tamadun tidak dapat menjamin kemenangan Farsi.

Citra perjuangan angkatan Islam terlalu agung berbanding dengan perwatakan musuh-musuhnya. Buat HAMKA, itulah sekelumit kecil doktrin Islam yang menyebabkan munculnya kemerdekaan jiwa dan keberanian menghadapi hidup sepertimana yang diajar secara langsung oleh RasuluLlah SAW. Umat Islam akan tetap teguh dalam keperibadian itu selagi dia menghayati doktrin tersebut. Kekuatan penganut agama ini akan hanya  tercapai dengan kembali kepada ajaran Islam.

Sejarah Islam, menurut HAMKA, menampilkan fenomena pasang surutnya. Namun, selagi dua pedoman umat iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah terus dimanfaatkan, maka malapetaka sejarah akan tetap dapat dielakkan. Dicatatkan HAMKA bahawa ujian besar yang awal buat umat Islam muncul dengan pertembungan antara Ali ibn Abi Talib dengan Mu’awiyah ibn Sufyan. Kemudian, ketika Perang Salib, hampir 100 tahun lamanya Palestin berada di bawah cengkaman raja-raja dari Eropah.

Kenapa Palestin jatuh ketika Perang Salib? HAMKA berpandangan bahawa ketika itu para pemimpin Islam telah berpecah-belah. Kebanyakannya mencari kemegahan dunia. Palestin kemudiannya direbut kembali setelah muncul pemimpin seperti Salahuddin al-Ayyubi, yang dikenali di Barat sebagai Saladin. Ketaqwaan, keterbukaan, kemanusiaan, keperwiraan dan integriti yang ditampilkan oleh Salahuddin al-Ayyubi dikagumi musuhnya, Richard the Lion Heart. Ternyata Richard the Lion Heart telah lebih awal kecundang sebelum bertempur – beliau terpaksa meminta berdamai; dan permintaan ini diterima oleh Salahuddin al-Ayyubi.

Menurut HAMKA lagi, kejatuhan Baghdad pada abad ke-13 pula ialah kerana kekuatan ruh Islam itu tidak lagi dipegang oleh kaum Muslimin yang terpecah di mana Khalifah Bani Abbasiyah yang bermazhab Sunni-Shafi’i berbeza mazhabnya dengan perdana menteri yang bermazhab Shi’ah, yang telah mengundang kemaraan angkatan tentera Mongol menjarah Baghdad. Pengkhianatan perdana menteri tersebut dilakukan dengan harapan agar tampuk pemerintahan Baghdad akan diserahkan Mongol kepada beliau sebagai perdana menteri. Malangnya, beliau sendiri dibunuh Mongol yang berpendirian bahawa pengkhianat seumpama perdana menteri bermazhab Shi’ah itu tidak wajar dilindungi dan diangkat sebagai pemerintah meskipun dia terlebih dahulu membuka kota Baghdad kepada Mongol.

Kejatuhan Andalusia di penghujung abad-15, dua ratus lima puluh tahun selepas kejatuhan Baghdad, juga disebabkan oleh perpecahan setelah hampir 800 tahun berkuasa. Kerajaan Islam yang kuat di bawah Khalifah Bani Umayyah yang berpusat di Cordova akhirnya berpecah belah menjadi kesultanan-kesultanan kecil yang memakai gelaran-gelaran hebat sedangkan kosong dari segi wibawa kekuasaan, laksana tikus-tikus yang meniru rupa singa, menurut pengamatan HAMKA. Kota-kota Islam seperti Cordova, Sevilla, Murcia, Malaga, Toledo dan lain-lain sudah pun terkenal pada ketika London dan Paris belum lagi diketahui dunia.

Apabila kerajaan Islam jatuh di Sepanyol, ia bangkit di Indonesia. Al-Qur’an masih terus bersama umat Islam. Meskipun penjajahan asing bersilih ganti di Alam Melayu, namun sumber kekuatan, keberanian dan kemerdekaan jiwa tidak pernah tandus. Ia mungkin terlalai sementara, namun ia bangkit semula dengan serba kepayahan. Di Indonesia, penjajahan Belanda mengambil masa 350 tahun, kurang separuh dari tempoh pemerintahan Islam di Sepanyol. Setiap zaman tertentu, menurut HAMKA, pasti timbul manusia-manusia Muslim berjiwa merdeka yang berani mengambil risiko memimpin kaumnya menentang perbudakan dan penguasaan selain ALlah.

Dengan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka, Alfonso d’ Albuquerque melaporkan kepada Raja Portugal bahawa jalan ke Makkah dan Madinah buat orang Islam sudah diruntuhkan. Namun sepanjang 400 tahun penjajahan Barat di Alam Melayu, ada sahaja kebangkitan oleh mereka yang beriman yang masih mempunyai kemerdekaan jiwa dan keberanian bertindak. Iskandar Muda Mahkota Alam di Acheh, Sultan Agung Hanyokrokusumo di Mataram, Sultan Ageng Tirtayasa di Banten, dan Sultan Hasanuddin di Makassar – satu demi satu kerajaan-kerajaan ini dihancurkan Belanda. Namun, menurut HAMKA, dengan berhentinya perjuangan raja-raja, jihad diteruskan oleh para ulama seperti Shaykh Yusuf Tajul Khalwati di Makassar, Kiyai Maja di Jawa, Kiyai Basith di Banten dan Teuku Cik Ditiro di Acheh. Peranan jihad para ulama ini wajar diselidik secara mendalam secara lebih saksama.

Jiwa yang merdeka, didikan penyerahan total kepada ALlah sahaja, tawakkal dan redha, dan perjuangan dengan harta dan jiwa itulah yang lebih berpengaruh mendidik jiwa. Perjuangan begini tidaklah mengenal perhitungan kalah dan menang, kerana sesiapa sahaja yang tewas, matinya ialah syahid – mati yang semulia-mulianya. Mundur dari perjuangan adalah termasuk salah satu tujuh dosa besar (sab ‘il-mubiqat). Bagi mereka, lebih baik mati dalam kemuliaan dari hidup menanggung penjajahan.

HAMKA juga mengemukakan sosok peribadi almarhum Jenderal Sudirman  (1916-1950) sebagai pahlawan Indonesia yang terdidik jiwanya dengan doktrin Islam yang memiliki keberanian dan kemerdekaan. Almarhum memimpin gerakan kemerdekaan Indonesia yang diproklamasikan pada 17 Ogos 1945, satu proklamasi yang tidak diiktiraf awalnya oleh Belanda. Jenderal Sudirman yang terdidik di sekolah Muhammadiyah diperakui keperwiraannya, terpilih memimpin angkatan bersenjata rakyat Indonesia mempertahankan proklamasi meskipun dipertikaikan oleh British dan Belanda yang akhirnya menyerah kalah pada akhir 1949. Pertempuran nekad dengan Belanda berlaku ketika Jenderal Sudirman sendiri berhadapan dengan penderitaan penyakit tuberculosis, yang akhirnya menjadi sebab kematian beliau pada tahun 1950, ketika baru berusia 34 tahun, hanya beberapa bulan setelah Belanda akhirnya mengiktiraf kemerdekaan Indonesia.

HAMKA mengakhiri tulisannya dengan perenggan berikut: “Sampai sekarang dan sampai nanti kita tidak akan kalah asal saja jiwa seperti ini, terutama bagi kita orang Islam; “Doktrin Islam yang menimbulkan Kemerdekaan dan Keberanian” ini masih tetap kita punyai dan kita pupuk. Dan kita akan jatuh kalau Doktrin ini tidak dijaga lagi, sebagaimana telah jatuhnya Baghdad ke tangan bangsa Mongol dan jatuhnya Andalusia ke tangan Raja Castilia dan Ratu Aragon. Demikianlah Sunnatullah. Undang-Undang Ketentuan Allah, yang tidak bisa berubah.”

31 Ogos 2021

Akibat menimpa kaum Yahudi disebabkan kezaliman dan perbuatan mereka yang mengambil riba serta pahala orang beriman dari mereka

Ayat 160 hingga 162 beserta terjemahannya. فَبِظُلۡمٖ مِّنَ ٱلَّذِينَ هَادُواْ حَرَّمۡنَا عَلَيۡهِمۡ طَيِّبَٰتٍ أُحِلَّتۡ لَهُمۡ وَبِصَدِّهِمۡ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ كَثِيرٗا “Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, [...]
Baca Lebih

Akibat mendustakan para rasul di dunia

Ayat 4 dan 5 beserta terjemahannya. وَكَم مِّن قَرۡيَةٍ أَهۡلَكۡنَٰهَا فَجَآءَهَا بَأۡسُنَا بَيَٰتًا أَوۡ هُمۡ قَآئِلُونَ Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya [...]
Baca Lebih

Akibat daripada meninggalkan ayat-ayat Allah

*Abstrak:* Dalam makalah ini dihuraikan apakah akibat daripada meninggalkan atau menyia-nyiakan ayat-ayat Allah SWT. Allah SWT turunkan ayat-ayat-Nya demi untuk kebaikan manusia, tetapi ramai manusia yang tidak mengambil manfaat daripada [...]
Baca Lebih
Pencerdasan 2024 Hak Cipta Terpelihara