oleh Ustaz Hasri Harun, Timbalan Presiden Wadah Pusat
Nahdah Kewanitaan : Satu Ulasan dan Penegasan Semula
Saya dahului tulisan ini dengan menzahirkan kesyukuran kerana diberi kesempatan untuk hadir dalam Himpunan Helwa Kebangsaan pada tahun 2013 lalu di Shah Alam, Selangor dan berkesempatan menelaah dan menekuni ucapan almarhum Dr. Siddiq Fadzil bertajuk ‘Menyegar Nahdah Kewanitaan’. Satu tajuk bagi saya cukup penting diketengahkan pada ketika itu dalam suasana masyarakat yang semakin tercari-cari dalam menekuni peranan wanita dan tanggungjawab mereka dalam membangunkan negara dan masyarakat. Tidak keterlaluan saya mengatakan pada ketika itu masih belum ada lagi tema dan gagasan Madani seperti mana yang wujud pada hari ini. Justeru, idea dan gagasan pemikiran almarhum yang ditumpahkan dalam kertas kerja ini telah disampaikan oleh almarhum pada tahun 2013 dan pada hari ini kita berada dalam tahun 2024. Bererti hampir 11 tahun karya dan tulisan ini telah diilhamkan, persoalannya apakah benar-benar idea ini kita sebarkan dan wujudkah agenda penyegaran kewanitaan dalam konteks pembangunan ummah. Apakah agenda menyegarkan idea mengangkat darjat kewanitaan yang ditulis ini telah, sudah atau akan kita bangunkan.
Nahdah Kewanitaan bukanlah suatu agenda feminisme versi yang dibawa oleh kelompok sekular atau women liberation yang diungkapkan dalam kertas kerja tersebut, yang mana memperjuangkan hak-hak kewanitaan semata-mata, kesamarataan tiada penghujungnya hingga melanggar batas-batas syariat tanpa memperincikan kaitan dan hubungannya dengan lelaki dalam konteks pembangunan keluarga, ummat dan negara. Kekuatan samada lelaki atau wanita itu adalah hasil daripada pelengkap kepada suatu perjuangan bukan siapa yang lebih atau kurang. Kehebatan Saidatina Khadijah Khuwailid dalam mendepani cabaran dakwah Rasulullah bukanlah satu perjuangan kecil walaupun hanya menenangkan diri Rasulullah yang kesejukan semetelaah pulang bertemu Jibrail. Oleh garis utama kita dalam mengangkat Nahdah ini adalah mengangkat maruah wanita selaras dengan syariat Allah SWT bukan dengan hawa nafsu manusia. Inilah antara persoalan yang harus sama-sama mesti kita jawab dan bereskan dalam konteks Majlis Perwakilan Salwa Kebangsaan pada hari ini berteraskan ‘Membangunkan Nahdah Wanita’ yang berteraskan prinsip dan bingkai syariat.
Karya tulisan isu wanita
Di dalam tulisan tersebut juga saya ingin mengulangi penegasan penting, apa yang cuba ditonjolkan oleh almarhum adalah latar sejarah penulisan tentang isu-isu kewanitaan yang telah ada dilapangan ilmu, antaranya karya Hasan Turabi, ‘Kayfa Tanhad al-mar’ah‘ (Bagaimana Wanita Harus Bangkit), begitu juga tulisan al-Ghazali, ‘Qadya al-mar’ah‘ (isu-isu kewanitaan). Dan barangkali jika ditelusuri dan dirujuk dengan pakar-pakar bidang kewanitaan, masih banyak lagi karya-karya terbaik yang menulis tentang bagaimana peranan dan hak wanita menurut kaca mata Islam. Apa yang cuba diungkap oleh almarhum bagi saya adalah adalah merupakah satu keperluan bagi kita generasi wanita zaman Madani ini, terus dibentangkan dengan ilmu dan maklumat yang betul berkaitan dengan perjuangan kewanitaan semasa berpaksikan kepada disiplin ilmu dan teras hukum yang ditetapkan. Ia bukan satu bentuk menghadkan peranan atau mengesampingkan peranan bahkan wujud dikalangan kelompok pejuang wanita di luar sana yang berjuang bagi mendapatkan hak setaraf lelaki. Persoalannya mari sama-sama kita fikirkan dan renungkan, apakah perjuangan ini benar-benar selari dengan hukum syarak atau sekadar suatu agenda membangkitkan pertembungan yang tidak berkesudahan.
Sementelaah juga, almarhum sememangnya sering memberikan contoh-contoh tokoh wanita dalam al-Quran yang bangkit sebagai role model melengkapkan kehebatan dunia dan umat. Nama-nama seperti Maryam ibnat Imaran dan Asiah imratu Firaun. Nama dua tokoh ini barangkali sudah besar dan amat tinggi tahapnya dan diungkapkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Mari kita telusuri perjuangan dan kehebatan dua tokoh ini sebagai jajaran ilmu dan pedoman untuk generasi wanita jamaah kita. Setidak-tidaknya membongkar apakah peranan yang telah dilakukan, pengorbanan besar mereka dan perjuangan dalam mempertahankan keluarga, agama dan negara suatu yang boleh menjadi inspirasi tegar kepada umat dan ini boleh kita perturunkan kepada generasi muda jamaah kita seperti HEWI dan Helwa.
Tanpa dinafikan juga, bila berbicara ketokohan wanita Islam sudah tidak boleh dinafikan perjuangannya seperti Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan Rasulullah SAW. Sebagai tulang bererti bukan semata-mata mengikut dan sekadar di pinggiran, tetapi menjadi inspirator penting kepada junjungan Nabi SAW untuk terus istiqamah dan meneruskan perjuangan. Peranan ini juga sangat penting bukan sahaja mendahului apa sahaja tetapi memperkuat semangat jamaah dan keluarga dalam menentukan kejayaan Islam dan dakwah umat. Kita juga, yang hadir dalam dewan ini mampu dan sedia ada di sini adalah kerana dokongan dan sokongan pasangan kita yang memahami akan perjuangan yang hendak kita lakukan.
Begitu juga, almarhum tidak ketinggalan menulis tentang peranan besar wanita seperti Nusaybah binti Kaab dan juga Asma’ bintu Abu bakar yang menjadi tokoh wanita unggul dalam pejuangan hijrah perpolitikan Rasulullah SAW ketika Baiatul Aqabah Kubra. Kepeloporan wanita dalam bidang-bidang penting ini juga tidak ketinggalan dalam konteks semasa, kerana dalam Islam itu amat memerlukan watak-watak yang sesuai dengan jiwa kewanitaan untuk mendepani cabaran masa hadapan.
Nahdah Wanita dan Madani
Hari ini kita berada di zaman yang cukup penting dan begitu kritikal sekali. Kalau dahulu kita berada di persimpangan sebagai gerakan Islam yang dianggap berada di sayap pembangkang. Namun kini, cabaran kita adalah bagaimana untuk berperanan dalam suasana yang begitu penting ini dan tidak lain perlu berusaha dalam pelbagai keadaan sesuai dengan peranan gerakan kewanitaan jamaah. Program-program kekeluargaan dan kewanitaan yang sedang digerakkan oleh ahli-ahli gerakan kita mesti sama-sama kita dokong. Ini kerana gerakan ini tidak boleh dibiarkan bersendirian. Agenda Madani bagi kita bukanlah baharu dalam gerakan ini. Tetapi ia adalah kesinambungan perjuangan jamaah ini sejak tahun 70an lagi. Apa yang perlu kita lakukan adalah memberi nafas baharu. Bertindak sesuai dengan pendekatan yang baharu dan bersedia melakukan strategic alliance dengan pihak berkepentingan bagi melebar luaskan dakwah kita ke pelusuk dunia.
Wanita dalam kerangka jamaah kita harus lebih bersiap sedia dengan agenda dan strategi yang boleh membangkitkan semangat generasi lama dan baru. Jangan kita berasa, kita sebagai orang lama sudah tidak boleh berperanan lagi. Walaupun kita berada dalam Gagasan Malaysia Madani, gerakan untuk mencalarkan agenda ini juga sedang berlaku. Kita tidak punya pilihan melainkan berusaha memanfaatkan ruang dakwah ini sebaik mungkin kerana peluang itu tidak datang sekali lagi.
Puan-puan sekalian,
Akhir kalam, saya mengucapkan terima kasih kerana bersedia mendengar ulasan saya yang tidak seberapa ini demi untuk berkongsi dengan semua ahli MPSK pada hari ini. Saya percaya jika kita bersungguh-sungguh menyatu tekad pada hari ini dan balik membawa agenda perubahan selaras dengan mengangkat Tekad Madani, saya yakin kita mampu terus berjaya membawa dakwah ke persadanya. Kita mungkin sekadar membaca tulisan almarhum, apa yang diungkap dan dikaryakan, tapi kita mempunyai tanggungjawab sebagai ahli gerakan untuk melaksanakan amanah kepemimpinan yang telah dipelopori oleh almarhum. Mari kita sama-sama sedekah al-fatihah kepada almarhum Dr Siddiq Fadzil.
Sekian. Wassalam
* Ulasan Kertas Kerja Menyegar Nahdah Kewanitaan, tulisan Almarhum Dr. Siddiq Fadzil (2013), dibentang dalam Majlis Perwakilan SALWA Kebangsaan (MPSK) kali ke-5 di IDCC, Shah Alam, Selangor.