TAJDID DAKWAH DR SIDDIQ FADZIL

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada 31 Ogos 2021 yang lalu, Profesor Dato’ Dr Siddiq Fadzil telah kembali ke rahmatullah. Beliau ialah seorang ilmuwan Muslim dan pendakwah yang telah meninggalkan sumbangan tajdid dakwah yang besar sepanjang hayatnya terutama kepada umat Islam di Malaysia.

Dr Siddiq Fadzil dilahirkan pada 4 Januari tahun 1947 di Bagan Datoh, Perak. Setelah menamatkan pendidikan rendah di Kampung Sungai Tiang Darat, beliau melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh, Perak pada tahun 1959-1966. Di peringkat pengajian tinggi, beliau meraih ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1974, Sarjana Persuratan (M.Litt.) dalam Pemikiran Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1978 dan beliau memperolehi ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam dari Institut Bahasa Kesusateraan dan Kebudayaan Melayu pada tahun 1989.

Beliau mula melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan dakwah semenjak pengajiannya di universiti. Beliau pernah memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di samping Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Beliau kemudiannya menerajui ABIM sebagai Presiden ketiga dari tahun 1983-1991 dan mantan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) pada tahun 2005-2015.

Dalam bidang akademik, Dr Siddiq Fadzil telah berkhidmat sebagai pensyarah UKM sejak 1974 sehingga 2001. Sepanjang hayatnya, Dr Siddiq Fadzil giat dalam bidang penulisan dan menyampaikan syarahan akademik, khususnya dalam bidang pemikiran Islam, peradaban Melayu, pendidikan Islam dan pengurusan Islam. Beliau telah menghasilkan pelbagai penulisan, khususnya dalam bidang pemikiran dan ilmu-ilmu Islam, sejarah dan kebudayaan Melayu-Islam. Beliau merupakan Felo Akademik dan Ketua Panel Penulis modul Pengurusan Tauhidik dan buku Pengurusan Islami: Menghayati Nilai-nilai Qur’ami yang diterbitkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Antara buku-buku hasil karya beliau ialah Sejarah Orang Cina di Tanah Melayu; Kebangkitan Umat: Kenyataan dan Harapan; Di bawah Naungan al-Quran; Mengangkat Martabat Umat; Minda Melayu Baru; Perspektif Qur’ani: Siri Wacana Tematik; Pemerkasaan Bangsa: Peranan Kepimpinan, Agama dan Budaya, Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan I & II; Islam dan Melayu dan Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan.

Atas sumbangan dakwah dan ilmiah tersebut, Dr Siddiq Fadzil telah menerima Darjah (PCM) oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan (1995), Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan (2001),  Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak (2006) dan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada 10 September 2018 di Masjid Wilayah Jalan Duta Kuala Lumpur, disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

Aspek-aspek Sumbangan Tajdid

Sumbangan tajdid dakwah Dr Siddiq Fadzil dapat dibahagikan kepada dua aspek utama iaitu pertama, pembangunan landasan keorganisasian dakwah moden dan kedua, pembinaan ilmu dan pemikiran Islam kontemporari. Sebagai seorang ilmuwan-aktivis, Dr Siddiq Fadzil terlibat langsung dalam bidang keorganisasian dan pembangunan institusi dakwah. Sumbangan ini dapat dilihat terutamanya ketika beliau memimpin beberapa pertubuhan dakwah seperti PKPIM, ABIM dan WADAH.

Sepanjang tempoh kepemimpinan beliau dalam pergerakan Islam tersebut, beliau bersama rakan-rakan seangkatannya terlibat dan bertanggungjawab mengembangkan peranan dan sumbangan gerakan dakwah terhadap masyarakat samada di peringkat tempatan atau luar negara. Beliau dan angkatannya didapati berusaha menterjemahkan fungsi pergerakan Islam sebagai perkumpulan penyelesai masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Dalam erti kata lain, peranan gerakan Islam akan lebih bermakna dan berkesan sekiranya ia mampu menawarkan penyelesaian alternatif terhadap segala keperluan masyarakat dan negara samada ia berbentuk dasar, pendekatan atau program berbentuk praktikal.

Landasan aktivisme dakwah yang berasaskan penyelesaian masalah umat yang digerakkan oleh kepemimpinan Dr Siddiq Fadzil dan angkatannya telah mendorong ABIM sebagai sebuah pergerakan Islam menubuhkan pelbagai institusi dakwah dalam pelbagai bidang dan keperluan masyarakat dalam aspek kependidikan, ekonomi dan sosial pada hari ini.

Dalam bidang kependidikan Islam misalnya, ABIM telah mempelopori bidang pendidikan pra-sekolah dan pembangunan institusi pendidikan Islam swasta di peringkat rendah, menengah dan tinggi, Penubuhan institusi-institusi ini adalah dilandaskan pada pemikiran tajdid keorganisasian dakwah semasa iaitu menawarkan model dan alternatif kepada masyarakat dalam bidang kependidikan berasaskan Islam.

Berasaskan landasan tajdid keorganisasian dakwah sebagai penyelesai masalah masyarakat, ABIM telah mempelopori penubuhan institusi yang dikenali Islamic-Outreach ABIM (IOA). Peranan IOA amat penting sebagai wasilah yang memberi peluang masyarakat bukan Islam mengenali agama Islam secara teratur menerusi bimbingan oleh para sarjana Islam yang berwibawa. Menerusi IOA, ia memberi penyelesaian dari segi khidmat bimbingan dan pusat penyebaran informasi berkaitan agama Islam yang sebenar terutamanya kepada masyarakat bukan Islam.

Pembangunan landasan tajdid keorganisasian dakwah masa kini dalam  bidang kependidikan dan dakwah kepada masyarakat bukan Islam merupakan antara sebahagian dari contoh sumbangan tajdid oleh Dr Siddiq Fadzil dan angkatannya terhadap pembangunan gerakan Islam Malaysia di era moden. Dalam erti kata lain, pada perspektif Dr Siddiq Fadzil, salah satu faktor keberkesanan dan ketahanan gerakan dakwah masa kini ialah apabila ia berkeupayaan memahami permasalahan masyarakat dan seterusnya berusaha menawarkan program alternatif sebagai penyelesaian terhadap  keperluan mereka.

Tajdid Pemikiran Islam

Manakala sumbangan dakwah Dr Siddiq Fadzil dalam aspek pembangunan ilmu dan pemikiran Islam dapat dilihat dalam beberapa bidang antaranya bidang teori pendidikan Islam, pemikiran politik Islam, ilmu ketamadunan, tafsir al-Quran, pengurusan Islam dan sastera Islam.

Pembangunan teori pendidikan Islam merupakan antara sumbangan tajdid terpenting oleh Dr Siddiq Fadzil semasa hayatnya. Dalam pelbagai siri pidato dan penulisan berkaitan kependidikan Islam, beliau mendokong falsafah pendidikan bersepadu yang bertunjangkan prinsip dan nilai tarbiah Islamiah. Beliau menggarap teori pendidikan Islam bercitrakan tauhid Islam. Menurut beliau, pendidikan Islam yang hakiki harus berkeupayaan memberi kesan terhadap perubahan watak bangsa terutama mampu menanggap wawasan perubahan dan menghayati nilai-nilai unggul agama seperti kebenaran, keadilan dan kebebasan dalam kehidupan mereka.

Wacana teori pendidikan Islam yang dikemukakan oleh Dr Siddiq Fadzil telah dirangkum dalam tema Falsafah Pendidikan Al-Hikmah. Ia merupakan sebuah gagasan perjuangan bagi gerakan kesepaduan teori ilmu Islam, penerapan nilai-nilai unggul dan pembentukan watak generasi umat Islam. Beliau sentiasa mengkritik orientasi pendidikan yang tidak bersandarkan falsafah al-hikmah yang dianjurkan oleh Islam kerana ia akan membawa kepada kelahiran generasi yang hanya bijak namun terputus nilai dan akal budi.  Oleh itu, menurut Dr Siddiq Fadzil, perjuangan kependidikan Islam hendaklah berorientasikan kemasyarakatan dan kerakyatan agar proses penghayatannya dapat dilestarikan ke segenap ruang kehidupan umat Islam tanpa terbatas. Orientasi kependidikan Islam bermotifkan keuntungan secara keterlaluan akan  membataskan peluang memperoleh ilmu pengetahuan dan menjadikan pendidikan Islam berbentuk eksklusif.

Wacana Tematik Pemikiran Qura’ni

Bidang tafsir al-Quran juga merupakan salah satu sumbangan ilmiah penting oleh Dr Siddiq Fadzil. Beliau telah menyampaikan kuliah tafsir al-Quran secara berkala di Pusat Latihan ABIM, Kajang, Selangor. Siri kuliah tafsir secara bertema itu telah dibukukan dalam Perspektif Qur’ani: Siri Wacana Tematik (2003) terbitan ABIM. Tafsir al-Quran secara bertema atau maudu’i merupakan satu pendekatan baru bagi menghuraikan makna-makna al-Quran dan hubungannya dengan pelbagai fenomena dan peristiwa kehidupan dan ketamadunan umat semasa.

Siri wacana tematik yang dikemukakan oleh Dr Siddiq Fadzil itu dapat dilihat sebagai sebuah interaksi intelektual beliau selaku seorang ilmuwan dengan perkembangan sosial yang tumbuh secara dinamik dalam kehidupan masyarakat semasa. Dalam erti kata lain, Dr Siddiq Fadzil berusaha membantu masyarakat memahami pelbagai isu dan persoalan yang berkembang dalam kehidupan semasa menerusi perspekif al-Quran dan memberikan pengajaran serta panduan terbaik kepada mereka mengharungi cabaran-cabaran zaman berpandukan bimbingan wahyu Ilahi. Sumbangan pemikiran tafsir ini amat besar terhadap pembangunan ilmu-ilmu al-Quran dalam kehidupan kontemporari.

Selain bidang tafsir al-Quran, sumbangan Dr Siddiq Fadzil terhadap tajdid dakwah dalam bidang syariah dan politik Islam serta hubungan ketamadunan insan juga penting dicatatkan. Beliau amat memberi penekanan terhadap keunggulan syariah Islam sebagai pedoman bagi pembangunan bidang-bidang kehidupan umat Islam yang amat luas. Oleh itu, beliau menggesa umat Islam menghayati ilmu berkaitan objektif-objektif syariah (maqasid al-syariah) kerana ia adalah falsafah agama Islam yang akan memandu pemikiran umat serta akan memastikan relevensinya dalam kehidupan masa kini.

Ilmuwan Berorientasi Tajdid dan Islah

Selaku seorang ilmuwan-masyarakat yang berorientasikan pemikiran tajdid dan islah, Dr Siddiq Fadzil menegah umat Islam terjerumus dalam lingkungan kebekuan akal fikiran sehingga menyempitkan ruang membangunkan idea-idea baru yang sejajar dengan keperluan umat semasa. Sehubungan dengan itu, beliau terbuka dengan perkembangan ilmu-ilmu baru, bersedia mengadaptasi metod dan aplikasi moden selagi mana ia terangkum serta selari dengan matlamat dan tujuan maqasid syariah.

Berpandukan kerangka pemikiran tajdid ini, Dr Siddiq Fadzil mengembangkan wacana masyarakat Muslim demokrat dalam teori pemikiran politik Islam. Beliau juga menganjurkan amalan demokrasi dipandu oleh ilmu siasah syariah dan menggalakkan penglibatan masyarakat Islam dalam sistem politik pelbagai parti yang menjadi resam kehidupan masyarakat global masa kini.

Sehubungan itu, dalam karya Islam dan Melayu (2012), beliau menganjurkan umat Melayu agar meningkatkan proses pemberdayaan diri menerusi penghayatan nilai-nilai agama yang luhur, terbuka terhadap pembaharuan dan kepelbagaian serta menghargai kebijaksanaan yang terkandung dalam tradisi serta warisan mereka yang kaya. Dalam hubungan ini, beliau mengajak umat Melayu-Islam agar menghayati prinsip budaya hidup damai dengan masyarakat yang berbeza dan pelbagai dalam kehidupan moden yang global hari ini. Beliau menganjurkan amalan dialog antara agama dan tamadun manusia terus diperluaskan pada hari ini kerana kepentingannya sebagai wasilah menyampaikan risalah Islam yang merupakan rahmat ke seluruh alam atau rahmatan lil alamin.

Semoga Allah SWT merahmati ruh Allahyarham Dr Siddiq Fadzil dan mendoakan segala sumbangan tajdid dakwah yang ditinggalkan menjadi bekal jariah abadi di hari akhirat. Al-Fatihah.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM dan Setiausaha Nadwah Ilmuwan ABIM. Artikel ini telah disiarkan oleh Dewan Tamadun Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Oktober 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *