PERUTUSAN SAMAHAT AL-`ALLAMAH AL-SYAYKH AL-QARADAWIY KEPADA RAKYAT MALAYSIA (2)

Tarikh: 27 Oktober 2014.

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga dan para sahabatnya,  juga seluruh umat yang mengikut petunjuknya.

Sesungguhnya  Malaysia menempati posisi istimewa di jiwa kami,  demikian juga rakyatnya  yang kami cintai sepenuh hati.   Kami sentiasa mengharapkan agar Malaysia dapat menjadi contoh negara Islami kontemporari yang moderat (wasatiy) dan maju.  Harapan ini tentunya tidak akan tercapai  tanpa perpaduan rakyatnya dalam perjuangan, gemblengan kekuatan mereka yang prihatin terhadap masa depannya, dan kerjasama mantap seluruh warganya untuk berdiri tegak dan teguh bagaikan bangunan yang gagah, kukuh  dan utuh:

صفّا كأنّهم بنيان مرصوص

…barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu   bangunan yang terususn kukuh.

(Al-Saff:4).

Untuk itu, bidang kehakiman tidak seharusnya dijadikan pentas silang sengketa permusuhan politik,  atau alat menekan dan menindas pembangkang dengan isu dan tuduhan palsu.  Semua orang, jauh dan dekat,  sama-sama  tahu  bahawa ia lebih bermotif  mencemarkan imej  dan merosak citra daripada mencari kebenaran. 

Sesungguhnya kami berkeyakinan bahawa kekuatan dan kemajuan Malaysia selama ini sebenarnya lahir dari komitmen menegakkan nilai-nilai kebebasan dan demokrasi, juga dari kesungguhan menegakkan prinsip kepelbagaian pemikiran dan persaingan yang sihat demi negara ini.

Dalam kaitan ini Anwar Ibrahim adalah  seorang pemimpin besar.  Dengan jejak sejarah perjuangan dan pengalamannya, kesabaran,  ketahanan dan kegigihannya sejak muda hingga sekarang,  seharusnya beliau dihormati dan dilayani  selayaknya,  sesuai dengan perjuangannya,   dan tidak wajar sama sekali beliau dilempari tuduhan-tuduhan palsu yang tidak berasas.

Sebelum ini mahkamah Malaysia telah membebaskan beliau dari tuduhan ini,  tetapi tampaknya ada pihak yang bergerak secara sulit dan berkonspirasi  melakukan pakatan jahat,  tanpa mempedulikan  kepentingan Malaysia   — rakyatnya, kemajuannya dan masa depannya.  Kita beriman dengan firman Allah s.w.t. berkaitan dengan peristiwa fitnah keji (hadith al-ifk):   

                 لولا اذ سمعتموه ظنّ المؤمنون والمؤمنات بأنفسهم خيرا وقالوا هذا افك مبين .لولا جاءوا عليه بأربعة شهداء فاذ لم يأتوا بالشهداء فأولئك عندالله هم الكاذبون 

Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong  itu orang-orang mukmin  dan  mukminat tidak  bersangka baik  terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata, “Ini suatu berita bohong yang nyata.”

Mengapa   mereka  (yang menuduh itu)   tidak  mendatangkan   empat saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi   maka  mereka itulah  pada  sisi Allah  orang-orang  yang dusta.    (Al-Nur:12-13).  

Saya menyeru saudara-saudara,  rakyat Malaysia seluruhnya agar bersatu dan bekerjasama,  serta menghindari  pertelagahan yang tidak berfaedah.  Memang sengketa ini membawa petaka, bukan manfaat;  meruntuh bukan membina; merosak bukan memperbaiki.

Disudahi dengan lafaz al-hamdu li ‘Llahi Rabbi ‘l-`Alamin.

Yusuf al-Qaradawiy,

Presiden Persatuan Ulama Muslimin Sedunia

Perutusan Syeikh Yusuf Al-Qaradawi (1)
Perutusan Syeikh Yusuf Al-Qaradawi (2)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *