WARKAH PESANAN SAHIBUL SAMAHAH SYAIKH YUSUF AL-QARADAWI KEPADA ANWAR IBRAHIM & KERAJAAN MALAYSIA (3)

Segala puji bagi Allah. Salawat dan salam ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya serta sesiapa yang mengikuti petunjuknya.

Maka sesungguhnya Malaysia adalah negara tercinta buat kami, mulia di sisi kami dan negara yang kami sayangi. Negara ini mempunyai banyak memori yang indah tersemat di jiwa kami, kecintaan tulus di hati kami dan kedudukan yang tinggi di pemikiran kami. Dan ia telah menghimpunkan kami dan rakyatnya dengan ikatan yang kukuh, serta menemukan ziarah yang berulang-ulang. Hati kami akan berasa gembira setiap kali kami melihat Malaysia mengorak langkah ke arah pencapaian yang lebih tinggi dan kemajuan di pelbagai lapangan. Dan kami berdoa kepada Allah untuk Malaysia, untuk rakyatnya, kerajaannya dan rajanya agar mereka terus sentiasa di atas jalan pembangunan, kemakmuran, kesatuan dan persaudaraan.

Namun begitu cita-cita harapan kami agar ufuk yang melewati keterbukaan pendidikan dan ekonomi, sosial dan keilmuan, turut merangkumi keterbukaan politik. Janganlah kerajaan melihat pembangkangnya sepertimana yang berlaku di negara-negara dunia ketiga. Pembangkang itu adalah sebahagian komponen utama dalam ramuan sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi. Dan ia merupakan ruang penyelamat bagi menjaga keamanan, kesatuan negara dan kestabilannya, dan agar anak-anak muda tidak hanyut ke arah pemikiran yang merosakkan dan arus yang ekstrim.

Saya katakan ini bersempena apa yang berlaku ke atas saudara dan sahabat kami al Ustaz al Kabir Anwar Ibrahim. Dia telah memainkan peranannya yang hebat, mengupayakan pencapaian-pencapaian yang besar dengan usaha-usahanya yang baik. Malaysia dan masyarakatnya telah mendapat faedah dan manfaat daripadanya secara keseluruhan.

Saya telah mengikuti sepertimana orang lain juga turut mengikuti tuduhan ke atas Anwar iaitu tuduhan yang pelik. Tuduhan yang tidak padan dengan usianya, tidak padan dengan akhlaknya, tidak padan dengan agamanya, tidak padan dengan sejarahnya dan juga tidak padan dengan kedudukannnya. Tohmahan ini diliputi keadaan dan suasana yang menghairankan. Dia telah pun dibebaskan daripada tuduhan itu pada peringkat mula perbicaraan dengan pembebasan yang sempurna. Kemudian dia didapati bersalah pula pada peringkat penghukuman yang terakhir selepas berlalu bukti dan tempoh masa yang mustahil boleh menghasilkan sebarang kepastian.

Saya telah mengenali Anwar Ibrahim sejak dia seorang pemuda pada awal usia belianya. Di seorang yang bersemangat aktif di dalam pergerakan organisasi pada masa lalu, dan dia pernah menjadi Presiden ABIM. Kemudian saya mengenali dia ketika dia dipenjarakan (pada pertama kalinya) hanya kerana kepimpinannya yang berpengaruh. Kemudian saya  mengenalinya setelah dia bebas daripada penjara dan dia mula mendekati parti UMNO sehinggalah dia menjadi anggota parti itu. Dia telah memegang banyak jawatan penting dari kementerian hingga menjadi orang nombor dua di dalam parti dan kerajaan.

Saya telah bersama bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dalam pembentukan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), universiti yang diasaskan dan ditegakkan di atas kesepaduan di antara ilmu-ilmu wahyu, ilmu alam dan ilmu kemanusiaan. Saya mengenalinya ketika itu sewaktu bintangnya bersinar di Malaysia, di dunia Arab dan di Barat. Dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Dia seorang pemimpin yang menonjol di Malaysia yang pesat membangun. Dia merupakan salah seorang yang menyumbang kepada kebangkitannya. Dan seluruh alam menungu-nunggu pada waktu itu supaya dia menjadi Perdana Menteri dan ketua Malaysia di tahap yang baru, kalau tidak disebabkan kejutan-kejutan yang dicetuskan oleh politik.

Aku percaya bahawa dia seorang Muslim yang benar, seorang Muslim yang beristiqamah menunaikan kewajipan-kewajipannya, dia menjauhi dan meninggalkan dosa-dosa besar dan perkara-perkara haram, dia beramal demi keagungan agamanya dan kemakmuran negaranya dan dia berkhidmat untuk umat. Hanya Allah sahaja yang menghitungnya dan saya tidak sama sekali mendahului-Nya dalam memberi pengktirafan dan kepujian.

Hari ini Anwar Ibrahim merupakan satu-satunya ahli politik yang tunggal, yang ditimpa, disusuli dan menyusul kes-kes pertuduhan yang penuh dengan syubhah – syak keraguan. Dia dipenjarakan kesekian kalinya berturut-turut!!  Kalau saya meraguinya tentang apa yang dituduh ke atasnya, tentu saya tidak akan menulis surat ini. Saya menolak tohmahan yang dilemparkan keatasnya. Saya boleh sahaja berdiam diri tentang keadaan penyiksaannya terkurung di dalam penjara tetapi saya telah berjanji kepadanya dan saya mengenalinya serta asal-usulnya.

Dan nasihat ikhlas saya untuk Malaysia, rakyatnya dan kerajaannya, nasihat ikhlas kerana saya tidak boleh mengalih pandangan daripada isu ini dan ini mewajibkan saya untuk menujukan seruan kepada SDP Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Dato’ Seri Najib Perdana Menteri Malaysia supaya memberi pengampunan kepada Anwar Ibrahim. Lebih-lebih lagi isu ini tidak berubah dan tidak berganjak pada masa Perdana Menteri sekarang, saya telah menemuinya, saya menulis surat kepadanya, saya memberikan dokongan kepadanya dan saya telah memperbaiki hubungan dengannya.

Saya memohon kepadanya dengan izin Allah semoga menerima seruan ini. Dan saya menyeru supaya menutup lembaran ini yang telah memburukkan imej Malaysia dan pimpinannya. Dan sesungguhnya saya inginkan ke arah penyatuan warga negara yang bersatu, malah penyatuan umat Islam.

Dan ketahuilah bahwasanya ini semuanya adalah ummatmu, ummat yang satu; dan Akulah Tuhanmu, maka takwalah ke­padaKu. (al-Mu’minun: 52)

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai (Ali-Imran: 103)

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (al-Anfal: 46)

Ya Allah, himpunkanlah kalimah atas petunjuk dan himpunkanlah hati-hati atas taqwa dan jiwa-jiwa atas kasih sayang, dan keazaman-keazaman atas amal kebaikan dan sebaik-baik amal. Ameen.

Yusuf al Qaradawi

Presiden Kesatuan Ulama Sedunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *