WARKAH PESANAN SAHIBUL SAMAHAH SYEIKH YUSUF AL-QARADAWI KEPADA ANWAR IBRAHIM & RAKYAT MALAYSIA(1)

Doha: 20 Rabi` al-akhir 1434H

           2hb. Mac 2013M.

Saudara-saudara tercinta di Malaysia:

Saudara Yang Mulia (al-Ustadh)  Anwar Ibrahim dan seluruh warga Parti Keadilan Rakyat (PKR),

Saudara Yang Mulia Fadilat al-Shaykh Abdul Hadi Haji Awang dan seluruh warga Parti Islam Se-Malaysia (PAS),

Saudara-saudara Yang Mulia pimpinan dan warga Parti Tindakan Demokratik (DAP).

                            Al-salamu `alaykum wa rahmatu ‘Llahi wa barakatuh 

Saya mengambil kesempatan ini untuk  menyatakan  hormat yang setinggi-tingginya,  dan mengucapkan selamat  sejahtera  dengan iringan do`a  setulusnya semoga Allah sentiasa  mengurniakan anda rahmat petunjuk-Nya dalam segala urusan,  menepatkan segala langkah dan tindakan,  membimbing anda ke arah kebaikan dan kebenaran demi Islam serta kaum Muslimin umumnya,   dan demi Malaysia yang tercinta khususnya.  Semoga Allah berkenan  melindungi anda sekalian dengan inayah dan riayah-Nya,  mencurahkan nikmat kesejahteraan,  dan melimpahkan rahmat  pertolongan terhadap perjuangan anda   membangun negara dan meratakan keadilan.

Saudara-saudara yang tercinta,

Sesungguhnya negara Malaysia  sangat istimewa bagi kami.  Demikian juga rakyatnya yang kami cintai sepenuh hati.  Malaysia adalah  negara harapan kami,  untuk menjadi sebuah model negara Islam kontemporari yang moderat, maju dan bertamadun tinggi. 

Kami telah lama mengikuti perkembangan kebangunannya sejak mula.  Kami juga telah mengikuti  dan mendampingi anak-anak Melayu (Malaysia) yang menuntut di al-Azhar al-sharif,  dan hingga ke saat ini kami juga masih mengikuti perkembangan gerakan kepemudaan (ABIM)  dan parti Islam (PAS) serta gerakan para aktivis dakwah Islamiah  dan gerakan-gerakan kebajikan/kemasyarakatan lainnya.   

Pada suatu ketika dahulu kami sangat berdukacita apabila parti  UMNO mengalami perpecahan  dengan segala ekorannya yang berupa penganiayaan yang melampau dan menyedihkan ke atas saudara (al-mujahid al-ustadh)  Anwar Ibrahim,  yang ketika itu merupakan orang nombor dua di Malaysia  (Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri).  Kami pasrah kepada Allah  atas segala mehnah (tribulasi) dan fitnah yang menimpanya,  yang  kemudiannya terbongkar,  agar Allah sendiri yang menyerlahkan kebenaran dan mendedahkan kebatilan,   sekalipun tentunya tidak disenangi oleh para durjana.   

Kami tahu bahawa ramai rakyat Malaysia yang  menentang  fitnah dan pembohongan keji tersebut,   termasuk  Parti Islam (PAS)  yang  bersikap kesatria  berpegang pada kebenaran, berdiri teguh bersama Parti Keadilan pimpinan isteri sdr.(al-Ustadh) Anwar, dan disertai  juga oleh DAP yang sependirian menolak  konspirasi fitnah dengan segala kebohongannya.

Tidak terperi  betapa gembiranya dan senangnya hati kami  —   para Islamis di dunia Arab, dan seluruh warga Persatuan Ulama Muslimin Sedunia —  dengan pendirian front (pakatan parti-parti) Malaysia yang bersatu dalam kerjasama atas dasar  kebaikan dan ketaqwaan, sama sekali bukan kerjasama untuk kejahatan dan permusuhan; sepakat dalam kekentalan tekad untuk membina, bukan membinasa; dan berpadu, bukan berpecah;   bersetia mendukung Anwar Ibrahim, melawan mereka yang telah menzaliminya  dengan fitnah dan pembohongan.  Demikianlah sehingga Allah memenangkan kebenaran dan mendedahkan kebatilan kepada dunia seluruhnya.

Demikianlah gembiranya kami apabila pakatan ini mengambil sikap bersama dengan Anwar Ibrahim, menyokong pendirian-pendiriannya,  yang dengan itu sepanjang tahun-tahun yang telah lalu  ia dapat bergerak mantap dalam skema perjuangan yang jitu demi merealisasikan  cita-cita Malaysia yang dilimpahi barakah.  Selama masa tersebut pakatan tidak pernah meninggalkan  pendirian bersama sedemikian.  Semangat bersatu dalam kesalingan bermusyawarah  dan bekerjasama terus kekal berlanjutan di kalangan anggota pakatan (memang pertolongan Allah selamanya bersama jamaah), (dan sesungguhnya Allah menjadi  pihak ketiga kepada gandingan dua rakan)  apabila mereka bersatu dan bekerjasama.  Tetapi apabila keduanya bertelingkah atau terjadi di antara mereka sesuatu yang menyalahi amanah (syaitan akan segera masuk mencelah di antara keduanya).                   

Bertolak dari premis tersebut, kami ingin menegaskan kepentingan perpaduan dalam Islam,  hakikat yang anda sekalian memang sedia mengetahuinya,  bahawa agama ini pada hakikatnya  adalah pengesaan Allah dalam `aqidah, dan penyatuan umat dalam amal dan matlamat ,“Dan sungguh, (agama tauhid) inilah agama kamu, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertaqwalah kepada-Ku.–al-Mu’minun:52.  Kerana itu  Allah s.w.t. menjadikan perpaduan suatu kewajipan syara`,  di samping suatu kemestian dalam realiti kehidupan,  sebagaimana difirmankan Allah,  “Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai,…”  — Ali `Imran:103”, dan firman-Nya lagi, “…dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pemusuhan.  …—       al-Ma’idah:2.

Demikian pula sebaliknya, al-Qur’an  memberikan peringatan tegas tentang bahaya perpecahan dan pertelingkahan.  Allah berfirman menjelaskan  seriusnya bahaya dan dosanya, “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas.  Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat.”  —  Ali `Imran:105.  Allah juga berfirman  menjelaskan  bahaya akibat duniawinya, “…dan janganlah kamu berselisih, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan kekuatanmu hilang…” — al-Anfal:46.  Sementara itu Nabi s.`a.w. pula bersabda, “Jangan kamu berselisih, kerana sesungguhnya umat sebelum kamu telah berselisih, lalu mereka binasa”  —riwayat al-Bukhariy.

Kerana cukup memahami pengajaran penting inilah,  Nabi Harun `a.s. sanggup menahan sabar, membiarkan kaumnya menyembah patung anak lembu  kerana mengkhuatiri berlakunya sengketa yang akan memecah-belahkan mereka.   Dalam kaitan inilah Tuhan  berfirman menerusi lidah Harun `a.s. mengungkapkan kata-katanya kepada Musa `a.s. “ Dia (Harun) menjawab,  ‘ wahai putera ibuku!  Janganlah engkau pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku.  Aku sungguh khawatir engkau akan berkata (kepadaku), “Engkau telah memecah-belah antara Bani Isra’il dan engkau tidak memelihara amanatku.”’ Taha:94.

Orang-orang seperti anda tentunya  tahu tentang ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith tersebut, juga tentang pengalaman  umat-umat terdahulu dan umat Islam sendiri,  yang menyerlahkan  manfaat  kesatuan dan kesepakatan,   dan  buruknya akibat perpecahan dan persengketaan.    Kami  hanya bermaksud  sekadar mengingatkan, kerana peringatan memang selamanya berguna  buat orang beriman sebagaimana difirmankan Allah, “Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin.”  — al-Dhariyat:55.  Kami juga hanya bermaksud menyampaikan nasihat sebagaimana yang diajarkan oleh Rasul Junjungan Besar kita s.`a.w. ketika bersabda, “  ‘agama adalah nasihat’,  kami berkata, ‘ untuk siapa ya Rasulallah?’, sabdanya, ‘untuk Allah, untuk Rasul-Nya, untuk kitab-Nya, untuk pemimpin-pemimpin kaum Muslimin, dan untuk umat awam keseluruhannya’ ”  — riwayat Muslim.

Memang (dalam agama kita)  tidak ada orang (Muslim) yang terlalu kerdil untuk menasihati, dan tidak ada orang (Muslim) yang terlalu besar untuk dinasihati.  

Kita semua tahu bahawa tidak ada jalan selamat dari kerugian duniawi-ukhrawi, kecuali dengan saling berpesan tentang kebenaran dan kesabaran  seperti yang difirmankan Allah, “ Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” —  al-`Asr.

Kerana itu saya ingin menyampaikan suatu seruan kepada  anda  —  saudara-saudara saya di Malaysia    —   seruan tulus yang  —  demi Allah  — lahir dari lubuk terdalam hati yang amat menyintai anda,   seruan yang didukung  ajaran syara` dan pertimbangan rasional:   teruskan segala yang telah anda sepakati selama ini, dan jangan menyimpang.  Bersatulah dan jangan bersengketa,  berpadulah dan jangan berpecah,  bersetialah dan jangan berpisah,   kerana sesungguhnya  kaum sesama mukmin adalah  bagaikan  binaan yang saling memperkukuh. 

Dengan nama Allah,  demi kepentingan Islam dan kaum Muslimin, dan demi kepentingan Malaysia dengan segala impian dan aspirasinya,  saya menyeru anda sekalian agar berpadu  dalam satu barisan seperti bangunan  yang terbina kukuh dan kemas, selesaikanlah  sendiri masalah-masalah kecil yang anda hadapi dengan sikap saling memahami.   Sesungguhnya anda sekalian merupakan masa depan Malaysia yang cerah. 

Saya nasihatkan anda sekalian agar setia kepada segala perjanjian yang telah disepakati, dan jangan sekali-kali dimungkiri,  kerana sesungguhnya Allah telah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah janji-janji.  …”  —  al-Ma’idah:1.   Selain itu Allah juga berfirman, “…dan penuhilah janji, kerana janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya.”  —  al-Isra’:34.    

Saya nasihatkan juga agar anda sekalian mengkaji dan membahas segala masalah yang masih belum selesai  menerusi badan-badan perundingan yang dibentuk dalam Pakatan.  Sesungguhnya dalam perundingan ada kebaikan,  “orang yang beristikharah tidak akan kecewa, dan orang yang bermusyawarah tidak akan menyesal”.  Demikianlah yang selamanya diamalkan oleh al-Rasul s.`a.w. dan para sahabatnya  kaum mukminin.   Firman Allah “…sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka;…”  —  al-Shura:38.  Rasulullah s.`a.w. sendiri diperintahkan Allah agar bermusyawarah lewat firman-Nya, “…dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu.”  —  Ali `Imran: 159.

Saya juga melihat bahawa Anwar Ibrahim    —   berdasarkan  sejarah masa lalunya, pengalamannya, kebijaksanaan dan kegigihan perjuangannya,  kesabaran dan ketabahannya,  sejak  awal zaman mudanya hingga sekarang,   dan kejayaannya memenangi hati rakyat Malaysia dari pelbagai kaum,  Melayu dan Cina     —   memang sewajarnyalah  beliau  berada di puncak senarai yang akan mengetuai kerajaan dan memimpin negara.  Beliaulah orang yang tepat  untuk posisi kepimpinan tersebut, yang mampu melaksanakan  segala tuntutan  pada tahap penting ini untuk membangun Malaysia dalam segala bidang.  Dan selama ini pun anda sekalian juga telah menyepakatinya.   Kerana itu seluruh pendukung  kebenaran berkewajipan menyokongnya,  berdiri teguh bersamanya sehingga mereka layak dan berhak mendapat pertolongan Allah, “Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)-Nya.  Sungguh Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.”  —  al-Hajj:40.            

Saya dan rakan-rakan para ulama yang menyintai anda sekalian,  dan sentiasa mendo`akan kemenangan anda, kami menunggu-nunggu berita baik tentang kesepakatan kata,   kesatuan barisan dan perpaduan erat di kalangan saudara-saudara dalam waktu yang sesingkat-singkatnya.  

Saya dan rakan-rakan berpesan sunguh-sungguh,   agar anda semua terus kekal sebagai satu kekuatan yang padu dan sepakat,  setiap orang menyukai bagi saudaranya apa yang disukai untuk dirinya, dan demikian pula sebaliknya, tidak menyukai bagi saudaranya apa yang ia tidak sukai bagi  dirinya.   Sesungguhnya  sikap (saling menyintai) sedemikian  itu akan membawa kebaikan yang tidak terhitung kepada anda, kepada saudara-saudara anda,  kepada negara anda, dan kepada semua yang menyintai anda.  Sementara itu jangan sekali-kali anda biarkan sebarang unsur perpecahan menyerap ke dalam barisan anda,  kerana apabila itu berlaku padahnya tidak lain adalah kehancuran dan kebinasaan.

Sesungguhnya umat Islam di timur dan di barat,  di dalam dan di luar dunia Arab berdiri teguh di belakang anda, setia mendukung dan mendo`akan anda; dan di atas segalanya itu adalah  dukungan, pertolongan, bantuan taufiq dan petunjuk  dari Allah Tabaraka wa Ta`ala, “ …Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah.  Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” —  al-Anfal:10.

Semoga Allah memberkati dan membimbing anda sekalian kepada kebaikan, kebenaran dan keberkatan dalam semua urusan,    agama dan dunia,    untuk anda, rakyat dan negara anda.  Semoga Allah berkenan menyatukan anda sekalian dalam petunjuk-Nya, melapangkan rezeki anda,  dan menyelamatkan anda dari kelaparan dan ketakutan (wa at`amakum min ju`, wa amanakum min khawf).  

                    “Ya Tuhan kami,  berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu

                      dan  sempurnakanlah  petunjuk yang  lurus bagi  kami dalam

                      urusan kami.” —  al-Kahf:10.

                          Wa ‘s-salamu `alaykum wa rahmatu ‘Llahi wa barakatuh

Saudaramu:  Yusuf al-Qaradawiy

                     t.t.

Ketua Persatuan Ulama Muslimin Sedunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *