ALMARHUM SHEIKH PROF. DR YUSOF AL-QARADHAWI: ULAMA REFORMIS YANG TEGAS DAN BERANI

PENDAHULUAN
Almarhum Sheikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi tidak perlu diperkenalkan lagi. Ulama kelahiran Mesir ini merupakan seorang tokoh ilmuwan yang cukup berpengaruh di dunia Islam. Ditakdirkan beliau terpaksa menempuh kesukaran hidup apabila kehilangan ayahandanya di usia muda. Namun bakat selaku ilmuwan telah terserlah apabila beliau berjaya menghafal al-Quran pada ketika usianya 9 tahun. Kesukaran hidup disebabkan kemiskinan melahirkan jiwa yang kental lagi berani dalam menghadapi cabaran dan ancaman tatkala menyarung jubah kebesaran sebagai seorang ulama.

Beliau mendapat latihan dan pendidikan secara terus daripada Hasan al-Banna, pengasas pergerakan Ikhwan Muslimin, sebuah gerakan dakwah yang cukup berpengaruh di Mesir ketika ini. Beliau ada menulis sebuah buku yang dicatat di dalamnya pemerhatian, juga untaian kata-kata nasihat sepanjang beliau bersama Hasan al-Banna.

Kekentalan jiwa beliau terserlah apabila telah dipenjarakan berkali-kali di usia muda. Pemenjaraan beliau membuatkan beliau agak terlewat dalam meraih ijazah kedoktoran tetapi tidak menumpulkan ketajaman fikiran dan kecerdasan akal beliau, sehingga kajian atau tesis PhD beliau mendapat anugerah tertinggi di Universiti al-Azhar pada masa itu.

Kemuncak intimidasi terhadap beliau adalah, apabila beliau dihalau keluar dari Mesir lalu diberikan perlindungan oleh Kerajaan Qatar dan menetap di Dubai sehingga akhir hayat beliau.

PERSAHABATAN DENGAN ANWAR IBRAHIM
Pada tahun 1974 beliau telah mendapat satu tugasan untuk ke Malaysia atas urusan Kerajaan Qatar. Beliau telah bertanya dengan beberapa rakan beliau di WAMY (World Assembly of Muslim Youth) siapakah pemimpin gerakan Islam yang wajar beliau temui. Teman-teman beliau mencadangkan agar beliau bertemu dengan Saudara Anwar Ibrahim yang ketika itu sedang memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Bermula dari situlah perhubungan beliau dengan Saudara Anwar Ibrahim berlanjutan hingga ke hari ini.

Beliau sendiri mengakui kekuatan Anwar selaku tokoh muda Islam yang mempunyai pemikiran yang baik dan mampu berinteraksi dengan dunia Barat dan dunia Timur. Beliau sentiasa memberikan tumpuan kepada Anwar Ibrahim dan bersedia memberikan pandangan dan nasihat.

Beliau beberapa kali datang ke Malaysia semasa Anwar Ibrahim berada dalam kerajaan. Perbincangan-perbincangan mengenai soal pemikiran, ekonomi, pendidikan serta hal ehwal politik antarabangsa yang melibatkan umat Islam akan dikongsikan bersama. Perhubungan mereka menjadi lebih akrab di mana Saudara Anwar Ibrahim juga sering berhubung dengan anak lelaki Sheikh Yusof Qaradhawi iaitu Muhammad.

PENGLIBATAN DALAM REFORMASI
Sokongan Sheikh Yusof Qaradhawi terhadap Saudara Anwar di era kebangkitan rakyat dapat dikesan secara jelas menerusi satu dialog. Beliau diminta untuk memberikan pandangan berkaitan dengan fitnah yang dilemparkan kepada Saudara Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Beliau tanpa sebarang kesangsian menyatakan ia adalah fitnah dan secara jelas ia termasuk dalam kesalahan qazaf. Kesalahan ini tertakluk kepada hukum had (hudud) walaupun, ada juga ulama yang berpandangan ia adalah takzir kerana melibatkan perlakuan liwat.

Beliau juga berpandangan bahawa, mangsa fitnah berkewajipan untuk membela dirinya bagi membersihkan maruah yang tercemar. Beliau juga menyeru agar masyarakat sekeliling bangun membantu membersihkan nama mangsa fitnah terbabit. Beliau juga dengan jelas menyentuh perilaku Perdana Menteri ketika itu (Mahathir Mohamad) yang sewajarnya melantik hakam bagi menyelesaikan persengketaan antara beliau dengan Anwar Ibrahim. Ia mengambil contoh dari langkah yang diambil oleh 2 orang sahabat iaitu Ali bin Abu Talib r.a dan Muawiyah bin Abu Sufian r.a.

Berikut adalah kata-kata beliau yang menggambarkan perasaan beliau ketika itu:

“Amat besar harapan saya terhadap saudara-saudara besar saya di negara Malaysia tercinta, agar mereka berusaha sedaya upaya untuk memadamkan api fitnah dan kembali bersatu padu memperkuatkan ketahanan bangsa, demi menghadapi pakatan-pakatan jahat yang dirancang oleh kuasa-kuasa besar bagi menghancurkan mereka secara khas dan kaum Muslimin secara am. Dan itulah cara termudah bagi mereka menikmati kekayaan dan khazanah negara pada saat umat sedang dalam kealpaan dan saling bercakaran sesama sendiri.

Jiwa saya seperti berkecai dan hati saya rasa seperti dihiris melihat kejadian-kejadian yang berlaku terhadap umat Islam. Allah telah menjadikan mereka sebagai umat terbaik untuk manusia, tetapi sayangnya mereka saling melancarkan tipu daya untuk menjatuhkan satu sama lain. Akhirnya yang rugi tentulah negara dan bangsa itu sendiri.”

Begitu bermakna sekali ucapan beliau yang jelas menggambarkan kekecewaan dan kesedihan dengan fitnah yang dibuat ke atas Saudara Anwar Ibrahim. Beliau menegaskan tidak akan memijak bumi Malaysia selagi Anwar Ibrahim tidak dibebaskan.

PENYOKONG KUAT REFORMASI RAKYAT MALAYSIA
Kita semua maklum Anwar Ibrahim dibebaskan pada 2004 setelah menjalani hukuman penjara selama 5 tahun. Beliau aktif semula di gelanggang siasah negara setelah itu. Hasilnya pada PRU ke-12, tahun 2008, buat pertama kalinya majoriti 2/3 BN telah berjaya dinafikan oleh pembangkang. Melihat kepada keadaan ini, BN mulai cemas dan bertindak melemahkan musuh politiknya menerusi pelbagai rancangan jahat. BN yang bertukar nakhoda ketika itu dipimpin oleh Najib Razak. Sekali lagi fitnah digunakan untuk melemahkan langkah Anwar Ibrahim. Plot-plot fitnah 2 diusahakan. Tidak sekadar itu, kekuatan Anwar Ibrahim selaku pemimpin gerakan Islam cuba dimusnahkan. Ada yang termakan dan ada juga yang melawan kembali.

Menyedari kuatnya pengaruh Yusof Qaradhawi ke atas umat Islam di Malaysia, pihak kerajaan cuba melunakkannya dengan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 2009 kepada beliau. Setelah upacara penganugerahan selesai, dalam satu ceramah di Masjid Negeri Selangor, Shah Alam, tanpa berselindung beliau menyatakan dengan jelas:

“Saya mengenali Anwar Ibrahim sejak 25 tahun yang lalu. Ketika itu Anwar adalah Presiden ABIM. Apabila Anwar menyertai kerajaan, hubungan kami masih akrab. Setelah Anwar difitnah dan dipenjarakan, saya sering mendoakan agar beliau tabah dan tidak mengalah. Sekarang beliau adalah harapan kepada rakyat yang mencintai keadilan dan keamanan sejagat. Saya minta tuan-tuan dan puan-puan agar bersama-sama Anwar Ibrahim untuk mengangkat martabat kemanusiaan yang meletakkan keadilan dan prinsip Isam sebagai asas perjuangan.”

Inilah teladan yang sukar dicari pada hari ini. Seorang ulama yang tegas dan jelas mempertahankan perinsip dan kebenaran. Maruah dan pendirian beliau tidak dapat dijual beli.

Menerusi pemikiran dan pengamatan yang tajam, beliau menyedari mengenai taktik yang dimainkan oleh musuh-musuh politik Anwar. Gerakan Anwar terus diserang dari pelbagai sudut. Beberapa orang pemimpin parti Islam sudah mula mengendurkan sokongan terhadap Anwar. Angin yang menyemarakkan api permusuhan mula ditiup, bagi memecahkan kesepaduan Pakatan Rakyat ketika itu. Ada kelompok agamawan tempatan yang terpengaruh.

Tanpa keraguan, beliau sekali lagi mengutuskan surat. Kali ini surat tersebut ditujukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Hj. Abdul Hadi Awang dan Pemimpin DAP agar terus mengekalkan perpaduan, mengutamakan kesepakatan menerusi semangat musyawwarah bagi mendokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau merayu dengan menyatakan:

“Aku dan saudara-saudaraku berwasiat kepadamu (Pimpinan PR) supaya kekal menjadi pasukan yang satu, bersepakat dalam perkataan, mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri dan membenci ke atas orang lain yang ia benci ke atas diri sendiri.

Segala kebaikan itu untukmu, saudara-saudaramu, negerimu dan tiap-tiap orang yang mencintaimu. Jangan benarkan perpecahan memsuki barisan kamu, tiadalah di belakang perpecahan itu selain daripada kebinasaan dan kehancuran.”

Bagi mempertahankan saudara Anwar yang difitnah buat kali kedua, sekali lagi Yusof Qaradhawi menegaskan menerusi satu rakaman video bahawa sesiapa yang merancang fitnah tersebut samada secara langsung atau tidak langsung maka hukumnya adalah ‘munafik’. Bagi mereka yang membantu menyebarkan fitnah itu maka dia terjatuh dalam golongan fasik.

Pendirian beliau yang konsisten menyokong perjuangan rakyat Malaysia yang dipimpin oleh Sdr. Anwar Ibrahim diteruskan pada PRU ke-13. Sepucuk surat yang ditujukan kepada rakyat Malaysia secara jelas memperakui kelayakan Anwar sebagai Perdana Menteri. Pernyataan itu diungkapkan seperti berikut:

“Sesungguhnya saya sendiri berpandangan bahawa Anwar Ibrahim, berdasarkan sejarah dan pengalaman, kebijaksanaan dan perjuangannya, kesabaran dan kecekalannya, sejak usia mudanya yang awal hingga ke hari ini, juga kecintaan yang diperolehinya daripada orang yang baik-baik dari kalangan rakyat Malaysia, dari kalangan orang Melayu dan Cina, maka dia selayaknya berada pada pilihan yang paling atas untuk memegang jawatan Ketua Kerajaan dan Perdana Menteri bagi memimpin Malaysia”

Surat ini telah dilancarkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri pada 26 April 2013 di Lembah Pantai.

Halangan demi halangan terus wujud daripada mereka yang tidak mahu Anwar Ibrahim mengetuai kerajaan Malaysia. Akhirnya beliau dimasukkan sekali lagi ke penjara akibat fitnah liwat kali kedua pada 2015, Yusof Qaradhawi terus mempertahankan sahabat beliau ini.

Tanpa sebarang rasa ragu beliau mengirimkan sepucuk surat kepada Kerajaan Malaysia menyatakan kekesalannya kerana Kerajaan Malaysia sekali lagi mengizinkan perbuatan fitnah ini melatari politik dan kepimpinan negara. Beliau menyatakan:

“Kalau saya meragui akan perbuatannya pada apa yang dituduh, pasti saya tidak menulis seperti apa yang saya tulis sekarang. Sebenarnya, saya boleh untuk berdiam dari apa yang sedang dideritai Anwar Ibrahim di penjara. Namun pengiktirafan kepada beliau, pengetahuan akannya dan kejujurannya, selain kerana nasihat ikhlas daripada saya kepada rakyat dan kerajaan Malaysia; (semua itu) menghalang saya untuk tidak berpihak dari topik ini.”

PENUTUP
Allahyarham Sheikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi telah melaksanakan amanah keulama’an dengan penuh kejujuran dan keberanian. Dari surat-surat mahu pun rakaman video, beliau cukup dekat dengan perjuangan reformasi rakyat Malaysia.

Sewajarnya kita selaku rakyat Malaysia berasa bertuah kerana mempunyai tempat yang istimewa di hati dan sanubari seorang ulama ulung dunia. Marilah kita merenung dengan hati yang terbuka meneliti sikap dan pendirian seorang ulama yang mengenepikan segala kesenangan dunia, mengharungi segala kepayahan demi mencari keredhaan Allah. Ketegasan Almarhum perlu dijadikan contoh oleh ulama di Malaysia.

Almarhum adalah reformis tulen yang mahukan dunia khasnya umat Islam bergandingan memperjuangkan keadilan.

AMIDI BIN ABDUL MANAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *