YUSUF AL-QARADAWI DAN SUMBANGAN PEMIKIRANNYA (1)

oleh Zulkifli Hasan

Pengenalan
Di dalam dunia kontemporari ini diiringi dengan gelombang kebangkitan Islam di seluruh dunia, membaca karya-karya Yusuf al-Qaradawi merupakan satu tuntutan intelektual. Kehebatan dan keikhlasan pemikiran beliau dapat ditelusuri dan dirasai pada setiap penulisannya. Setelah membaca buku terkini beliau ‘Thaurah Sha’ab’ atau ‘kebangkitan Rakyat’ dalam kedua-dua versi Bahasa Arab dan terjemahannya, ia seumpama melengkapkan bukti dan fakta betapa Yusuf al-Qaradawi boleh digelar sebagai ‘mujaddid’ dan ’ulama rakyat’.

Menulis mengenai seorang pemikir dan sarjana besar seperti Yusuf al- Qaradawi merupakan satu tugas yang berat dan amat mencabar. Sesuai dengan bidang kebitaraan, penulis tidak akan cuba untuk mengkaji pemikiran dan sumbangan Yusuf al-Qaradawi dari segenap sudut secara terperinci memandangkan betapa besarnya pengaruh pemikiran beliau dalam pelbagai aspek kehidupan kepada masyarakat dan umat.

Setakat ini terdapat beberapa buah buku dan makalah yang mengkaji pemikiran Yusuf al-Qaradawi. Antara buku yang menyentuh pemikiran Yusuf al-Qaradawi ialah Ahmad Assal bertajuk Yusuf al-Qaradawi Wa Masirah Khamsin Amman fi Da’wah Ila Allah, Muhammad Majdhub, Ulama wa Mufakirun Araftuhum, Isam Talimah, Al-Qaradawi Faqihan termasuk beberapa kertas kerja oleh Abdul Mueim Abu al Futuh bertajuk al-Qaradawi nazir al-Madrasah al Ikhwaniah dan Salahuddin (2007), Al-Takwin al-Ilmi wa Al-Fikri li Qaradawi. Walaupun pengaruh Yusuf al-Qaradawi adalah signifikan kepada umat Islam di Malaysia, namun kajian mengenai pemikiran dan sumbangan Yusuf al-Qaradawi adalah masih terhad dan tidak menyeluruh. Terdapat beberapa kajian di peringkat Doktor Falsafah termasuk kajian individu mengenai Yusuf al-Qaradawi yang di antaranya ialah Pemikiran Yusuf al-Qaradawi dan Pengaruhnya di Malaysia oleh Mohd Rumaizudddin Ghazali, ‘Pengaruh Pemikiran Yusuf al-Qaradawi dalam pentadbiran Zakat di Negeri Selangor’ oleh Nasrul Hisyam (2004) dan ‘Pemikiran Kerohanian Yusuf al-Qaradawi’ oleh Muhammad Kamil Abdul Majid. Fakta ini menunjukkan bahawa hanya terdapat sedikit karya yang mengkaji dan menganalisa pemikiran Yusuf al-Qaradawi khususnya di Malaysia.

Berdasarkan fakta di atas, artikel ini akan membicarakan sumbangan Yusuf al-Qaradawi dan pemikirannya dengan mengambil kira pendekatan dan kerangka ideanya melalui penelitian terhadap penulisan dan syarahannya. Perbincangan dan diskusi ilmiah mengenai pemikiran dan sumbangan Yusuf al-Qaradawi sebagai antara ulama paling berpengaruh di dunia ini perlu diperbanyak dan diperhebatkan. Ini memandangkan betapa signifikan dan pentingnya pemikiran beliau yang amat bersesuaian dengan peredaran zaman dan dalam konteks semasa. Pemikiran beliau ini adalah amat signifikan kerana ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan, mengakar di segenap lapisan masyarakat dan merentasi zaman. Justeru, kertas ini memfokuskan perbincangan mengenai pemikiran Yusuf al-Qaradawi sebagai mujaddid kontemporari dan sumbangannya secara umum di dunia Islam.

Latarbelakang Kehidupan Yusuf Al-Qaradawi
Sebelum menilai dan menganalisa pemikiran dan sumbangan Yusuf al-Qaradawi, adalah penting untuk mengetahui dan menelusuri latar belakang kehidupan beliau. Penulis akan membicarakan secara ringkas latarbelakang keluarga dan beberapa cabaran kehidupan, kecemerlangan dan bakat, ulama rakyat, ilmuan
hebat, tokoh pendakwah dan pengiktirafan dunia.

  • Keluarga dan Cabaran Kehidupan

Yusuf al-Qaradawi merupakan seorang pemikir, sarjana dan intelek kontemporari yang mempunyai kehidupan sederhana. Beliau merupakan seorang anak kampung dilahirkan di desa Shafat al-Turab, Mahallah al-Kubra Negeri Gharbiah, Mesir pada 9 September 1926. Yusuf al-Qaradawi berasal daripada keluarga yang sederhana di mana ayahandanya bekerja sebagai petani dan keluarga ibunya bekerja sebagai peniaga. Ketika berusia dua tahun beliau telah kehilangan ayahandanya dan diikuti oleh bondanya ketika beliau berusia 15 tahun. Beliau dipelihara oleh bapa saudaranya Ahmad (Ghazali, 2012).

Yusuf al-Qaradawi melalui pelbagai cabaran di dalam kehidupannya sejak kecil. Kehilangan ayahandanya sejak berumur dua tahun dan bondanya ketika berumur 15 tahun sudah pasti memberikan kesan yang mendalam kepada dirinya (Al-Qaradawi, 2010a; 2010b). Beliau tidak menikmati kehidupan yang mewah. Suasana keluarganya bersama-sama bapa saudaranya yang mendidik beliau dengan didikan agama termasuk biah kampungnya yang mementingkan ilmu dan amalan agama berjaya membentuk peribadi dan aspirasi Islam dalam diri beliau.

  • Kecemerlangan dan Bakat

Yusuf al-Qaradawi mendapat pendidikan awal di kuttab (pendidikan agama) sejak berumur lima tahun dan Madrasah Ilzamiyyah ketika tujuh tahun. Sebelum usianya 10 tahun, beliau berjaya menghafal Al-Quran sepenuhnya termasuk menghafal kitab al-Tuhfat serta menguasai ilmu tajwid (Ghazali, 2012). Oleh kerana keluarbiasaan kebolehan dan bakat, beliau digelar sebagai ‘Sheikh Yusuf’ ketika berumur 10 tahun lagi dan dilantik menjadi imam. Beliau kemudian menyambung pengajiannya di Maahad Rendah Tanta (Madrasah Ibtid’aiyyah) selama empat tahun dan di Madrasah Thanawiyyah selama lima tahun.

Semenjak kecil Yusuf al-Qaradawi sangat bercita-cita untuk menuntut di Universiti al-Azhar dan cita-citanya telah tercapai apabila beliau melanjutkan pengajian di Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar pada 1952-1953 dan terpilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan. Beliau kemudiannya mengambil pengkhususan di Fakulti Bahasa Arab dan memperolehi ijazah Sarjana dan Diploma Pendidikan dengan pangkat kelas pertama. Beliau juga memperolehi Diploma Bahasa Arab dan Sastera daripada Akademi Kajian Bahasa Arab Tinggi. Pada 1960, beliau telah menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Tinggi di Fakulti Usuluddin di dalam bidang tafsir dan hadith. Oleh kerana keadaan politik Mesir yang cukup gawat beberapa tahun, beliau terpaksa menangguhkan pengajian Ph.D selama 13 tahun dan akhirnya pada 1973, beliau berjaya memperolehi ijazah Doktor Falsafah dengan kepujian melalui tesisnya yang bertajuk Fiqh al-Zakat. Fiqh al-Zakah atau ensiklopedia zakat ini dianggap sebagai sumbangan terpenting dalam aspek zakat pada abad ini (Muhammad Kamil, 2011; Ghazali, 2012).

  • Ulama Rakyat dan ‘Public Intellectual’

Yusuf al-Qaradawi merupakan ulama rakyat dan ‘public intellectual’ (Al-Qaradawi, 1994). Edward Said seorang pemikir hebat adalah antara sarjana yang mempopularkan istilah ‘public intellectual’ seperti yang terkandung dalam siri syarahannya di Universiti Colombia dan buku bertajuk ‘The Legacy of the Public Intellectual’ (Ned & Debjany, 2007). Setelah merenung istilah yang secara umumnya diterima oleh dunia akademik ini, penulis berpandangan bahawa istilah ini sebenarnya juga merujuk kepada terminologi yang ingin penulis ketengahkan di sini iaitu ‘ulama rakyat’. Ulama rakyat ataupun apabila seorang sarjana itu mencapai makam ‘public intelectual’ adalah berbeza dengan sarjana atau cendiakawan biasa. Sememangnya terdapat ramai ilmuan, cendiakawan, sarjana yang mahir dan pakar dalam disiplin ilmu tertentu tetapi perkara ini belum tentu melayakkan mereka digelar sebagai ulama rakyat atau ‘public intellectual’. Dalam membezakan antara ulama rakyat dan ulama biasa ini, penulis tertarik dengan tulisan Jacoby (2008) bertajuk ‘Big Brains, Small Impact’. Seorang sarjana walaupun sehebat mana tidak layak digelar ulama rakyat sekiranya pandangan dan pemikirannya hanya digunakan untuk meraikan pemimpin atau segolongan pihak sahaja. Mereka ini lebih layak digelar sebagai ulama upahan. Seorang ulama rakyat akan memastikan pemikirannya dapat dimanfaatkan seluas-luasnya kepada khalayak umum. Pada penulis seorang ulama rakyat yang hebat haruslah mempunyai ciri-ciri ‘Big Brains, High Impact’. Ulama rakyat akan mendedikasikan kehidupan dan kemampuan intelektualnya untuk masyarakat. Ulama rakyat akan sentiasa berdampingan dengan rakyat, berdiskusi, berdialog, berbicara, bergaul dengan segenap lapisan masyarakat serta sentiasa berusaha untuk menyelesaikan permasalahan umat. Ulama rakyat akan memastikan karyanya atau hasil intelektualnya dapat dimanfaatkan masyarakat. Ulama rakyat tidak akan tergoda dan akur dengan tawaran yang hanya akan merugikan kemaslahatan masyarakat.

Sebagai ‘public intellectual’, Yusuf al-Qaradawi menghabiskan banyak waktunya berdamping dengan masyarakat. Memberikan kuliah dan khutbah di masjid, menjadi imam, menjadi pengetua Maahad Agama dan pengasas kuliah pendidikan dan pengajian Islam di universiti. Beliau memberikan sumbangan dalam menentukan isi kandungan dan sukatan pengajian pendidikan di Qatar. Yusuf al-Qaradawi juga terlibat dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Kesibukan dan pengorbanan beliau menyumbang kepada masyarakat menjadikan Yusuf al-Qaradawi sentiasa dihormati dan dihargai oleh sebahagian besar umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Oleh itu tidaklah menjadi kehairanan apabila beliau telah dipilih untuk mengimamkan solat jenazah Abul A’la al-Maududi seorang lagi ulama rakyat yang dihadiri oleh lebih sejuta jemaah di Pakistan (Al-Qaradawi, 2012a).

  • Ilmuan Hebat

Yusuf al-Qaradawi merupakan ilmuan yang menguasai pelbagai cabang ilmu (Talimah, 2000). Hingga kini, lebih daripada 120 buah buku telah dihasilkan dalam pelbagai bidang seperti aqidah, sumber hukum Islam iaitu Al-Quran dan al-Sunnah, usul al-fiqh, bidang ibadat, hal ehwal wanita dan kekeluargaan, kemasyarakatan, ekonomi dan kewangan, perubatan, politik dan pemerintahan walaupun beliau teramat sibuk dengan jadual harian. Diceritakan bahawa beliau selalu menghabiskan waktunya sehingga 14 jam sehari di perpustakaan rumahnya untuk menelaah dan menulis (Ghazali, 2012). Beliau bukan sahaja menghasilkan penulisan akademik yang berkualiti tinggi dan menjadi rujukan utama ilmuan tetapi menyumbangkan pelbagai makalah di dalam pelbagai majalah dan akhbar harian di peringkat antarabangsa.

Antara buku-buku tulisan beliau yang hampir kesemuanya telah diterjemah adalah Fiqh Zakat, Fiqh Memahami keutamaan, Bagaimana Berinteraksi dengan al sunnah, Fiqh Kenegaraan, Harakah Islamiyyah Satu Tuntutan Kebangunan Islam di antara Tantangan dan Ekstrimisme, Kritik dan Saran Untuk para Da’i Pasang Surut Gerakan Islam, Detik-Detik masa dalam Kehidupan Muslim, Gejala Kafir Mengkafir, Di Manakah Kepincangan Umat, Ibadah dalam Islam, Membangunkan Ummah Suatu Kenyataan bukan Khayalan, Kebangkitan Gerakan Islam dari Masa Transisi Menuju Kematangan, Agama dan Politik, Rukun Dakwah Ikhwanul Muslimun dan banyak lagi. Di antara kelebihan dan keunikan Yusuf al-Qaradawi berbanding ulama yang lain ialah beliau turut memasukkan elemen kesusasteraan di dalam penulisan dan karya seperti syair-syair bermutu tinggi yang sudah pasti menarik minat ramai untuk membaca karya-karya beliau.

  • Pendakwah dan Tokoh Gerakan

Selain daripada diiktiraf sebagai ilmuan,Yusuf al-Qaradawi juga merupakan seorang pendakwah dan tokoh gerakan yang hebat. Keistimewaan ini membezakan beliau dengan barisan ulama lain iaitu terangkumnya ciri-ciri keilmuan dan kesarjanaan dengan ruh gerakan Islam yang sebati dengannya. Beliau melibatkan diri dengan al-Ikhwan al-Muslimun sejak di peringkat sekolah menengah (Al-Qaradawi,
2010a). Beliau juga sangat komited dengan aktiviti dan inisiatif dakwah dan program televisyen beliau seperti Nur Wa Hidayah, a-Shari’ah wa al -Hayah dan Huda al-Islam yang mendapat sambutan jutaan umat di seluruh dunia. Beliau juga telah mengasaskan laman sesawang ‘Islam Online’ yang kini antara laman paling terkenal di dunia mengenai dakwah Islam. Dilaporkan bahawa beliau telah mendermakan keseluruhan hadiah anugerah Dubai pada 2001 yang diterima sebanyak sejuta dirham kepada projek ‘Islam Online’ ini dan Yayasan Orang Buta yang juga ditubuhkan olehnya (Ghazali, 2012).

Yusuf al-Qaradawi melalui pelbagai cabaran dan ancaman semasa hidupnya. Beliau telah dipenjarakan beberapa kali iaitu pada 1949 setelah al-Ikhwan al- Muslimun dikaitkan dengan pembunuhan Perdana Menteri Mesir, pada 1954 kerana perselisihan antara Ikhwanul Muslimin dan Dewan Revolusi pimpinan Jeneral Naguib dan pada 1956 dan kerana perselisihan antara Ikhwanul Muslimin dan Dewan Revolusi pimpinan Jeneral Jamal Abdul Nasser (Al-Qaradawi, 2010b). Beliau pernah didera dan diseksa dan kesannya dirasai sehingga hari ini yang mempengaruhi kesihatan beliau. Walaupun diancam dengan pelbagai jenis ancaman sehingga ancaman bunuh,Yusuf al-Qaradawi tetap dengan pendiriannya. Dalam satu temuramah beliau dengan al Jazeera ketika ditanya oleh wartawan, apakah impian dalam hidupnya, beliau menjawab bahawa beliau ingin mati syahid di tangan musuh Islam (Al-Saleh, 2010).

  • Pengiktirafan Dunia

Yusuf al-Qaradawi mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran dan pendidikan. Antara jawatan yang pernah disandang adalah Penyelia Hal Ehwal di Kementerian Wakaf dan Jabatan Kebudayaan Islam al-Azhar, Pengasas dan Dekan Fakulti Shari’ah dan Pengajian Islam, Universiti Qatar (1977-1990), Pengarah Kolej Agama, Qatar (1961-1972), Pengarah Bahagian Pengajian Islam di Fakulti Pendidikan, Qatar (1973) dan Pengarah Pusat Pengkajian Sunnah dan Sirah, Universiti Qatar (1991 sehingga sekarang). Sebagai ulama yang dihormati dan disegani, beliau merupakan Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, ahli Majlis Rabitah al-Alam al-Islami di Mekah, ahli Lembaga Fiqah Islam di Mekah, ahli Majlis Pengajian Islam Eropah di Perancis termasuk penasihat Shari’ah di beberapa buah bank Islam.

Sumbangan Yusuf al-Qaradawi mendapat pengiktirafan di seluruh dunia dan ini dapat dilihat melalui pelbagai anugerah yang diterimanya seperti Anugerah Ekonomi Islam Bank Pembangunan Islam (1411H), Anugerah Antarabangsa Raja Faisal dalam bidang pengajian Islam (1413H), Anugerah Kecemerlangan Sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1996), Anugerah Sultan Hasan al Bolkiah dalam bidang Fiqh (1997), Anugerah Sultan al Uwais, Emiriyah Arab Bersatu (1999), Anugerah Antarabangsa Dubai (2000) dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah (2009). Pengiktirafan ketokohan beliau juga diakui oleh ramai ulama dan pemikir terkemuka seperti Muhammad al-Ghazali yang juga gurunya, Abu Hasan al-Nadwi, Mustafa al-Zarqa, Tariq Basri, Taha Jabir al-Alwani, Muhammad Fathi Uthman, Ahmad al-Risuni dan Adil Hussain (Al-Qaradawi, 2012a; Ghazali, 2012).

  • Yusuf Al-Qaradawi Sebagai Mujaddid Kontemporari

Berdasarkan kepada ciri-ciri, kehidupan, sumbangan, pemikiran dan pengiktirafan, penulis menganggap Yusuf al-Qaradawi sebagai seorang mujaddid dan tokoh tajdid kontemporari. Seksyen ini akan menelusuri
kelebihan dan keistimewaan serta kegigihan Yusuf al-Qaradawi sebagai mujaddid kontemporari berdasarkan sumbangan pemikiran beliau kepada masyarakat dan umat Islam.

  • Konsep Tajdid dan Mujaddid

Selain dari tajdid terdapat juga perkataan lain yang digunakan untuk merujuk kepada pembaharuan seperti tanmiya (pembangunan), nahda (reinassance), taghyir (perubahan), dan islah (reformasi). Namun demikian, penulis memilih untuk menggunakan istilah tajdid dan mujaddid dalam artikel ini berdasarkan maknanya yang lebih tepat dan sesuai bagi merujuk kepada sumbangan pemikiran Yusuf al-Qaradawi.

Konsep tajdid dan mujaddid ini secara umumnya adalah bersandarkan kepada hadith Rasulullah (s.a.w) diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu (r.a) yang menjanjikan setiap awal kurun, Allah akan mengirimkan kepada umat Islam ini seorang mujaddid. Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah akan mengutus pada umat ini setiap awal 100 tahun seorang mujaddid yang membaharui urusan agamanya” (Abu Dawud, 1998).

Tajdid berasal dari perkataan jaddada yujaddidu, tajdidan yang bermaksud telah, sedang atau akan membaharui. Di dalam al-Quran, terdapat lapan kali perkataan dari kalimah ‘jadid’. Terjemahan tajdid di dalam Bahasa Ingeris ialah ‘renewal’. Al- Maududi (1953) mendefinisikan tajdid sebagai ‘the purification of Islam of all aspects of jahiliyya (non-Islamic practices)’ iaitu mensucikan ajaran Islam dari sebarang aspek jahiliya atau perkara yang tidak menepati hukum syarak. Berdasarkan kepada takrifan al-Maududi ini, tajdid dengan itu bukanlah bermaksud membawa ajaran baru tetapi ianya merujuk kepada usaha dan agenda untuk mensucikan dan mengembalikan ajaran Islam kepada ajaran yang sebenarnya sepertimana yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selaras dengan definisi ini mujaddid atau ‘reformist’ itu merujuk kepada orang yang membawa pembaharuan tersebut.

Artikel ini membicarakan secara umum tajdid kontemporari dengan memilih Yusuf al-Qaradawi sebagai tokoh mujaddid abad ini. Al-Suyuti dan Al-Azimabadi merupakan dua ulama yang secara khusus membicarakan konsep tajdid dan Mujaddid di mana mereka telah mengenalpasti mujaddid di beberapa kurun. Perlu diingat bahawa seorang mujaddid hanyalah seorang ‘reformist’ dan tiada mujaddid yang sempurna atau maksum bahkan tiada kesepakatan ulama untuk mengiktiraf seseorang mujaddid melainkan Khalifah Umar Abdul Aziz. Perlu juga diingat bahawa hadith mengenai mujaddid tidak bermaksud bahawa kita hanya perlu menunggu kemunculan mujaddid pada setiap abad. Maksud yang lebih dinamik dan tersirat ialah hadith ini ingin mengingatkan bahawa perlunya ada usaha-usaha ke arah melahirkan mujaddid pada setiap zaman. Dalam erti kata lain penulis ingin mengetengahkan pemahaman yang lebih segar mengenai konsep tajdid ini iaitu ‘Tajdid as a notion’. ‘Tajdid as a notion’ ini memerlukan umat Islam untuk secara kolektif memikirkan program dan pendekatan yang berkesan untuk melahirkan para mujaddid ini.

Al-Suyuti (1937) meletakkan beberapa ciri dan kelayakan seseorang mujaddid berdasarkan hadith tersebut di atas iaitu: (a) mujaddid mestilah seorang individu; (b) mujaddid mestilah hidup di permulaan kurun; (c) mestilah menguasai Shari’ah dan ilmu; dan (d) diiktiraf keilmuan oleh masyarakat. Ciri-ciri mujaddid oleh al- Suyuti adalah berdasarkan maksud zahir hadith. Namun demikian, al-Azimabadi, Ibn Hajar dan al-Minawi termasuk ulama kontemporari telah bersetuju bahawa mujaddid bukan sahaja hanya boleh merujuk kepada individu bahkan ia boleh juga dalam bentuk institusi atau sekumpulan individu. Mereka juga berpandangan bahawa mujaddid tidak semestinya muncul di awal kurun sepertimana teori al-Suyuti tetapi boleh sahaja di awal, pertengahan atau akhir kurun seperti al-Juwayni seorang mujaddid yang hidup di pertengahan dan pengakhiran kurun kelima hijrah.

Mujaddid tidak semestinya seorang untuk setiap abad. Dalam setiap 100 tahun berkemungkinan akan terdapat lebih daripada seorang mujaddid. Mujaddid juga bukan hanya merujuk kepada tajdid dalam aspek undang-undang Islam atau fiqh bahkan ia merangkumi apa-apa tajdid yang berkaitan dengan Islam. Di antara mujaddid kontemporari abad ke-20 yang diiktiraf oleh ulama ialah Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida yang mempelopori gagasan pembaharuan modenisme Islam, Hassan al-Banna melalui gerakan al- Ikhwan al-Muslimun, Abul A’la al-Mawdudi dengan Jamaat Islami dan Bediuzzaman Said Nursi dengan Risalat al-Nur. Sejarah juga menunjukkan bahawa tajdid diperlukan untuk memperbaharui ajaran Islam dalam pelbagai aspek. Tajdid dalam siyasah dipelopori oleh
mujaddid Khalifah Umar Abdul Aziz, tajdid dalam ijtihad dan usul al-fiqh oleh Imam Shafi’i, tajdid berkaitan tawhid oleh Imam Abu Hasan al-Ash’ari, tajdid dalam metod tafsir Al-Quran oleh Imam Fakhr al-Razi, tajdid berkaitan tawhid, fiqh dan tasawuf oleh Imam al-Ghazali. Bagi abad ke-15H (21M) penulis berpandangan bahawa Yusuf al-Qaradawi adalah mujaddid kontemporari dalam ijtihad berdasarkan sumbangan dan pemikirannya yang sangat signifikan dan besar kepada umat Islam seluruh dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *