HIJRAH KE MALAYSIA BAHARU: MENCARI MAKNA DI BALIK KATA

oleh Siddiq Fadzil

 

Sinopsis ini adalah berdasarkan Syarahan Perdana yang disampaikan oleh almarhum Datuk Dr Siddiq Fadzil (1947-2021) sempena penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah yang disampaikan pada 4 Oktober 2018 di Dewan Besar Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Syarahan Perdana ini berkisar mengenai pencarian makna nilai-nilai yang sepatutnya dipegang dalam mengurus pentadbiran negara ke arah yang lebih baik.

1.             Penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah ini adalah satu penghargaan bagi seluruh para ilmuwan da`i dan pendidik umat. Ia adalah penghormatan yang membawa pesan ketekalan menghayati semangat hijrah, dan pesan perjuangan menghijrahkan umat ke Malaysia Baharu, Malaysia yang lebih baik. Penciptaan Malaysia Baharu adalah hasil perjuangan panjang dengan pengorbanan yang tidak terperi. Demikian sukarnya meruntuhkan suatu sistem, tetapi lebih sukar lagi melakukan rebuilding.

Transformasi Kemanusiaan dan Kebudayaan

2.            Membangun sistem baharu di atas kerosakan sistem lama bukan pekerjaan mudah, apa lagi jika yang rosak adalah manusia dan budayanya. Apalah erti Malaysia Baharu jika sekadar menggantikan si A dengan si B, sedang mentalitinya, mindset-nya, nilai-nilai hidupnya, karakternya dan budayanya masih tetap sama. Maka yang seharusnya menjadi agenda utama Malaysia Baharu ialah transformasi kemanusiaan dan kebudayaan. Meskipun telah lama isu transformasi kemanusiaan diwacanakan, namun tidak pernah ada agenda transformasi kemanusiaan yang serius dan berterusan. Kali ini kita tidak boleh mengabaikannya lagi. Malaysia Baharu harus melaksanakan agenda transformasi kemanusiaan dan kebudayaan dengan objektif membina jiwa dan minda baharu.

3.            Yang berkuasa merubah nasib sesuatu kaum adalah Tuhan. Tetapi dengan syarat, perubahan harus dimulai oleh kaum itu sendiri dengan merubah jiwa dan minda mereka. Demikianlah Tuhan meletakkan syarat Taghyir al-Nufus (perubahan jiwa dan minda) untuk merubah nasib bangsa. Ini bererti transformasi kemanusiaan harus membina jiwa bangsa yang beriman dan jiwa yang menyerap nilai-nilai luhur akhlak mulia. Transformasi kebudayaan pula harus dimaknai sebagai internalisasi set nilai yang dapat mengangkat martabat kemuliaan dan daya maju bangsa, terutama nilai agama, nilai akhlak, nilai ilmu dan nilai ekonomi.

4.            Sabda Nabi s.`a.w., “Setiap agama mempunyai akhlak, dan akhlak Islam ialah malu”. Sifat malu adalah kekuatan moral yang dapat mengawal seseorang daripada melakukan perbuatan keji. Sifat malu adalah ciri orang bermaruah. Nilai malu juga terkait dengan nilai ekonomi. Orang Melayu malu kalau tidak memiliki kemampuan ekonomi. Kekuatan ekonomi orang Melayu adalah soal survival dan maruah bangsa. Malu adalah nilai teras budaya Melayu. Apabila kita menjadi bangsa yang kehilangan sifat tahu malu, itu bererti telah terjadi suatu malapetaka moral dan budaya.

5.            Malangnya nilai-nilai moral: malu, amanah, kejujuran, keadilan hanya ada dalam kitab-kitab akhlak dan tasawuf, tetapi sudah tiada dalam kehidupan nyata. Kebejatan moral sebenarnya adalah fenomena yang telah menyejarah. Dalam khazanah kepujanggaan Melayu kita menemukan pelbagai gambaran kebejatan perilaku yang terumus dalam ungkapan-ungkapan seperti: Beriman di mulut, Hati berlumut; Beriman di lidah, Hati menyalah. Demikianlah hikmah kebijaksanaan dan ketajaman daya renung pujangga silam dalam melukiskan sebuah gambaran defisit moral yang merentas zaman, dari dahulu hingga sekarang.

6.            Segalanya berpunca dari krisis rohaniah, kedangkalan iman yang hanya sebatas lidah dan bibir, tidak tembus menyerap ke pedalaman jiwa. Justeru, jiwa yang tidak dibersihkan dengan siraman iman adalah jiwa yang sakit, tempat bersarangnya segala penyakit rohaniah: nifaq, hubbu ‘d-dunya, hubbu ‘l-jah, kibr, riya’, hasad dan lain-lain sejenisnya. Ekspresinya yang paling jelas ialah kemunafikan budaya. Di mana-mana ada kepura-puraan.

7.            Budaya serakah dan tamak telah mewabak, lalu menyuburlah gaya hidup bermewah-mewah, berlumba-lumba mempamerkan kekayaan, melakukan pembaziran yang melampau-lampau, sombong dengan kekayaan dan angkuh dengan kekuasaan. Di mana-mana menggejala sikap mementingkan diri, mengampu yang di atas, sambil menginjak rakyat kecil di bawah. Sementara itu budaya politik kita sudah tercemar parah dengan politik fitnah, politik pecah-belah dan politik memaksa dan menekan.

Penegakan Moral Politik

8.            Betapapun kerosakan yang telah berlaku, Malaysia Baharu harus dijayakan dengan membangun semula moraliti bangsa. Antara yang utama ialah penegakan moral politik dan moral ekonomi. Pada masa lalu pencemaran budaya politik memang cukup memprihatinkan. Ramai ahli-ahli politik yang sudah mengalami kematian idealisme. Politik  mereka bukan lagi politik maslahah rakyat, tetapi politik kepentingan diri. Yang penting bukan lagi nilai-nilai kebenaran dan keadilan, tetapi kekuasaan dan kekayaan. Ramai ahli politik yang dengan leluasa mencabul budaya kehalusan dan kesantunan. Politik sudah menjadi lahan subur bahasa caci-maki, sumpah-seranah dan carut-marut.

9.            Dalam rangka penegakan moral politik, kita perlu membangun ragam bahasa politik yang santun, dan membina komunikasi politik melalui wacana yang sopan. Kita telah sepakat menerima sistem demokrasi berparlimen, tetapi tentunya bukan tanpa syarat. Ia tidak seharusnya menghakis nilai-nilai kesantunan dan kehalusan jati diri Melayu-Muslim.

10.          Gaya Melayu dahulu mengungkapkan idealisme politik santun, masyarakat bertamadun dan beradab, dan masyarakat penyayang yang berkeadilan sosial. Harus diakui, ideal tidak sentiasa sama dengan realiti. Tradisi politik yang kita warisi tidak semuanya menepati prinsip dan nilai kebenaran, keadilan dan kebebasan. Fiqh politik zaman tersebut pula umumnya mengambil pendekatan mengharamkan perlawanan terhadap kezaliman penguasa demi menghindari bahaya yang lebih besar. Pada era demokrasi dan kuasa rakyat, keadaan tersebut seharusnya sudah berakhir.

11.           Umat harus dibebaskan dari cengkaman pemikiran ulama yang diistilahkan oleh al-Kawakibiy sebagai Fuqaha’ al-Istibdad (ulama fiqh penindasan). Kita memerlukan fiqh politik baharu yang membebas dan memerdekakan umat. Memang politik kita dalam era Malaysia Baharu harus politik pembebasan, iaitu bahagian daripada politik maqasidi, politik yang disemangati objektif khidmat pelayanan demi maslahah dan manfaat bagi umat keseluruhannya. Maslahah umat dalam konteks Malaysia Baharu harus diertikan secara luas dan inklusif, tidak terbatas hanya dalam kalangan umat Muslim, tetapi meliputi seluruh rakyat – Muslim dan bukan Muslim.

12.           Maslahah yang inklusif bererti pemerataan khidmat dan manfaat kepada warga kemanusiaan seluruhnya. Memang kaum Muslimin adalah umat Ukhrijat li al-Nas, umat yang ditampilkan untuk berbakti kepada manusia sejagat. Seterusnya, Islam juga harus mempelopori pembentukan bangsa Malaysia dalam pengertian umat politik mengikut acuan Sahifah Madinah, berasaskan formula “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”.

13.           Politik di mana-mana banyak dikaitkan dengan budaya berbohong. Pemerintahan politik bohong tidak lain adalah kerajaan penipu yang tidak mengamalkan ketelusan, menyembunyikan fakta, memalsukan fakta dan memutarbelitkan fakta. Apabila kebenaran sudah tidak dihormati dan dihargai, politik bohong pun menjadi-jadi. Kebenaran, termasuk yang sifatnya objektif, empirikal dan berasaskan bukti (evidence-based) sudah tidak diiktiraf lagi. Autoriti sudah tidak penting, yang penting populariti. Segalanya sudah menjadi serba subjektif. Kebenaran harus diselamatkan segera sebelum terkubur dalam politik bohong.

14.          Malaysia Baharu harus mengamalkan politik moral yang komited terhadap misi pendaulatan nilai kebenaran dan kejujuran. Sikap benar dan jujur sedang terancam di segala ranah kehidupan masyarakat. Ketidakjujuran tidak hanya wujud di ranah politik, tetapi sudah menggejala di mana-mana, di mahkamah, kepolisan, institusi akademik dan keusahawanan.

Penegakan Moral Ekonomi

15.           Hikmah kepujanggaan bangsa turut memberikan gambaran tentang pengagihan yang saksama (distributive justice) dalam masyarakat tradisional. Ternyata Melayu tradisi sudah mengenal ekonomi yang bermoral: ekonomi gotong-royong, ekonomi timbang-rasa dan ekonomi manusiawi yang kini disebut ekonomi kerakyatan yang dibina dengan penyertaan rakyat demi maslahah dan kepentingan rakyat. Justeru, ekonomi manusiawi adalah ekonomi maslahi-maqasidi. Memang antara maqasid ekonomi Islam ialah realisasi maslahah, terutama maslahah kaum dhu`afa’ (fakir-miskin). Ekonomi maqasidi adalah ekonomi needs-oriented, bukan ekonomi kapitalistik yang hanya menjadi urusan eksklusif orang kaya demi kepentingan orang kaya.

16.          Untuk merealisasikan maslahah, pemerintah harus berperanan seperlunya sesuai dengan kaedah bahawa pelayanan pemerintah terhadap rakyat terikat dengan maslahah. Ekonomi bukan cuma urusan orang kaya, dan bukan cuma urusan para ekonomis. Hakikatnya, ekonomi adalah bidang pelbagai dimensi.

17.           Pembangunan ekonomi sebenarnya sangat terkait dengan budaya dan watak sesuatu bangsa. Tetapi dimensi inilah yang selalu diabaikan. Pengabaian terhadap dimensi budaya akan berakibat kegagalan membina bangsa yang berwatak dan berakhlak. Bahaya dan bencana kehilangan watak atau karakter yang utuh diungkapkan dalam peribahasa Inggeris: When wealth is lost, nothing is lost; when health is lost, something is lost; when character is lost, everything is lost. Ekonomi tidak dapat dibangun semata-mata dengan institusi, teknologi dan infrastruktur. Pembangunan ekonomi memerlukan dukungan budaya yang tepat. Ia memerlukan dukungan etos kerja yang kuat, nilai-nilai motivasi yang kuat dan nilai-nilai moral yang kuat.

18.          Hijrah ke Malaysia Baharu harus dimaknai sebagai hijrah ke pentadbiran maslahi, iaitu pelayanan pemerintah terhadap rakyat menerusi dasar-dasar yang sejalan dengan maslahah, termasuk dasar ekonomi yang berkeadilan, yang membebaskan rakyat kecil dari belitan lingkaran setan kemiskinan. Bukan mereka tidak mempunyai keinginan untuk membangun dan maju, tetapi mereka dihalang daripada membangun. Malaysia Baharu harus diisi dengan perjuangan menangani segala faktor penyebab kemiskinan yang menggejala di mana-mana. Kemiskinan tidak hanya wujud di pedalaman desa terpencil, kemiskinan juga wujud di tengah gemerlap kota. Isu pembangunan dan kemiskinan tidak dapat ditangani tanpa mengkajinya dalam kerangka politik dan sosial yang lebih luas, kerana menurutnya gejala kemiskinan sangat terkait dengan pelbagai faktor seperti pendidikan, nilai-nilai budaya, dasar ekonomi dan politik.

19.          Malaysia Baharu adalah kesempatan bagi kaum dhu`afa’ merubah nasib. Malaysia Baharu seharusnya menjadi era baharu bagi Islam untuk berfungsi sepenuhnya sebagai agama rahmat pembebasan dari segala belenggu, termasuk belenggu penjajahan ekonomi, baik penjajahan kuasa luar mahupun penjajahan oleh bangsa sendiri. Shaykh al-Qaradawiy pernah mengungkapkan tentang pemikiran kapitalistik ala-Qarun di mana intinya adalah individualisme ekstrem dengan segala kebejatan moralnya, bahawa setiap orang bertanggungjawab ke atas nasib dirinya sendiri, dan bebas memperlakukan segala harta kekayaan milikny, tanpa mempunyai rasa tanggungjawab berbakti kepada masyarakatnya, kerana tidak merasa terhutang budi kepada sesiapa.

20.          Malaysia Baharu harus dibangun dengan moral ekonomi berasaskan nilai dan hukum agama, di samping nilai budaya warisan bangsa. Malaysia Baharu bererti era baharu bagi demokrasi. Proses demokratisasi perlu diperhebat di segala aspek kehidupan berbangsa dan bernegara. Esensi demokrasi ialah partisipasi dan emansipasi, yang apabila diterjemahkan dalam agenda pendemokrasian ekonomi bererti rakyat mendapat ruang berpartisipasi aktif dalam kegiatan ekonomi, dan seterusnya terbebas daripada penindasan, diskriminasi dan ketidakadilan. Hijrah ke Malaysia Baharu hanya akan bererti apabila keadilan sosial terlaksana. Agenda pendemokrasian ekonomi harus menjadi keutamaan untuk membela nasib mereka yang diabaikan selama puluhan tahun.

Khatimah

21.           Di balik kata Malaysia Baharu tersirat makna segunung harapan terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjaminnya keselamatan. Segala harapan tersebut hanya akan dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya. Malaysia Baharu harus benar-benar suatu anjakan mendasar dari era sebelumnya, era yang tercedera dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral. Memenuhi harapan tersirat di balik ungkapan Malaysia Baharu adalah misi besar yang amat mencabar!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *