PENDIDIKAN KAEDAH TRADISIONAL BUAT KANAK-KANAK

oleh Dr. Ismail Abdullah


The Guardian pada 11 September 2023, menyiarkan satu tajuk yang berbunyi, “Switching Off: Sweden says back-to-basics schooling works on paper”. Kini mereka mengutamakan buku bercetak, pembacaan secara senyap dan berlatih menulis dengan tangan.

Menteri Pendidikan Sweden, Lotta Edholm setelah memegang portfolio tersebut selama 11 bulan merupakan pengkritik keras terhadap pendidikan yang terlalu bergantung kepada teknologi. Dia telah mengarahkan agar Sweden kembali kepada kaedah tradisional pada peringkat taman kanak-kanak.

Penulis sangat setuju dengan tindakan Sweden itu kerana mendedahkan kanak-kanak tadika kepada teknologi adalah terlalu awal. Kanak-kanak pada peringkat awal perlu didedahkan kepada kaedah tradisi iaitu pembacaan, penulisan, pemahaman yang sederhana dan melatih berfikir.

Juga perlu ditambah pendidikan akhlak, sopan santun, menghormati orang yang lebih tua dan sebagainya agar mereka tidaklah bertanya, apa password? Ada internet atau tidak dan sebagainya berkaitan dengan alam digital ketika sampai pada sesuatu premis, terutama ketika berkunjung ke rumah Atok atau Nenek mereka. Didapati apabila cucu-cucu berkunjung ke rumah Atok dan Nenek tidak lagi bersalaman dengan Atok dan Nenek, tetapi lebih asyik dengan gadjet mereka.

Ada juga ibubapa yang menggunakan gadjet sebagai alat untuk mendiamkan anak-anak mereka agar tidak menganggu mereka berceloteh dengan tuan rumah. Amalan menggunakan gadjet sebagai alat pendiam perlu segera ditamatkan dan mengarahkan mereka segera untuk bergaul dengan mereka yang lebih tua dalam sesuatu pertemuan bersifat kekeluargaan, kejiranan, atau pertemuan-pertemuan lain yang mereka hadir.

Kita perlu mendidik mereka kepada hal-hal yang asas seperti bercerita, membaca, berbual, dan melukis tanpa menggunakan gadjet. Setelah mereka melalui peringkat asas ini, kita tiada halangan untuk mereka menggunakan gadjet-gadjet sebagai alat bantuan pembelajaran kerana ilmu berkembang begitu cepat sehingga tanpa teknologi agak sukar untuk mengejar perkembangan ilmu yang demikian laju.

Perlu ada kajian bagi mengetahui pada peringkat manakah kanak-kanak boleh didedahkan kepada teknologi, tetapi sebelum itu mereka mestilah didedahkan kepada kaedah asas tradisional agar perkembangan kongnitif mereka dapat dibangun dengan sempurna secara berperingkat.

Semoga kita tidak terlambat mencipta alam kanak-kanak yang lebih kepada persekitaran alam dan lebih banyak bermain bagi mengembangkan kebolehan berfikir, membaca dan berinteraksi sesama mereka dan orang yang lebih dewasa. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *