HIDUP DAMAI BERSAMA MENURUT ISLAM

oleh Ustaz Dr. Ahmad Zaki bin Abdul Latiff,
Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Selangor.

Pengenalan: Kepelbagaian Menurut Islam

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia adalah gerakan Islam yang komited terhadap misi tanwiriy (pencerahan) kepada masyarakat tentang hakikat Islam. Tuhan yang kami sembah adalah Allah Rabbul alamin (Tuhan sekalian alam); agama yang kami sembah adalah Islam yang mesejnya adalah rahmatan lil alamin (rahmat buat sekalian alam).

Firman Allah dalam al-Quran (maksudnya):

“Dan tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat buat sekalian alam.”

(Surah al-Anbiya’: 107)

Rahmat adalah teras dan kata kunci yang merumus segala objektif panduan Islam, termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, dan apa sahaja yang membawa kepada maslahah (kepentingan) sekalian alam.
Firman Allah (maksudnya):

“Jika Tuhanmu mengkehendaki tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu…”

(Surah Hud: 118)

Kepelbagaian ciptaan Allah adalah ayatullah (tanda kekuasaan Allah); termasuk kepelbagaian penciptaan manusia yang berbeza-beza rupa fizikal, jantina, warna kulit, bahasa, budaya, bahkan agama. Allah adalah Tuhan yang Al-Hakim (Maha Bijaksana), segala ketentuan-Nya mengandungi hikmah yang harus difahami dan diselami. Hakikat inilah yang membawa kita mengangkat tema Hidup Damai Bersama, tema besar seminar kita pada hari ini.

Firman Allah (maksudnya):

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…”

(Surah al-Hujurat: 13)

Islam agama yang menerima kemajmukan; berbeza agama bukan alasan untuk bermusuhan. Ayat di atas merupakan seruan Allah kepada seluruh umat manusia supaya saling berkenalan dan hormat-menghormati. Allah menciptakan manusia daripada keturunan yang satu iaitu Nabi Adam, lantaran itu Baginda dan keturunan Baginda beranak-pinak hingga lahir manusia pelbagai agama, bangsa, dan warna kulit pada hari ini.

Hidup Damai Bersama: Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan

Damai atau dalam bahasa Arab salam amat berkait rapat kepada umat Islam. Perkataan Islam adalah berakar daripada perkataan ‘salam’, membawa makna Islam sebagai agama damai. Salam juga merupakan salah satu nama (sifat) Allah (As-Salam, Maha Memberikan Kedamaian). Salam juga adalah lafaz yang sering dituturkan oleh umat Islam, baik ketika dalam solat sebagai penutup solat atau ketika bertemu umat Islam yang lain, dengan lafaz “Assalamu alaikum (Damailah ke atas kamu)”.

Pembentukan Hidup Damai Bersama atau ‘at-ta’ayush as-silmiy’ atau ‘peaceful coexistence’ harus berasaskan formula Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan; sebagaimana yang dipopularkan dan kerap dilaungsuarakan oleh almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil. Kita harus bersikap positif dan menerima kepelbagaian agama dan bangsa bukan sebagai punca konflik, sebaliknya punca kekuatan dan dinamika kemajuan. Dalam tatabahasa bahasa Arab, ‘ta’ayush’ daripada perkataan ‘aasya atas wazan (timbangan) tafa’ul membawa maksud kesalingan dan timbal-balik dalam aktiviti atau interaksi melibatkan pihak lain. Dengan erti kata, konsep ‘at-ta’ayush’ berlandaskan semangat saling bertoleransi, saling berkasih sayang,
saling mempercayai, saling memberi dan menerima kebaikan dan kepelbagaian, serta saling melengkapi.

Dikisahkan melalui hadis Nabi Muhammad (maksudnya):

“Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Lalu Nabi ditanya, “Siapakah dia wahai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Orang yang jiran tetangganya tidak merasa damai disebabkan kejahatannya.”

(Riwayat Bukhari)

Hadis di atas merupakan amaran dan penegasan bahawa perbuatan jahat dan kezaliman sesama manusia tidak diterima oleh Islam. Budaya Hidup Damai Bersama adalah tuntutan Islam yang selari dengan tuntutan fitrah manusiawi. Malah juga dalam Islam, antara tujuan maqasid asy-syariah (objektif syariah) Islam adalah kedamaian (Maqasid as-Salam), sebagaimana firman Allah:

(maksudnya) “Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan (Pemilik) rumah ini (Kaabah), yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari rasa ketakutan.”

(Surah Quraiysh: 3-4)

Nilai-nilai asas Hidup Damai Bersama boleh dihayati melalui firman Allah dan sabda Nabi Muhammad:

  1. Keadilan.
    (maksudnya) “…dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah an-Nisa’: 58)
  2. Saling menolong dalam berkebajikan.
    (maksudnya) “…dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksaan-Nya.” (Surah al-Maidah: 2)
  3. Kebebasan beragama.
    (maksudnya) “Tiada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)…” (Surah al-Baqarah: 256)
  4. Saling menghormati dan tidak mencela.
    (maksudnya) “Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok) dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan (yang mengolok-olok). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk.” (Surah al-Hujurat: 11)
  5. Berbuat baik dan adil.
    (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman (tempat) mu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8)
  6. Bersikap wasatiyyah (bersederhana).
    (maksudnya) “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan (bersederhana)” (Riwayat Baihaqi)
  7. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
    (maksudnya) “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang makruf, dan mencegah daripada perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Aali ‘Imran: 104)

Dasar agama Islam adalah menginginkan keamanan dan kedamaian yang sebaik mungkin, sedangkan perang hanya dalam keadaan dizalimi dan terpaksa bagi mempertahankan 5 Maqasid asy-Syariah; memelihara agama Islam, nyawa, akal, keturunan, dan harta.

Firman Allah (maksudnya): “Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya…” (Surah al-Hajj: 39)

Antara prinsip keamanan lain yang dikemukakan oleh Islam;

  1. Prinsip al-Quran yang menggagaskan kedamaian. Firman Allah:
    (maksudnya) “Wahai orang yang beriman! Masuklah ke dalam kedamaian secara keseluruhan…” (Surah al-Baqarah: 208)
    Ayat 208 ini adalah rentetan dari ancaman Allah terhadap pelaku kerosakan terhadap makhluk pada ayat 205:
    (maksudnya) “Dan apabila dia berpaling (dari engkau), dia berusaha untuk berbuat kerosakan di bumi, serta merosak tanam-tanaman dan ternakan, sedang Allah tidak menyukai kerosakan.” (Surah al-Baqarah: 205)
  2. Perang-perang yang terjadi pada zaman Nabi Muhammad dan para Sahabat Baginda tidak dapat dielak akibat kezaliman, pencerobohan, pengkhianatan, dan ujian beragama pada zaman tersebut.
  3. Sahifah (Piagam) Madinah; Nabi Muhammad mengadakan inisiatif merealisasikan keamanan dengan mengadakan satu perjanjian bertulis antara Muhajirin dan Ansar serta melakukan perdamaian dan perjanjian dengan kaum Yahudi.
    Pembinaan negara Madinah sebagaimana yang tercermin dalam Sahifah Madinah yang dilatari kepelbagaian kabilah, agama dan budaya warganya telah membentuk ummah diniyyah (umat keagamaan) dan ummah siyasiyyah (umat kenegaraan).
  4. Perjanjian Hudaibiyyah antara Nabi Muhammad dengan Bani Quraisy; Baginda berinteraksi dengan mereka dan bersikap lembut dengan mereka. Hal tersebut menyebabkan perjanjian berkenaan direalisasikan. Antara keberkatan hasil keamanan itu adalah lebih ramai yang memeluk Islam dan pergerakan penyebaran dalam kalangan kabilah-kabilah Arab. Dakwah Islam dalam tempoh 2 tahun selepas perdamaian lebih luas berbanding kira-kira 20 tahun yang lalu sebelum perjanjian Hudaibiyyah termeterai.

Menyikapi Cabaran Hidup Damai Bersama

Walaupun setelah 66 tahun merdeka, tema perpaduan dan integrasi nasional masih menjadi tema panas untuk dibincangkan. Harus diakui membentuk budaya Hidup Damai Bersama tidak mudah dalam konteks Malaysia dengan kemajmukan masyarakatnya yang berpangkal dari dasar pecah dan perintah (divide and conquer) era penjajahan Inggeris. Walaupun kesedaran tentang keperluan penggagasan faham berbangsa dan bernegara telah wujud seawal tahun 1940-an, namun latar sejarah warisan Inggeris menjadikan integrasi nasional yang dipupuk selepas kemerdekaan menjadi rapuh akibat terisah-pisah dan terkurung dalam kepompong budaya bangsa dan agama masing-masing.

Hari ini, “bingkai kesatuan” dilihat kadang merapuh akibat sentimen perkauman dan perbezaan agama dalam laman-laman media sosial, berpunca daripada permainan persepsi, budaya fitnah, dan hasutan sesetengah individu dan pihak, terutamanya parti politik. Perkara ini bukan sahaja merencatkan proses integrasi nasional sejak 1940-an ini, bahkan mampu menggugat keharmonian kaum dan agama serta keselamatan rakyat.

Budaya Hidup Damai Bersama menurut Islam tidak menerima kaedah asimilasi atau kawah peleburan (melting pot) jati diri budaya dan cara hidup beragama. Cara yang benar bukan memaksa semua bangsa dan agama untuk berasimilasi melahirkan jati diri baharu, tetapi pengekalan kepelbagaian setiap agama dan bangsa dengan kewajaran panduan kawalan agar tidak timbul mafsadah (kerosakan), konflik dan perpecahan sesama pihak lain. Semua ini memerlukan komitmen semua pihak dengan menyemai ruh as-samahah (semangat toleransi) dan menolak ‘asobiyyah (fanatisme kepuakan) yang menolak nilai kebenaran dan keadilan. Membina kerukunan hidup antara para penganut agama yang berbeza juga bukan dengan bermaksud mengkrompomi “akidah” masing-masing. Islam secara tegas menolak kompromi ini dan menawarkan penyelesaian realistik, sebagaimana firman Allah:

(maksudnya) “Kamu dengan agamamu, aku dengan agamaku.”

(Surah al-Kafirun: 6)

Pendidikan Damai


Dalam situasi mudahnya berlaku konflik keagamaan dan adu-domba perkauman, harus ada usaha kolektif mempromosikan Pendidikan Karakter yang berintikan Pendidikan Damai. Malaysia hari ini memerlukan Pendidikan Damai berteraskan nilai-nilai yang dikongsi bersama (shared-values) masyarakat; nilai-nilai yang berfungsi sebagai bingkai pemersatu kepelbagaian seperti nilai keadilan, memajukan negara, pembangunan karakter, menentang gejala moral dan jenayah, melawan kezaliman dan kebobrokan, dan lain-lain.

Dalam kaitan ini, Pendidikan Damai daripada perspektif Islam bertitik-tolak dari sarwa pandangan (worldview) tauhidik. Ia mampu membina persepsi dan sikap yang benar terhadap segala yang wujud dan seterusnya damai dengan Tuhan, dengan diri, dengan sesama manusia, dan seluruh warga alam sekitarnya.

Budaya hiwar (dialog), seperti seminar hari ini, adalah salah satu kaedah Pendidikan Damai dan gaya pendekatan Qurani yang harus dilestarikan. Dialog adalah interaksi pertukaran pandangan dan kata-kata yang bertitik-tolak daripada sikap menerima kepelbagaian pihak lain, saling menghormati, dan saling bersangka baik.

Dalam perkongsian nilai hidup secara sepunya menurut Pendidikan Damai, almarhum Prof. Dr. Siddiq Fadzil telah mengatakan bahawa perumusan Rukun Negara juga adalah usaha penting ke arah pembentukan masyarakat ber-Tuhan yang berintegrasi ini. Penghayatan prinsip (1) Kepercayaan kepada Tuhan dapat menjelmakan bangsa bangsa yang religius dan tamadun berketuhanan yang segala aspeknya politik, ekonomi dan sosial. Prinsip (2) Kesetiaan kepada Raja dan Negara dapat membina bangsa yang terpadu di bawah naungan raja dan bersatu dalam baldatun tayyibah (negara yang berkeadilan dan berkebajikan). (3) Keluhuran Perlembagaan dan (4) Kedaulatan Undang-undang pula dapat membina bangsa yang tertib, berdisiplin dan bersatu dalam menegakkan keadilan rule of law; sementara prinsip (5) Kesopanan dan Kesusilaan seharusnya dapat membina bangsa beretika, berakhlak mulia, terpadu dalam semangat saling hormat dan saling menyayangi.

Antara cadangan Pendidikan Damai yang dianjurkan;

  1. Menyemarakkan budaya hiwar antara Muslim dan bukan Muslim.
  2. Kegiatan mengajak kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah munkar (kejahatan) secara bersama, termasuk aktiviti melestarikan alam, kesedaran kesihatan, kempen menolak sikap mabuk, dan sebagainya.
  3. Mempromosi budaya Hidup Damai Bersama dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan.

Penutup

Dikisahkan melalui hadis Nabi Muhammad bahawa Baginda bangkit berdiri bagi menghormati jenazah seorang Yahudi yang sedang diusung. Seorang sahabat menyebut bahawa itu adalah jenazah Yahudi, Baginda menjawab (maksudnya): “Bukankah ia satu jiwa (manusia)?”

(Riwayat Bukhari)

Nabi Muhammad sebagai suri teladan (role model) umat Islam istiqamah mempamerkan nilai kemanusiaan yang tinggi dalam aspek interaksi sosial, bahawa setiap jiwa manusia memiliki martabat kemuliaan yang harus dihormati. Budaya Hidup Damai Bersama juga telah ditonjolkan Baginda melalui kejayaan Piagam Madinah dan pentadbiran negara Madinah.

Sesungguhnya hidup bersengketa, berprasangka buruk, ketakutan, dan kebencian sesama manusia adalah bercanggah dengan faham agama dan ajaran Islam yang sebenar. Pandangan dan sikap yang mengandungi prasangka, ketakutan, dan kebencian terhadap agama dan orang Islam pula adalah Islamofobia, akibat tidak mendapatkan maklumat sebenar dan salah faham mengenai Islam. Fitrah kemanusiaan menginginkan keamanan, kebersamaan, dan keadilan menjadikan kita menghargai dan menghayati budaya Hidup Damai Bersama dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan.


Rujukan:

  1. Al-Quran al-Karim.
  2. Ahmad al-Raisuni, 2019. Maqasid Keamanan: Agenda Keamanan Menurut Islam. Firdaus Press Sdn. Bhd.
  3. Nik Mohd Yusoff Nik Ismail, 2017. Ucapan Dasar: Membangun Karakter Teras Pembentukan Bangsa Malaysia. WADAH Selangor.
  4. Siddiq Fadzil, 2012. Amanat Pimpinan: Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan. WADAH.
  5. Siddiq Fadzil, 2013. Amanat Pimpinan: Islam Rahmatan lil ‘Alamin dalam Konteks Masyarakat Pluralistik. WADAH.
  6. Siddiq Fadzil, 2018. Hidup Bersama dalam Kepelbagaian: Islam dan Budaya Damai. Institut Darul Ehsan (IDE).
  7. Siddiq Fadzil, 2019. Membina Kesatuan Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama dalam Budaya Damai. IDE.
  8. Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),
  9. Khutbah Jumaat: Menjadi Umat Terbaik. JAIS.
  10. Zulkifli Mohamad al-Bakri, 2018. Bayan Linnas Siri ke-155: Konsep Fiqh al- Ta’ayush: Isu di Malaysia dan Penyelesaiannya. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

* Pembentangan dalam Seminar Hidup Damai Bersama: Hidup Damai Bersama Menurut Buddha, Hindu, Kristian, dan Islam.
28 Oktober 2023, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam
.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *