Ibadah haji merupakan antara manifestasi paling agung dalam syariat Islam yang menghimpunkan dimensi akidah, syariah dan akhlak dalam satu perjalanan yang menyeluruh. Ia bukan sekadar ritual fizikal yang dilaksanakan pada waktu dan tempat tertentu, tetapi suatu perjalanan rohani yang sarat dengan hikmah dan tujuan. Dalam kerangka pemikiran Islam, setiap ibadat memiliki maqasid tujuan dan hikmah yang ingin dicapai. Justeru, haji perlu difahami sebagai satu proses menetapkan dan merealisasikan maqasid ibadat dalam kehidupan seorang Muslim.
Maqasid ibadat merujuk kepada tujuan-tujuan utama di sebalik pensyariatan ibadah, antaranya ialah penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs), pengukuhan tauhid, pembentukan akhlak mulia, serta pembangunan kesedaran kehambaan kepada Allah SWT. Dalam konteks haji, semua tujuan ini dihimpunkan dalam satu pengalaman spiritual yang mendalam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 27 menyeru manusia untuk menunaikan haji sebagai satu panggilan Ilahi yang membawa manusia kembali kepada fitrah. “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
Perjalanan haji bermula dengan niat dan ihram, yang merupakan titik awal dalam menetapkan maqasid ibadat. Niat bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi kesedaran dalam hati bahawa seluruh perjalanan ini dilakukan semata-mata kerana Allah. Pemakaian ihram pula melambangkan pengosongan diri daripada unsur duniawi status, kekayaan dan keangkuhan. Di sinilah maqasid tazkiyah bermula, apabila manusia merendahkan diri dan mengakui hakikat kehambaan.
Larangan-larangan dalam ihram seperti tidak boleh bertengkar, berkata kotor, atau melakukan maksiat merupakan latihan praktikal dalam membentuk akhlak. Ia mendidik manusia untuk mengawal nafsu dan emosi. Ini sejajar dengan maqasid ibadat yang bertujuan melahirkan insan yang bertakwa. Haji bukan sekadar ibadah ritual, tetapi proses pendidikan jiwa yang menuntut disiplin dan kesabaran.
Seterusnya, ibadah tawaf di Kaabah menggambarkan maqasid tauhid yang menjadi asas kepada seluruh ibadat. Kaabah sebagai kiblat umat Islam melambangkan pusat kesatuan dan penyembahan hanya kepada Allah. Pergerakan mengelilingi Kaabah mencerminkan bahawa kehidupan manusia harus berpusatkan Allah. Dalam konteks maqasid, tawaf menanamkan kesedaran bahawa segala tindakan dan keputusan dalam hidup harus berpaksikan tauhid.
Sa’i antara Safa dan Marwah pula mengandungi maqasid usaha dan tawakkal. Kisah Siti Hajar yang berlari antara dua bukit dalam mencari air menunjukkan bahawa usaha adalah tuntutan, tetapi hasilnya adalah ketentuan Allah. Ini mengajar manusia bahawa dalam kehidupan, kejayaan tidak datang tanpa usaha, tetapi usaha itu mesti disertai dengan kebergantungan kepada Allah. Maqasid ibadat di sini adalah membentuk keseimbangan antara ikhtiar dan tawakkal. Tugas kita adalah bekerjasama agar kekuatan kita mengatasi kelemahan sehingga membuatkan saf kita semakin kukuh, selaras dengan firman Allah Taala: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.” (At-Taubah:71)
Kemuncak kepada perjalanan haji adalah wukuf di Arafah, yang merupakan manifestasi paling jelas maqasid penghambaan dan keinsafan. Di Padang Arafah, jutaan manusia berhimpun dalam keadaan yang sama tanpa perbezaan darjat dan kedudukan. Ini mencerminkan maqasid kesamarataan dalam Islam. Wukuf juga menjadi medan muhasabah diri, di mana manusia menilai kembali kehidupannya dan memohon keampunan Allah. Ia adalah saat penyucian jiwa yang paling mendalam.
Dalam hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Ini menunjukkan bahawa maqasid utama wukuf adalah mendekatkan diri kepada Allah melalui doa dan pengharapan. Ia mengajar manusia bahawa kekuatan sebenar bukan pada diri sendiri, tetapi pada hubungan dengan Tuhan. Dalam kitab al-Musnad daripada Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ” Sesungguhnya Allah berbangga dihadapan malaikat bagi mereka yang bermalam di Arafah. Allah berkata, ‘ Lihatlah kamu semua kepada hamba-hamba-Ku, mereka datang berhimpun kepada-Ku dengan keadaan yang berdebu dan kusut .”’
Perjalanan seterusnya ke Muzdalifah dan Mina memperkukuh lagi maqasid ibadat melalui latihan kesederhanaan dan ketaatan. Bermalam di Muzdalifah dalam keadaan terbuka mengingatkan manusia tentang kesederhanaan hidup. Ia menanamkan nilai zuhud dan menjauhkan diri daripada kemewahan yang melalaikan. Melontar jamrah di Mina pula membawa maqasid penentangan terhadap syaitan dan hawa nafsu. Ia bukan sekadar perbuatan fizikal, tetapi simbolik kepada perjuangan dalaman manusia melawan kejahatan dalam diri. Dalam kehidupan seharian, manusia sentiasa berhadapan dengan godaan sama ada dalam bentuk materialisme, ego, atau keinginan yang melampau. Melontar jamrah mengingatkan bahawa perjuangan ini perlu diteruskan sepanjang hayat.
Ibadah korban yang dilakukan di Mina juga sarat dengan maqasid pengorbanan dan ketaatan. Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengajar bahawa ketaatan kepada Allah memerlukan pengorbanan yang besar. Dalam konteks kehidupan moden, pengorbanan mungkin bukan dalam bentuk menyembelih anak, tetapi mengorbankan kepentingan diri demi kebaikan yang lebih besar menjaga amanah, berlaku adil, dan membantu sesama manusia. Ini selaras dengan peringatan Allah dalam Al-Quran bagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim maksudnya “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.” (Ibrahim:102)
Tahallul sebagai penutup sebahagian ibadah haji melambangkan maqasid pembebasan daripada dosa dan permulaan kehidupan baru. Ia memberi harapan bahawa setiap manusia berpeluang untuk berubah dan memperbaiki diri. Namun, perubahan ini hanya bermakna jika ia diteruskan selepas pulang dari haji. Hakikatnya, maqasid ibadat dalam haji tidak terhenti di Tanah Suci. Ia perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Seorang haji yang memahami maqasid ibadat akan kembali sebagai individu yang lebih bertanggungjawab, lebih beretika, dan lebih dekat dengan Allah. Dia akan menjadikan nilai-nilai yang dipelajari sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan keluarga, pekerjaan, dan masyarakat.
Dalam konteks masyarakat, haji juga membawa maqasid kesatuan ummah. Perhimpunan jutaan umat Islam dari seluruh dunia menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang menyatukan. Perbezaan bangsa, bahasa dan budaya tidak menjadi penghalang, kerana semua berkongsi akidah yang sama. Ini memberi pengajaran bahawa perpaduan adalah asas kepada kekuatan umat. Namun, cabaran utama ialah memastikan maqasid ibadat ini benar-benar difahami dan diamalkan. Ramai yang menunaikan haji, tetapi tidak semua mencapai haji yang mabrur. Ini kerana mereka mungkin hanya melihat ibadah sebagai ritual tanpa memahami tujuan di sebaliknya. Oleh itu, pendidikan tentang maqasid ibadat perlu diperkukuh, agar setiap Muslim dapat menghayati makna sebenar ibadah.
Kesimpulannya, perjalanan haji adalah satu proses menetapkan dan merealisasikan maqasid ibadat dalam kehidupan manusia. Ia bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi transformasi rohani yang mendalam. Setiap amalan dalam haji mengandungi hikmah yang bertujuan membentuk insan yang bertakwa, berakhlak mulia, dan sentiasa bergantung kepada Allah. Haji mengajar bahawa ibadah bukan hanya tentang pergerakan tubuh, tetapi perubahan hati. Ia menuntut keikhlasan, kesabaran, dan pengorbanan. Jika maqasid ibadat ini benar-benar difahami dan diamalkan, maka haji akan menjadi titik perubahan yang membawa manusia kepada kehidupan yang lebih bermakna dan diredai Allah SWT.
Kiriman:
Hasri Harun
Pensyarah Kanan UNISEL
Timbalan Presiden Wadah