Kita di hadapkan kembali Isu “kuil haram” yang mencetuskan ketegangan pada Februari dan Mac 2026, khususnya insiden di Rawang, bukan sekadar isu teknikal perundangan. Ia adalah manifestasi konfl ik yang mendalam dan berlarutan antara tuntutan undang-undang dengan realiti sejarah serta keadilan sosial yang menuntut pembelaan.
Dari kacamata perundangan, kedudukan rumah ibadat tanpa kelulusan di atas tanah yang bukan milik adalah satu pelanggaran nyata terhadap Kanun Tanah Negara dan peraturan pihak berkuasa tempatan. Namun, kita tidak boleh menutup mata terhadap akar permasalahan ini yang telah terhujam jauh pada warisan era penjajahan iaitu ketika janji lisan menjadi asas binaan bagi buruh migran tanpa dokumentasi rasmi. Ditambah pula dengan perubahan struktur ekonomi yang menyebabkan komuniti terpaksa membina semula rumah ibadat di lokasi baharu tanpa proses pemilikan tanah yang sempurna. Penyelesaian yang diambil oleh pihak berwajib dengan menggunapakai sistem klasifi kasi empat warna diikuti penegasan Perdana Menteri serta titah Yang di-Pertuan Agong jelas membawa mesej bahawa tindakan drastik melalui perobohan hanya akan membakar api kemarahan dan merobek tenunan keharmonian masyarakat majmuk kita.
Oleh itu, penyelesaian mapan terhadap isu ini mestilah berpaksikan kerangka kesefahaman bersama yang mengimbangi tiga prinsip utama iaitu: kedaulatan undang-undang yang menolak tindakan semberono; keadilan sejarah yang mengiktiraf rumah ibadat sebagai warisan komuniti; dan keharmonian masyarakat sebagai matlamat tertinggi yang tidak boleh dikorbankan.
Kita memandang serius polemik ini bukan sekadar sebagai isu teknikal pencerobohan tanah, tetapi sebagai satu amanah moral untuk membetulkan ralat sejarah yang sekian lama terabai. Langkah konkrit seperti pemutihan status tanah, pewartaan tapak warisan dan penyeragaman SOP di peringkat PBT wajar di pertimbangkan kaedahnya tanpa membelakangkan kedaulatan undang undang negara. Kita tidak ‘memberi muka’ kepada pelanggaran hukum, namun yang sedang kita laksanakan adalah prinsip Islah—memperbaiki keadaan yang rosak dengan hikmah. Tindakan ini adalah terjemahan sifat Rahmatan lil ‘Alamin; kerana Islam tidak pernah terbina di atas kezaliman terhadap hak orang lain. Penyelesaian ini adalah bukti komitmen kita dalam membina sebuah Malaysia yang adil, di mana kedaulatan undang-undang berjalan seiring dengan nurani kemanusiaan.
Dunia hari ini tidak lagi aman. Konfl ik Israel-Iran yang meletus pada 28 Februari 2026 susulan serangan ke atas Tehran telah menghantar gelombang kejutan yang dirasai hingga ke tanah air kita, baik dari segi keselamatan mahupun ekonomi. Kerajaan telah mengambil langkah tuntas dengan mengaktifkan tahap kewaspadaan tertinggi serta memastikan keselamatan 163 rakyat kita di zon konflik.
Secara ekonomi, kita terpaksa berdepan dengan realiti pahit apabila Kerajaan mengambil langkah menyelaraskan subsidi BUDI95 berkuat kuasa 1 April 2026, mengehadkan pembelian bahan api, serta memperketatkan penguatkuasaan terhadap penyeludupan subsidi. Di pentas dunia, Malaysia tetap gagah bersuara, berunding dengan pemimpin dunia Islam untuk meredakan ketegangan. Namun, apa yang paling menggetarkan jiwa adalah apabila blok kerajaan dan pembangkang di Parlimen mengetepikan ego politik demi satu suara mengutuk kezaliman—menjadikan Malaysia antara yang terawal di dunia menyatakan solidariti.
Bagaimana pun, kita harus kekal waspada agar api solidariti terhadap kemelut antarabangsa ini tidak disalah guna oleh pihak tertentu yang ingin mengeksploitasi isu ini demi memecahbelahkan keharmonian yang telah kita bina sekian lama. Lima prinsip yang ditegaskan Perdana Menteri perlu dipegang bersama: Solidariti tidak bermaksud perpecahan dalam negeri, Kedaulatan undang-undang tetap terpelihara, Dialog lebih utama daripada konfrontasi, Kepentingan nasional melebihi segalanya dan Hormat serta bertolak ansur dalam menghadapi kesan ekonomi. Dengan pendekatan ini, Malaysia mampu melalui ujian ini dengan kekuatan perpaduan yang utuh.
Seruan buat Ahli WADAH dan Rakyat Malaysia : Dalam suasana yang penuh ujian ini, saya menyeru kepada seluruh ahli WADAH untuk memikul tiga tanggungjawab utama: Kejujuran ilmiah dalam menyampaikan fakta tepat, kesederhanaan dalam bersuara tanpa mencetus kebencian dan menjadi faktor yang menyatukan masyarakat. Jangan sesekali membiarkan diri kita terprovokasi dalam naratif kebencian yang memecahbelahkan. Ingatlah pesan Ilahi dalam Surah Al-Maidah ayat 8 : “Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada melakukan ketidakadilan.”
Kepada seluruh rakyat Malaysia, saat ini adalah waktu untuk kita merapatkan barisan. Hadapilah tekanan ekonomi dengan sabar dan penuh tanggungjawab. Dalam masyarakat majmuk ini, setiap daripada kita punya peranan—masyarakat Islam harus bersolidariti tanpa mencetus kegusaran, manakala masyarakat bukan Islam perlu memahami bahawa perjuangan untuk keadilan adalah prinsip kemanusiaan yang bersifat sejagat.
Jaga lidah dan tinta kita di media sosial, perkukuhkan perpaduan dan yakini bahawa setiap badai yang melanda adalah peluang untuk kita membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar sebuah negara, tetapi sebuah rumah yang aman, adil, dan harmoni untuk semua.
Doa dan usaha kita bersama adalah benteng terakhir yang akan memastikan negara ini tetap teguh berdiri di atas landasan kebenaran. Semoga Allah SWT memberkati setiap langkah perjuangan kita dalam memartabatkan keadilan dan kedamaian di bumi bertuah ini.