PEMBENTUKAN  KERAJAAN PERPADUAN KEPUTUSAN YANG DI PERTUAN AGONG DAN RAJA-RAJA MELAYU

oleh Ustaz Dr Abdul Halim el-Muhammady, Pengerusi Pertubuhan Murabbi Umat Malaysia.

Keputusan YDPA  dan Raja-Raja Melayu  bersetuju menubuhkan Kerajaan Perpaduan adalah menepati tuntutan syariah dan amalan demokrasi yang sebenar mengikut sistem demokrasi dalam negara dan luar negara.

Dari sudut syariah, YDPA sebagai kuasa tertinggi negara mesti membuat keputusan itu untuk maslahah umat dan warganegara keseluruhan, iaitu ketika kerajaan gagal dibentuk kerana semua parti politik tidak mempunyai bilangan majoriti mudah. Maka YDPA berijtihad dengan kuasanya yang ada melalui nasihat dan pandangan pihak-pihak tertentu dari sudut Islam, memutuskan supaya dibentuk Kerajaan Perpaduan yang terbaik bagi memenuhi keperluan rakyatnya yang sedang berdepan dengan kesukaran hidup, kemerosotan ekonomi dan lain-lain.

Dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan ini, semua parti politik dapat bergabung tenaga untuk sama-sama membangun negara demi kepentingan rakyat merentasi ideologi kelompok politik yang berasaskan agama dan bangsa.

Dalam Islam, maslahah rakyat menjadi keutamaan bagi sesebuah kerajaan, bukannya kepentingan parti dan kelompok tertentu. Dari sudut demokrasi dalam amalannya, rakyat mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dalam negara; yang Muslim dan bukan Muslim, yang diperuntukkan dalam perlembagaan kecuali beberapa perkara antaranya hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Maka, keputusan YDPA memilih pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah supaya  amalan demokrasi yang sihat berasaskan ilmu dan tradisi yang betul dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya di mana sebahagian besar parti politik akan berada dalam kerajaan ini. Majoriti wakil rakyatnya masih golongan orang Melayu dan bumiputera serta bilangannya mengatasi golongan yang bukan Melayu. Dalam pembentukan ini, PN menolak cadangan YDPA yang ditawar kepada mereka pada permulaan supaya bergabung dengan PH untuk mencukupkan majoriti yang diperlukan.

PH menerima baik cadangan ini kerana menghormati dan menjunjung kuasa tertinggi negara dan mengambil kira pencapaiannya memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya lepas serta ia juga menepati dengan perjuangan keadilan yang menangani semua rakyat sebagai satu bangsa serta tidak membezakan mereka dari sudut kaum dan agama.

Ia berbeza dengan PN yang memandang serong dan berprasangka kepada bukan Melayu. Mereka ini dianggap jika diberi kuasa, akan merosakkan kepentingan bangsa Melayu dan Islam sekalipun ahli parti itu diiktiraf sebagai rakyat yang sah dan parti mereka juga beroperasi dengan mematuhi undang undang negara.

Sedangkan kita sedari bahawa golongan orang Cina di negara kita adalah 22% sahaja. Mereka berada dalam berbagai parti politik . Bagi mereka yang berfikir secara ilmiah dan akal yang waras, tidak mungkin mereka dapat menguasai negara ini dengan struktur pemerintahan dan perlembagaan yang ada sekarang serta pengalaman pahit mereka yang kecundang dua kali; iaitu semasa kekalahan Parti Komunis Malaya dan kekalahan dalam keganasan pada peristiwa 13 Mei.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan pilihan YDPA untuk memimpin melaksanakan penubuhan Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan pilihan YDPA untuk menyatukan rakyat selepas didapati parti-parti politik hilang fokus kepada kepentingan rakyat tetapi lebih tertumpu kepada kepentingan parti dan kelompoknya.

Dalam masa empat tahun memerintah dengan pertukaran 3 orang Perdana Menteri, pemimpin terdahulu masih tidak dapat mengatasi masalah kesusahan hidup rakyat dan kelemahan ekonomi negara. YDPA melantik Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menerajui negara bagi menyelesaikan keperluan rakyat dan ekonomi negara yang tenat. YDPA yakin dengan sokongan rakyat berbagai kaum kepada PH, lebih mudah untuk Anwar melaksanakan keperluan negara yang mendesak berbanding 3 Perdana Menteri terdahulu yang menumpukan kepentingan diri sendiri selain terbatas ilmu dan pengalaman mereka dalam mengurus negara. Anwar mempunyai keluasan ilmu Islam dan semasa, mempunyai pengalaman yang luas dalam urusan pentadbiran negara serta hubungan antarabangsa dengan dunia Islam dan bukan Islam.

Dengan memilih Anwar sebagai PM, dapat mengurangkan mudarat yang lebih besar yang akan menimpa negara dalam menghadapi situasi negara masa kini dari sudut kesukaran hidup rakyat dan kejatuhan nilai ringgit dan ekonomi.

Anwar pula bagi memenuhi visi YDPA dan visi serta misinya untuk membangun negara, Kerajaan Perpaduan ini akan mencari mereka yang berilmu, berpengalaman, serta punya visi dan misi yang sama dengannya untuk memudahkan pelaksanaan pembangunan negara dalam suasana tidak biasa ini.

Demi untuk kepentingan perpaduan umat dan keberkesanan pelaksanaan pembangunan negara, mungkin akan berlaku sedikit sebanyak kekurangan dari sudut pelantikan satu atau dua menteri yang dianggap tidak dapat memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh Kerajaan Perpaduan yang telus dan bersih. Hal yang kecil ini terpaksa dilakukan kerana menjaga dan mengelak daripada mudarat yang lebih besar kepada umat iaitu tidak boleh membentuk kerajaan jika pimpinan kelompok tersebut tidak diambil kira. Kesalahan yang digembar-gembur di luar itu juga belum pun disabitkan di mahkamah.

Di sini sekali lagi kaedah jurispruden digunakan dengan mengambil mudarat yang lebih ringan bagi menghalang mudarat yang lebih besar.

PN yang terdapat di dalamnya parti PAS yang ramai ulama’, sepatutnya dapat memahami kaedah jurispruden Islam dalam penyelesaian membentuk Kerajaan Perpaduan yang dikehendaki oleh Agong di mana keputusan yang diambil berasaskan ilmu syariah dan politik demokrasi. Objektifnya hanyalah untuk menjaga maslahah umat yang sedang menghadapi kesukaran sara hidup dan negara berdepan dengan kemerosotan ekonomi yang teruk.

Ingatlah kepada peringatan Allah dalam firman-Nya,

اطيعوا ا الله واطيعوا الرسول والى الأمر منكم فإن تنا زعتم فى شىء فردوه إلى الله وإلى الرسول إن كنتم مؤمنين

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *