QAZAF: KESALAHAN JENAYAH HUDUD & PROSEDUR PEMBUKTIANNYA (1)

Oleh Dr. Abdul Halim El-Muhammady

PENDAHULUAN

Qazaf adalah satu daripada kesalahan jenayah Hudud yang dinyatakan secara qat’iy (pasti) dengan jelas oleh al-Qur’an dan Sunnah. Ia merupakan satu jenayah khusus yang melibatkan penghinaan yang amat serius ke atas seseorang yang baik akhlaknya dengan tuduhan zina atau seumpamanya dan tuduhan anak luar nikah. Justeru, pembuktian untuk mensabitkan alahan jenayah ini amat ketat prosedurnya. Jika berlaku sebarang keraguan terhadap bukti maka hukuman boleh digugurkan berdasarkan hadith, gugurkanlah hukuman hudud dengan adanya kesamaran bukti.

TAKRIF QAZAF

Imam Nawawi daripada Mazhab Shafi’i mentakrifkan Qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang) untuk menghinanya 1. Ibn Humam daripada Mazhab Hanafi mentakrifkan Qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang) 2. Ibn Arafah daripada Mazhab Maliki pula mentakrifkan Qazaf ialah seseorang mukallaf menuduh orang merdeka, berakhlak baik, Muslim yang baligh atau kanak-kanak melakukan zina atau menafikan keturunannya yang sah3. Ibn Quddamah daripada Mazhab Hambali pula mentakrifkan Qazaf ialah tuduhan melakukan zina4 (ke atas seseorang).

Memandang kepada takrif yang diberikan oleh ulama daripada pelbagai mazhab, Qazaf ialah tuduhan ke atas seseorang yang baik akhlaknya dengan berzina, atau menafikan keturunannya yang sah.

Manakala zina pula mengikut Mazhab Shafi’i bermaksud memasukkan kemaluan lelaki kadar hasyafah atau seumpamanya ke dalam faraj perempuan untuk kepuasan yang haram baginya tanpa ada sebarang syubhah.5 Mengikut Mazhab Hanafi pula, nama bagi persetubuhan haram dalam faraj perempuan yang hidup berlaku secara sukarela dalam negara Islam yang bebas daripada sebarang syubhah hamba miliknya atau perkahwinan6. Manakala Mazhab Hambali pula mentakrifkan zina mengikut Ibn Quddamah ialah persetubuhan pada faraj perempuan yang haram baginya tanpa ada sebarang syubhah7. Mazhab Maliki pula mengikut takrif yang diberikan oleh al-Dasuqi ialah memasukkan kepala zakar atau kadarnya dalam kemaluan perempuan, sekalipun beralas, tetapi tidak menghalang kepuasan dan ketegangannya8.

Berdasarkan takrif di atas bahawa penzinaan itu adalah persetubuhan haram yang dilakukan oleh seseorang dengan memasukkan kemaluannya sekadar hasyafah atau seumpamanya ke dalam faraj perempuan yang bukan isterinya dan bukan juga hamba miliknya, serta tidak ada sebarang syubhah pada perlakuan tersebut. Tuduhan zina adalah tuduhan ke atas seseorang yang melakukan persetubuhan haram ke atas perempuan yang tidak ada hak baginya yang bertujuan untuk mengaib dan menghina pihak yang dituduh.

LIWAT SAMA DENGAN ZINA

Takrif liwat mengikut Mazhab Shafi’i ialah memasukkan zakar ke dalam dubur lelaki, perempuan atau khunsa dikenakan hukuman had (hudud)9.Ibn Quddamah daripada Mazhab Hambali berpendapat bahawa persetubuhan di dubur sama dengan persetubuhan di faraj iaitu zina10. Mazhab Maliki mengikut pendapat al-Dasuqi menyatakan bahawa seorang lelaki yang bersetubuh melalui dubur dengan perempuan asing baginya melakukan jenayah zina mengikut syarak dan dikenakan hukuman had ke atasnya11. Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa persetubuhan pada dubur tidak diwajibkan hukuman had ke atas kedua­ dua pelaku liwat dan penerimanya, lelaki atau perempuan, sekali pun hukumnya adalah haram. Ini disandarkan kepada hujah bahawa zina haram hukumnya kerana persetubuhan di faraj, tetapi bagi peliwat, yang berlaku bukan zina, ia adalah liwat12.

Berdasarkan penjelasan di atas, majoriti fuqaha’ daripada empat mazhab berpendapat bahawa liwat adalah sama sahaja dengan zina, kerana perbuatan liwat berlakunya kemasukan kemaluan dan berlakunya kepuasan seperti zina, maka ia sama dengan hukum zina.

AUTORITI PENGHARAMAN QAZAF

Fuqaha’ yang membincangkan tentang kesalahan jenayah Qazaf berdasarkan autoriti al-Qur’an, hadith dan ijmak. Mazhab Shafi’e13 menjadikan ayat 4, surah an-Nur sebagai dalilnya. Maksud Firman Allah:

وَٱلَّذِينَ يَرْمُونَ ٱلْمُحْصَنَـٰتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا۟ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ فَٱجْلِدُوهُمْ ثَمَـٰنِينَ جَلْدَةًۭ وَلَا تَقْبَلُوا۟ لَهُمْ شَهَـٰدَةً أَبَدًۭا ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ (٤)

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanitci yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan. Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang Jasik.” (an-Nur : 4)

Tuduhan zina yang palsu terhadap perempuan­ perempuan yang suci dan baik akhlaknya, hendaklah mereka dikenakan hukuman sebat sebanyak So kali, kesaksian mereka tidak diterima selama-lamanya dan mereka menjadi Fasik. Hadith Abu Hurairah ada meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:

“Jauhilah tujuh perkara yang besar dosanya.” Sahabat bertanya, “Apa dia ya Rasulullah?” Katanya, “syirik kepada Allah, sihir, membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan yang baik dengan zina.”5

Hadith di atas menjelaskan bahawa antara kesalahan besar di sisi Allah S.W.T. ialah Qazaf ke atas seseorang perempuan yang baik dan suci peribadinya. Ia meliputi lelaki dan perempuan16. Mazhab Hambali juga berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadith di atas sebagai dalil kesalahan Qazaf ini17 dan Mazhab Hanafi juga berdalilkan hadith di atas dan ayat surah an-Nur, ayat 32,18 Allah berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَرْمُونَ ٱلْمُحْصَنَـٰتِ ٱلْغَـٰفِلَـٰتِ ٱلْمُؤْمِنَـٰتِ لُعِنُوا۟ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ (٢٣)

“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita­ wanita yang baik-baik, yang lengah (tidak pernah terlintas untuk melakukan perbuatan keji) lagi beriman, (dengan tuduhan zina) mereka terkena laknat di dunia dan di Akhirat dan bagi mereka azab yang besar.” (an-Nur : 23-25)

Ayat ini jelas menerangkan janji buruk ke atas mereka yang melakukan Qazaf ke atas orang wanita mukminah dan lelaki mukmin dengan menerima laknat Allah di dunia dan mendapat seksa di Akhirat19.

Tuduhan liwat ke atas seseorang mengikut Imam Malik, Imam Shafi’i dan Imam Ahmad sama dengan tuduhan zina (Qazaf) kerana mereka berpendapat bahawa liwat adalah zina dan peliwat adalah penzina sama ada ia sebagai pelaku atau penerima pelakuan itu, sama ada ia lelaki atau perempuan jika sabit penuduh berniat dalam tuduhannya itu bermaksud yang dituduh melakukan perbuatan kaum Lut, maka penuduh wajib dikenakan hukuman had, manakala Abu Hanifah berpendapat bahawa tuduhan liwat termasuk dalam hukuman ta’zir kerana beliau berpendapat bahawa liwat bukannya zina justeru tuduhan liwat tidak dikira sebagai tuduhan zina20.

AUTORITI KESALAHAN JENAYAH LIWAT DAN ZINA

Mazhab Shafi’i menyandarkan kesalahan liwat kepada al­ Qur’an dan Sunnah21. Dalam al-Qur’an Allah berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا (٣٢)

“Janganlah kamu menghampiri zina kerana zina itu adalahfahishah (perkara keji) dan sejahat-jahat jalan.”22 (al-Isra’: 32)

Firman Allah lagi:

( ۦٓ أَتَأْتُونَ ٱلْفَـٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍۢ مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ (٨٠…

“Adakah kamu melakukan fahishah (perkara keji) yang tidak dilakukan oleh sesiapa pun sebelum kamu di dunia ini.”23
(al-A’raf: 80)

Ayat pertama menjelaskan Allah melarang melakukan zina yang disifatkannya sebagai fahishah (suatu perbuatan keji) dan ayat kedua pula Allah menyifatkan perbuatan liwat sifatnya fahishah (suatu perbuatan keji). Oleh sebab kedua-duanya bersifat fahishah (keji) maka kedua-dua hukumnya sama. Mereka juga berasaskan kepada Sunnah yang bermaksud: ”Apabila lelaki bersetubuh dengan lelaki, maka kedua-duanya melakukan zina,24 dan hadith riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibn Majah maksudnya: “Sesiapa yang mendapati antara kamu yang melakukan perbuatan kaum Lut maka bunuhlah yang melakukan dan yang kena lakukan.”25

Hadith ini menjelaskan tentang kesalahan jenayah liwat yang boleh dikenakan hukuman mati dibunuh dengan pedang seperti orang murtad26. Mazhab Hambali juga berpendapat liwat sama dengan zina berdasarkan nas-nas al-Qur’an di atas yang difahaminya bahawa kemasukan zakar dalam faraj sama dengan kemasukan zakar ke dalam dubur.

Pada awalnya, kaum Lut memulakan liwat dengan perempuan mereka, kemudian melakukannya pula ke atas orang lelaki27. Qadi Abu Hasan daripada Mazhab Maliki berpendapat persetubuhan lelaki dengan perempuan ajnabi pada duburnya adalah hukum liwat sebagaimana hukum liwat antara lelaki dengan lelaki28.

Dua murid Abu Hanifah, iaitu Abu Yusuf dan Muhammad berpendapat bahawa hukuman keseksaan ayah liwat sama dengan zina. Dalil mereka ialah salahan zina adalah hukuman had mengikut ketetapan nas. Dari sudut nama, zina adalah fahishah (perbuatan keji), liwat juga fahishah mengikut nas “ata’tuna al­ fahishah.”

Dari sudut makna, zina mempunyai makna yang maknawi, yang tersirat  dan  mempunyai  tujuan mengeluarkan mani dengan memasukkan zakar ke dalam faraj secara haram tanpa sebarang syubhah. Tujuan didapati wujud pada kedua-dua perbuatan itu, iaitu kemasukan di faraj atau di dubur, yang kedua-dua anggota itu dianggap kemaluan yang wajib ditutup pada syarak dan kedua-dua anggota itu diingini oleh nafsu, terutamanya bagi orang yang tidak memahami hukum syarak. Keinginan nafsu itu ditinjau dari sudut kesuaman dan kelicinan salurannya. Kedua-duanya tidak ada beza antara faraj dengan dubur.

Hukuman had pada kesalahan liwat adalah ketetapan nas-nas yang terdapat hukuman pada jenayah zina, maka nas didapati juga pada liwat29. Abu Hanifah mempunyai pendapat yang berbeza di mana beliau membataskan persetubuhan itu pada faraj sahaja, tidak pada dubur. Maka peliwat tidak dikenakan hukuman had kerana zina itu ialah persetubuhan yang berlaku pada faraj, sedangkan apa yang berlaku pada peliwat itu bukannya zina, tetapi liwat. Sekiranya liwat itu sama dengan zina, tentunya para sahabat tidak berbeza pendapat tentang ini.

Dengan perbezaan pendapat itu menunjukkan bahawa liwat bukannya zina, kerana zina hukumannya mengikut ketetapan nas. Maka dengan itu, Abu Hanifah berpendapat bahawa tidak boleh menetapkan hukuman had zina terhadap perbuatan bukan zina, dan dengan itu hukum liwat tidak ada hukuman tetap pada nas, maka yang pastinya hukuman ta’zir dikenakan mengikut ketetapan imam30.

Berdasarkan perbincangan di atas, pandangan majoriti fuqaha’ daripada pelbagai aliran mazhab kecuali Abu Hanifah yang berpendapat bahawa kesalahan jenayah liwat sama dengan jenayah zina. Oleh itu, hukumannya sama dengan hukuman zina termasuk prosedur pensabitannya.

_________________________________________________________________________

1 Ibn Humam, Fath al-Qadir, jilid 4, h.190.

2 Sharbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 4, h. 155.

3 Dasuqi, al-Sharh al-Kabir, jilid 4, h. 324.

4 Ibn Quddamah, al-Mughni, jilid 10, h. 201.

5 Sharbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 4, h. 144.

6 Kasani, Badai’iy wa al-Sonai’, jilid 7, h. 33-34.

7 Ibn Quddamah, al-Mughni, jilid 10, h. 120.

8 Ahmad al-Dirdir, al-Dasuqi ala al-Sharh al-Kabir, jilid 4, h. 213.

9  Sharbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 4, h. 144.

10 Ibn Quddamah, al Mughni, jilid 10, h. 151-152.

11 Ahmad al-Dirdir, al-Dasuqi ala al-Shahr al-Kabir, jilid 4, h. 213.

12 Kasani, Badai’iy al-Sana’i, jilid 7, h. 33-34.

13 Khatib Shorbimi, 2001, Mughni Muhtaj, Dar al-Filar Beirut, jilid 4, h. 192-193.

14 Al-Qur’an, an-Nur ayat 4.

15 Shaukani, Nail al-Awtar, jilid ( ), h. ( ).

16 Ahmad al-Husari, 1993, al-Siyasah al-Jazaiyyah, al-Hudud wa al- Ashribah, Dar al-Ji! Beirut, Lubnan, jilid 2, h. 715.

17 Ibn Quddamah, al-Mughni, jilid 10, h. 201-202.

18 Kamal Ibn Burnam, Fath al-Qadir, jilid 4, h. 190.

19 Ahmad al-Husairi, al-Siyasah al-Jaza’iyyah, jilid 2, h. 711.

20 Lihat Abdul Qadir Awdah, at-Tasyri’ al-Jinai al-Islami, Mu’assah al- Risalah, Beirut, jilid 2, h. 463.

21 Sharbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 4, h. 177-178.

22 Al-Qur’an, al-Isra’ ayat 32.

23 Al-Qur’an, al-A’raf ayat So.

24 Ibn Hajar, Talkhis al-Khabir, jilid 5, h. 55.

25 Ibn Majah, Sunan, Bab al-Hudud, h. 12.

26 Sharbini, Mughni Muhtaj, jilid 4, h. 177-178.

27 Ibn Quddamah, al-Maghuni,jilid 10, h. 151-152.

28 Ahmad Husari, as-Siyasah al-Jazaiyyah, jilid 2, h. 32-33.

29 Bada’iy al-Sona’iy, jilid 7, h. 33-34.

30 Ibid.

Sumber rujukan : Qazaf- Menjawab Fitnah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *