DR MUHAMMAD NUR MANUTY MEMAKNAI ERTI KEADILAN

Oleh Anwar Ibrahim.

Hari ini suatu penghormatan bagi kita kerana kita dapat memanfaatkan pengalaman sahabat kita. Seorang dai’, seorang ilmuwan dan seorang pejuang. Memang sosok dia itu dikatakan sosok sederhana. Nampak bukan macam tokoh politik tetapi dia bergerak di atas cetusan keyakinan dari dhamir, dari hati nurani, dari keyakinan. Maka ia memberikan pengisian yang sangat penting. Wan Azizah yang berada di sini juga bersetuju dia memberi pengisian yang penting memaknai erti keadilan yang diasaskan kepada akhlak yang diteraskan oleh apa yang disebut oleh Sayyid Hossein Nasr sebagai ‘reassertion of eternal truth beyond all sectarianism and divisions’. Ini tugas yang sangat mencabar dalam gerakan politik.

Politik itu selalu dimaknai dari sudut percaturan, pertembungan, perdambaan padahal bagi kita ia harus dilihat pada sudut ‘ethics’, akhlaknya. Simpang siur itu kita terima sebagai suatu kemestian yang berlaku. Sebab itu saya berkata bahawa dalam pengalaman KeAdilan terutama pengisian oleh tokoh-tokoh seperti Dr Muhammad Nur Manuty adalah pendambaan idea, keyakinan. Ini yang menyebabkan ada pembenturan dua aliran kefahaman yang disebut ‘juxtaposition of ideas’. Di antara satu yang berpegang kepada konsep yang kita biasa, kefahaman lama umpamanya ‘ketuanan Melayu’ atau agama itu sebagai suatu ‘rasmi-rasmian’, dengan sesuatu yang dikatakan ‘reassertion’ –penegasan yang haqq, kebenaran itu. Ini tidak mudah di dalam kekeliruan dan kegalauan yang dahsyat di kalangan masyarakat kita.

Kita kalah di Ijok dahulu mengejutkan, menerima pukulan yang dahsyat dalam media. Enam bulan kemudian kita menang di negeri Selangor. Kita kalah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Tak sampai setahun kemudian kita menang dalam politik nasional 2018. Saya percaya insya’Allah kita kalah di Melaka, kita akan bangkit semula dengan semangat dan kesedaran, dan mengambil iktibar kelemahan, kekurangan kita dan kadang-kadang percaturan yang sia-sia, dan beberapa suara-suara yang kelihatan angkuh, ‘arrogant’ yang menyebabkan kita tewas. Ataupun kerana ‘track record’ kita yang tidak sangat membanggakan tatkala kita memerintah 22 bulan. Ada baiknya pemerintahan itu dari segi tatakelola, jauh lebih baik dari pemerintahan sebelumnya tetapi ia tidak memberi suatu harapan bahawa ini alternatif yang sangat baik terutama untuk majoriti rakyat dikalangan Melayu dan Bumiputera, dan umat Islam. Ia tidak zahirkan atau menggambarkan suatu keadaan yang lebih dapat diyakini.  Ini menjadi pokok persoalannya jika kita bicara tentang pembenturan idea-idea. Bukan soal titik bengit yang kita bahaskan.

Liku-liku Perjuangan Dari Asas Ilmu

Dan rakyat jangan diperbodohkan. Kadang-kadang ulasan-ulasan para penganalisia itu terlalu ‘condescending’ merendah-rendahkan dengan mengatakan, “Rakyat tidak tahu, mereka tidak faham.” Itu andaian tetapi kenapa kita tidak boleh kata itu kelemahan kita. Mengapa mereka tidak dapat pencerahan? Kerana kita tidak menyampaikan maklumat secukupnya. Sekarang tidak boleh? Tetapi kita sepatutnya mampu semasa kita berkuasa 22 bulan.

“Mereka tidak melihat sesuatu yang istimewa tatkala kita memerintah.” Kerana kita tidak dapat menghulurkan yang sepatutnya bagi golongan mustadh’afin wal masakin, yang lemah dan miskin yang sepatutnya berlaku.

Apa relevannya dengan ‘Jejak-Jejak Pencerahan Umat’ al Manuty ini? Kerana pengalaman, liku-liku perjuangan dari asas ilmu kepada ruh perjuangan dan bertindak dalam gelanggang perjuangan. Itu mengajar kita bahawa perjuangan itu bermakna dengan asas kefahaman yang betul. Perjuangan itu bermakna dengan dasar akhlak walaupun tidak semestinya berhasil. Dalam beberapa pilihanraya, Dr Muhammad Nur tidak menang. Tetapi jiwa, semangatnya bagi kita, kefahaman yang cuba disampaikannya, ucapan-ucapan dalam kempen pilihanraya. Itu berbeda daripada lontaran, caci makian yang disampaikan oleh tokoh-tokoh politik lainnya. Jadi bagi saya kemenangan dari sudut mendewasakan dengan asas dan pertimbangan akhlak.

A Samad Said dalam Membakar Bahtera, mengungkapkan:

Kita sedang diasuh mendakap kepalsuan

Menajisi benih kebenaran

Hikayat hemah wajar bangat diulang baca

Sebelum bangsawan sedar hikmahnya aksara

Initisarinya masih ke tahap kefahaman, ilmu dan dasar akhlak.

Manfaatkan Waktu Untuk Membaca

Saya mengambil masa berbulan-bulan untuk menulis penghantar kecil kepada buku Dr Muhammad Nur ini. Saya teringat saya ditegur oleh Profesor Kamal Hasan sejak dahulu lagi. Mengambil terlalu panjang masa untuk menghafal bahasa Arab sewaktu itu dan Profesor Kamal tutor saya. Saya tidak boleh lupa mengenang jasa beliau kerana diskusi buku yang pertama di Universiti Malaya di bawah kelolaan beliau. Diskusi bukan di bawah sukatan kurikulum biasa tetapi atas inisiatif beliau sendiri. Buku pertama yang kita baca ialah ‘Islam at the Crossroads’ karya Muhammad Asad. Dan cara Profesor Kamal kupas memberi kefahaman berbeda daripada membaca biasa.

Saya tidak berhasrat berbicara panjang, memadai untuk menyatakan bahawa manfaatkanlah waktu ini untuk membaca. Saya akui bahawa dalam kesuntukan dan keributan ini memang kurang membaca ketimbang masa saya di Sungai Buluh.

Seperti hadith riwayat al Bukhari,

إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ

Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang.

Manfaatkanlah waktu dengan membaca dan menimba ilmu. Jangan sangat terlalu tergugat dengan perkembangan-perkembangan semasa atau perkembangan-perkembangan kecil seketika. Lihat jangka panjangnya. Lihat strategi yang kita guna. Dan belajar, sudah tentunya, dalam apa juga perkara dan kelemahan.

Saya tidak terlepas dari dipertanggunjawabkan. Akauntabiliti itu ada. Ini bukan untuk memberi alasan untuk meremehkan teguran. Selepas sesi pagi sidang parlimen tadi, saya berdepan dengan semua ahli parlimen PKR. Saya beri ruang sepenuhnya untuk semua memberikan pandangan, teguran dan kritikan terhadap perjalanan parti, terhadap presiden, terhadap ketua pembangkang. Kita beri ruang itu kerana ini sahaja cara kita matang, memperbaiki kelemahan-kelemahan kita. Tetapi bukan untuk menjadi jaguh, jago-jagoan kesiangan, menurut sasterawan Taufiq Ismail. Jerit bukan ditempatnya, tidak teliti permasalahannya, tidak mendalami isunya lalu membuat andaian.

Apa yang dikeluhkan, itulah perasaan kekecewaan umat, majoriti Melayu di desa, pendalaman dan umat Islam. Itu berbeda dengan naratif orang bandar, orang kota, orang terdidik. Dan ini juga kelemahan-kelemahan yang kita alami dahulu. Dan Dr Muhammad Nur mengasaskan BIPPA, Biro Pemantapan Pemantapan Agama dalam parti yang memberi sedikit pencerahan kepada rakan-rakan kita dari kota atau mewakili bandar atau ‘suburban areas’, dan yang bukan Muslim. Kerana beberapa andaian dan ini kesilapan kita kerana tidak ada perbincangan teliti. Bagi orang kota, Statut Rom, ICERD, reform institusi. Itu yang nombor satu. Bagi masyarakat Melayu,  mereka hendak suatu keyakinan bahawa sistem itu tidak akan menggadai atau mengkhianati prinsip yang disepakati. Soal bahasa, soal kedudukan Islam dan lebih penting lagi apa disebut sebagai ‘bread and butter issues’ – isu-isu asasi kehidupan rakyat, yang miskin terhimpit, sekolah yang daif, kesihatan tidak cukup, harga-harga barang meningkat. Ini pengalaman yang harus kita lihat.

Oleh sebab itu kita tidak harus lihat hanya satu cebis pengalaman, satu pengalaman di satu negeri walaupun di satu negeri kita kalah. Saya pun tadi ucapkan tahniah di Parlimen kepada Barisan Nasional yang menang tetapi saya bagi tahu agar ingat amanah dan belum tentu mereka akan menang pada pilihanraya umum nanti sebagai peringatan.

Mutiara-mutiara Yang Sukar Dicari di Tempat Lain

Penghantar buku Dr Muhammad Nur ini saya lakar sendiri kerana saya rasa tidak adil untuk catatan dibuat oleh wakil media saya bagi buku yang sangat penting sahabat karib yang setia dalam perjuangan. Dia diangkat senator, OK. Dia tidak disambung senator, OK. Mana hendak dicari sahabat seperti ini.

Demikianlah ciri persahabatan kita dan saya tentu sepertimana rakan-rakan lain sangat terhutang budi, dan berbahagia kerana saya dikelilingi oleh rakan-rakan yang sangat setia dan ikhlas dalam perjuangan mereka.

Di antara yang disergah atau dikritik saya adalah, “Anwar ini dikelilingi oleh orang yang semua tak berguna.” Saya tidak dapat mempertahankan semua. Tetapi mereka tidak tahu saya dikelilingi oleh mutiara-mutiara yang sukar dicari di tempat lain.

جزاك الله خيراً كثيراً

Shaykh Muhammad Nur Manuty. Semoga sihat afiah. Dapat terus berjuang. Terus membantu dalam dakwah dan gerakan politik.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan Ahli Parlimen Port Dickson. Artikel ini berpandukan ucapan beliau semasa meluncurkan buku Jejak-jejak Pencerahan Umat karya Dr. Muhammad Nur Manuty pada 23 November 2021 yang diterbitkan oleh Penerbit WADAH dan Aras Mega Sdn. Bhd. Transkripsi ini disediakan oleh Islah Media.

Link pembelian buku: https://arasmega.com/p/jejak-jejak-pencerahan-umat-softcover/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *